Friday, November 13, 2009

Isu tauliah Jais... Siapa sebenarnya dalang?


SEJAK beberapa minggu kebelakangan ini, isu tauliah mengajar dan berkhutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hangat diperdebatkan (sampai hangit). Masing-masing pihak berkepentingan cuba menjadikan isu ini modal politik sehingga menuding jari ke pihak lain.

Paling menarik komen dari PM kita, Mohd Najib Razak. Najib mahu kerajaan negeri beri penjelasan kerana kerajaan Pusat tidak campur tangan dengan tindakan Jais menahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin atas dakwaan mengajar tanpa tauliah di Hulu Kelang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal ehwal Islam turut bertemu Asri keesokan harinya. Asri pula bertemu Mursyidul Am PAS di Kota Bharu yang antara lain membincangkan soal penahanannya dan dakwaan Wahabi yang dilemparkan terhadapnya.

Ketika ura-ura Asri bakal menyertai politik kedengaran, segerombolan anggota Back Banchers Club (BBC) BN menemui Asri di bangunan Parlimen. Khabarnya BBC juga menyokong Asri dan kesal dengan tindakan Jais.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo juga tumpang semangkuk. Beliau menasihati Jais supaya berhati-hati dalam tindakan seperti titah Sultan Selangor, kononnya. Padahal sewaktu menerajui Selangor, Khirlah panglima BN yang menyenaraihitamkan puluhan tokoh agama termasuk mantan Mufti Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom daripada mengajar di surau dan masjid. Umno yang berkuasa penuh ke atas Jais dan Mais (pada waktu itu) memang mengawal ketat masjid dan surau di Selangor.

Hanya ketika DAP berkongsi kuasa dengan KeADILan dan PAS di Selangor, masjid dan surau dibebaskan dari cengkaman politik Umno. Itupun ada juga orang PAS yang tak bersyukur. Asyik termakan dengan dakyah Umno sehingga menghentam lumat DAP...

Jais seperti biasalah, terkenal dengan sifat kluk-kliknya. Kejap bagi alasan itu, kejap bagi alasan ini. Kitapun naik pening bila dengar penjelasan Jais terutama Pengarahnya, Khusrin Munawi - seorang lulusan ekonomi, UM.

Rasanya komen paling tepat tentang soal tauliah ini datang dari Ahli Parlimen kontroversi Shah Alam, Ir Khalid Samad. Berikut adalah penjelasan beliau:

Tauliah adalah warisan BN

Oleh Muhammad Arif Ismail

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat perlu mengkaji semula sistem pentaulihan pengkhutbah dan penceramah yang diwarisi dari zaman pemerintahan BN.

Tindakan kerajaan BN negeri terdahulu menggubal Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (2003) khususnya Seksyen 119(1) yang mengenakan denda sebanyak RM3,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali kepada mana-mana individu yang melakukan ceramah agama di negeri ini tanpa tauliah perlu disemak semula.

Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam sidang media di pejabatnya, baru-baru ini berkata, penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan bantuan polis tidak sepatutnya berlaku dalam negeri Pakatan Rakyat.

Tambah beliau, penduduk Selangor telah memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan kerana sudah bosan dengan gaya pemerintahan Umno yang mencemarkan agama Islam.

"Di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, kerajaan negeri berkewajipan untuk membuat perubahan kepada enakmen-enakmen yang berkaitan dengan agama Islam.

"Jika tindakan ini tidak dilakukan, tidak ada perbezaan dengan pemerintah dahulu. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam pemerintahan Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Justeru, satu dialog perlu diadakan di kalangan ilmuan bagi 'membebaskan' majlis ilmu dan menghapuskan sekatan yang telah dilakukan oleh pemerintah lalu.

"Saya harap kerajaan baru Pakatan Rakyat membuka perbahasan di kalangan masyarakat dengan memanggil golongan ilmuan dan tokoh agama untuk membahas perkara ini.

"Apa yang kita mahu adalah negeri Selangor menjadi satu negeri di mana ilmu Islam itu betul-betul dapat dihidupkan tanpa sebarang sekatan dan tindakan yang berbaur politik," katanya.

Sebelum ini, peraturan pentaulihan yang digubal BN mengandungi niat tertentu yang menyebabkan tokoh-tokoh agama seperti Dato' Ismail Kamus, Dr Harun Din dan ramai lagi tidak diberi tauliah dan dihalang menyampaikan kuliah agama di negeri ini.

"Namun sekarang negeri ini telah diambil alih oleh Pakatan Rakyat. Oleh itu kita perlu mengambil pendekatan yang lebih terbuka dengan tidak menyekat dan menyusahkan penduduk negeri ini mendapatkan ilmu," katanya.

Wednesday, November 11, 2009

Ulang tayang drama MIC


Masih ingatkah lagi drama dalam politik MIC apabila dua seteru parti bertemu dan berlakulah apa yang tidak disangka berlaku. Setiausaha Agung MIC, MG Pandithan (mendiang) tiba-tiba memeluk dan mencium Presiden 'seumur hidup' MIC, S. Samy Vellu dalam satu program parti.

Pandithan sebelum itu melancarkan kempen mogok lapar yang menyaksikannya berpuasa di sebelah sebuah keranda bagi membuktikan betapa seriusnya beliau untuk mendesak Samy Vellu menyelesaikan pertikaian peribadi antara mereka.

Pandithan akhirnya 'diselamatkan' oleh Datuk S. Subramaniam (seorang lagi musuh politik Samy Vellu) yang berjaya memujuknya mengakhiri mogok lapar persis tindakan Gandhi itu.

Pun begitu Pandithan tidak mendapat simpati Samy. Beliau akhirnya meninggalkan MIC dan menubuhkan All Malaysia India Progresif Front (IPF) bersama para pengikutnya. IPF cuba menjadi saingan MIC tetapi gagal. Malah sikap Pandithan yang umpama lalang -dalam mencari rakan politik menyebabkan IPF tidak sangat dihormati rakyat khususnya masyarakat India.

IPF kini masih berharap diterima sebagai kerabat BN meskipun MIC menentangnya... Dan peluang untuk IPF masuk BN terus tipis kerana perlembagaan BN menetapkan kemasukan mana-mana parti dalam gabungan BN perlu diterima secara sebulat suara (konsensus) oleh semua anggota BN.

Baru-baru ini berlaku krisis antara Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dan Ahli Parlimen Ampang Jaya, R Sivarasa berhubung kenyataan Ketua Umum KeADILan agar ahli-ahli parti itu mematuhi dasar dan peraturan parti. Jika tidak akan dipecat. Sivarasa dalam kenyataannya mendakwa amaran itu ditujukan kepada Zulkifli.

Zulkifli yang tidak berpuas hati melancarkan beberapa serangan terhadap Sivarasa. Antaranya mencabar Naib Presiden KeADILan itu itu bertanding dalam pemilihan parti.

Ahli parlimen Kulim Bandar Baru itu berkata beliau sanggup keluar parti jika kalah kepada Sivarasa dalam pertandingan jawatan naib presiden.

Katanya, beliau sanggup berbuat demikian kerana tidak mahu bersekongkol dengan parti yang tidak mempertahan dan tidak berjuang untuk menegakkan Islam dan hak umat Islam.

Itulah 'trademark' Zulkifli - 'Islam dan umat Islam'. Setakat mana isu-isu Islam dan umat Islam yang diperjuangkan Zulkifli memberi imej baik kepada Islam dan parti yang diwakilinya, hanya rakyat yang dapat menentukan.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian, Zulkifli yang persis bagaikan bayangan Pandithan tiba-tiba memeluk Sivarasa di hadapan para wartawan ketika rakan KeADILannya itu memberikan kenyataan media.

Maka riuh rendahlah media perdana mendakwa yang Zul dan Sivarasa hanyalah berdrama dalam 'krisis peribadi' sesama mereka.

Saya tak fikirlah Sivarasa berdrama... tapi bagi Zulkifli... saudara-saudarilah menjawabnya...

Thursday, May 28, 2009

Bila mak berkunjung ke rumahku

Ayah dan ibu
itulah permulaan kami
dapat melihat
bulan dan matahari.

Yang dikurniakan
dari Ilahi
ayah dan ibu
mestilah dihormati

Ayah dan ibu
wali keramat
pada mereka kita beri hormat
dapatkan tunjuk ajaran nasihat
semoga hidup
kita jadi selamat...

Lirik lagu R Azmi di atas pastinya meruntun perasaan semua manusia yang bergelar anak. Jika tidak benar-benar cekal semangat, lagu itu sukar didendangkan kerana pasti kita mudah sebak lantaran bait-bait katanya yang menyentuh perasaan.

Ketika artikel ini ditulis, mak saya buat pertama kalinya hadir di rumah. Bukan mudah untuk memujuk mak untuk bermalam di rumah kerana ingatannya pasti melayang kepada rumah kediaman yang ditinggalkan; jiran, pokok bunga, kucing, surau dan apa-apa saja yang terlintas di kotak pemikirannya.

Selepas abah meninggal dunia hampir lima tahun lalu mak memang tinggal sendirian. Memang ada adik beradik yang tinggal setaman, tetapi mereka juga sibuk dengan urusan keluarga masing-masing. Sesekali atau tiap-tiap hari mereka datang menjengok. Ada juga yang datang untuk menjengah mak, tak kurang juga yang mohon bantuan... apa-apa sajalah...

Kesempatan bersama mak diluangkan sebaik mungkin. Saya sengaja ponteng hadir ke satu mesyuarat penting syarikat kerana sudah berjanji dengan mak untuk membawanya bersiar-siar.

Pada suatu petang mak menunjukkan buku-buku akaunnya - Tabung Haji, BSN, ASB. "Hai... jalan jauh pun mak bawa semua nii...," soalku.

"Cuba tengok berapa bakinya," pinta mak.

Aku pun mengira... Alamak semuanya ada lebih RM17,000 tak termasuk seribu duit tunai.

"Duit tunai ni aku nak guna pasang aircond kat bilik aku bila balik nanti. Nanti budak Sopam tu balik bawa anak dia masa cuti sekolah aku nak suruh dia guna bilik tu. Anak dia tu tak boleh panas," jelasnya.

Sopam ialah adik perempuanku yang bertugas di Ipoh.

Aku mengeleng-ngelengkan kepala. Dengan RM1300 pencen arwah abah, mak boleh berjimat dan menabung.

"Aku cadang nak pergi humrah (umrah). Tapi tak tahu nak pergi dengan siapa. Kalau ikut orang susah, nanti kena tinggal," katanya.

Mak sebenarnya bukan asal orang senang. Ibu bapanya meninggal dunia sejak usianya belum mencecah mumaiyiz. Dia dipelihara seorang emak saudara manakala adik dan abangnya dipelihara emak saudara yang lain.

Mak bertemu jodoh dengan abah, guru sandaran bergaji kecil yang akhirnya diserap sebagai guru tetap di penghujung tempoh perkhidmatannya.

Kami berlapan beradik. Dengan gaji abah yang tak seberapa, mak berusaha mencari pendapatan sampingan. Jual kuih dan sebagainya. Tapi menguruskan lapan orang anak yang kecil-kecil dan lahir berurutan tahun bukan satu perkara mudah.

Tapi mak cekap menjalankan tugasnya. Makan minum kami ringkas. Pagi sebelum ke sekolah cekodok atau lempeng. Tengahari nasi berlauk tunggal dihidang dalam pinggan ayan. Bila cuti sekolah, menu kerap kali berubah. Kuih koci, bingka ubi, apam balik dan sebagainya. Sesekali mak masak sesuatu yang istimewa terutama jika ada saudara datang berkunjung.

Cuma satu yang masih kukenang hingga kini adalah 'kemahiran' mak menabung. Tabungannya tidak diketahui suami dan anak-anak.

Pernah suatu hari mak mengajakku pergi ke pasar Melaka. Tujuh batu jaraknya dari rumah kami. Ketika menunggu bas tiba, mak cik Enon menegur. "Wah berbelanja sakan kau Simah, sampai ke Melaka!" tegurnya dari seberang jalan.

"Taklah... ni ada tiga ringgit aje dalam poket. Nak beli ikan," jawabnya.

Aku terperanjat beruk... "Ai! Tiga ringgit nak makan apa. Tambang bas pun dah lima puluh sen. Pergi balik seringgit," ujarku mengira-ngira.

Aku kasihan tengok mak. Cukup ke duit nak belanja nii...

Setibanya di pasar Melaka mak pun membeli belah. Beli ikan kembung, sayur dan barang-barang lain. Syukurlah duit mak cukup.

Mak kemudian membawaku makan sate dekat gerai di pasar lama itu. Hatiku berdetik... "Eh! Ada ke duit lagi nii... tadi dah beli macam-macam."

Kulihat mak macam tak perasan duitnya hampir habis. Berselera sungguh dia makan sate. Aku cuma makan secucuk sate kerana risaukan duit yang hampir habis. Mak hairan kenapa aku tidak berselera.

Dalam keadaan tertanya-tanya, mak memanggil wak sate dan bertanyakan harga sate yang kami makan. Lantas mak mengeluarkan dompet kecilnya. Tatkala itu kulihat dalam dompet mak terdapat segumpal wang kertas berwarna merah. Rupa-rupanya mak ada duit. Saja disorokkan dari pengetahuan orang lain termasuk aku.

Penyesalan menyelinap... menyesal tak makan sungguh-sungguh. Apatah lagi sate, makanan kegemaranku yang selalunya kami sekeluarga kecapi setahun sekali ketika beramai-ramai menaiki kereta sewa untuk membeli baju raya di bandar Melaka.

Melihat mak banyak duit, aku mula buat perangai. Minta itu dan ini. Mak ikutkan aja. Mungkin gembira lihat aku kembali berselera.

Itulah sekelumit cerita masa kecilku.

Kini setelah dewasa dan berkeluarga, kisah-kisah silam menyebabkan aku bertambah kasih kepada dua orang tuaku.

Ayahku berpesan dalam surat wasiat terakhirnya buat anak-anak: "Jagalah baik-baik bondamu kerana dia tidak berpelajaran dan 'buta kayu'."

Mungkin bunyinya kasar, tetapi itulah hakikatnya. Mak tidak pandai membaca. Kemiskinan menyebabkan beliau tidak dihantar ke sekolah. Memang ada guru yang datang ke rumah memujuk nek Putih menyekolahkannya. Jawab nenek: "Dio budak betino. Tak payah sekolah. Dapo tuu tompek ehh... Sampai maso kawinlah dio. Nak mengaji tinggi-tinggi buek apo?"

Cuma satu kemahiran mak, dia pandai mengira. Walaupun buta huruf, mak tahu berapa jumlah duit di tangannya.

Pagi tadi aku membawa mak membeli sarapan di sebuah gerai di kediamanku.

Sedang aku menyeluk poket untuk membayar, dia menghalang. "Tak payah, mak nak tukar duit kecil," katanya sambil menghulurkan nota RM50 kepada tuan punyai gerai.

Aku tersenyum sendiri. "Mak dah kaya sekarang...," bisik hatiku.

Thursday, May 21, 2009

SPRM tak nampak Ali Rustam terhendap Daud Iraqi

Entahlah... apa nak jadi dengan SPRM? Ingatkan selepas bertukar nama dari BPR (Biro Pencegah Rasuah) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, imej dan reputasinya akan pulih, tapi nampaknya semakin hari semakin merudum...

Ketua Pesuruhjayanya juga, Ahmad Said Hamdan (Datuk Seri) tidak kering-kering dengan kontroversi. Selepas sibuk kononnya hendak mendakwa MB Selangor, Abdul Khalid Ibrahim (Tan Sri) kerana lembu korban dan caj servis kenderaan kini Ahmad Said kembali semula dengan kenyataan baru yang lebih 'mengancam'.

Ahmad mendedahkan usaha SPRM untuk memanggil Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi bagi memberi keterangan berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dalam pemilihan parti itu.

Kata Ahmad, pegawainya cuba menghubungi Mohamed Daud, tetapi tidak pasti sama ada mereka sudah mendapatkan keterangan yang diperlukan.

"Bagaimanapun, SPRM tetap akan memanggil beliau. Kita mahu lihat bukti yang beliau ada. Kadang-kadang kalau orang beri makan, kita tidak tahu sama ada dia buat kenduri atau sebaliknya," ujar Ahmad.

Begitulah berminatnya Ahmad dengan kenduri yang dibuat pemimpin PAS. Macamlah kenduri tu tindakan rasuah nombor wahid yang patut dibanteras.


Mohamed Daud dah jelaskan bahawa kenyataannya telah disalah lapor akhbar. Beliau sekadar mengingatkan, supaya budaya itu tidak berlaku dalam PAS.

Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang (Datuk Seri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Cikgu Mustafa Ali (Dato') juga mengesahkan bahawa tiada politik wang atau rasuah dalam PAS.

Dalam keadaan begitu pun SPRM sibuk-sibuk nak siasat Ustaz Daud Iraqi. Kesian orang tua tu. Kata nasihatpun dianggap SPRM sebagai 'asas kukuh' untuk jalankan siasatan.

Apa yang pelik mengapa SPRM tidak berminat langsung nak menyiasat Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam (Datuk Seri) yang terang-terang didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin Umno kerana melakukan rasuah?


Apa keistimewaan Mohd Ali hingga Ahmad Said dan SPRM takut untuk menjalankan siasatan. Malah Mohd Ali masih terus menerajui Melaka biarpun disahkan mengamalkan rasuah oleh Umno sendiri.

Begitulah rendahnya reputasi SPRM...

Ketua Penerangan Umno yang 'pening-pening lalat'

Ketua Penerangan UMNO yang baru, Ahmad Maslan dilapor Utusan Online menggesa BN memboikot pilihan raya kecil yang mungkin diadakan lagi pada masa depan jika didapati ia 'diatur' oleh pihak pembangkang.

Menurut Ahmad, BN perlu berpolitik mengikut caranya tersendiri dan tidak harus terpedaya dengan perangkap pembangkang yang menjadikan siri pilihan raya kecil sebagai medan membina imej mereka.

"Pembangkang menggunakan siri pilihan raya kecil di kawasan yang memang dikuasai oleh mereka sebagai strategi membina imej dan akan mengeksploitasi kemenangan yang sememangnya dijangka menjadi milik mereka bagi melemahkan BN.

"Maka, BN perlu menggunakan pendekatan tidak bertanding sebagai satu strategi agar kita tidak termasuk dalam perangkap mereka selain mengelakkan pembaziran wang rakyat dan masa kerajaan," katanya di sini hari ini.

Begitulah hebatnya pemuka Umno itu bercakap tentang pembaziran wang rakyat dan masa kerajaan. Persis macam 'pemimpin pembangkang'. Tidak sedarkan beliau betapa banyaknya pembaziran wang rakyat oleh BN yang menjadi punca kemelesetan pengaruh parti itu di kalangan rakyat.

Kita tentu masih ingat bagaimana dua PRK diadakan di Selangor pada dekad 1990-an semata-mata kerana ingin membuka jalan kepada Dato' Abu Hassan Omar yang ketika
itu menjawat Menteri Pusat untuk bertanding di Dun dan kemudiannya dilantik MB Selangor.


Tidak pula riuh terdengar kononnya tindakan BN itu membazirkan wang rakyat... Sebabnya mudah. Pada waktu itu BN yakin menang besar dan pengaruh parti lawan tidaklah sehebat sekarang.

Hanya setelah yakin kalah pilihan raya dan takut brhadapan dengan parti lawan, barulah Umno bercakap soal pembaziran sedangkan perbelanjaan SPR bagi setiap PRK itu dibuat dalam konteks amalan demokrasi berparlimen.

Ahmad juga berkata, jentera penerangan UMNO di semua cawangan di seluruh negara diarahkan sekurang-kurangnya melaksanakan satu aktiviti penerangan setiap bulan.

Langkah itu bertujuan membolehkan 60,000 jentera itu yang sebelum ini 'tidur' berfungsi sebagai badan yang bertanggungjawab menjelaskan dasar dan sumbangan kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

"Jika semua jentera penerangan yang mempunyai kekuatan 60,000 orang ini memainkan peranan masing-masing, UMNO dan BN pada bila-bila masa bersedia untuk mengalahkan pembangkang," jelasnya.

Menurut Ahmad, terdapat 20,000 jentera penerangan di peringkat cawangan parti selain 18,000 Ketua Penerangan Wanita, 15,000 Ketua Penerangan Pemuda dan 7,000 Ketua Penerangan Puteri.

Soalnya, siapa sebenarnya yang membiayai jentera penerangan Umno ini? Parti atau kerajaan?

Ini kerana menurut Ahmad, jentera penerangan UMNO gagal bertindak untuk memberikan penerangan dengan efisien kepada akar umbi sehingga masyarakat tidak dapat melihat sumbangan kerajaan walaupun telah jutaan ringgit dibelanjakan untuk kepentingan rakyat.

Inilah salah satu contoh pening lalat pemimpin Umno... Mereka gagal untuk membezakan antara parti dengan kerajaan.

Jutaan ringgit duit kerajaan yang dibelanjakan untuk kepentingan orang ramai dianggap macam duit Umno sehingga 'jasa' Umno dan BN perlu dikenang 'dulu, kini dan selamanya'...

Pening, pening...

Bola tanggung pemimpin PAS



Tidak diketahui dengan jelas siapakah empunya ide yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau pemilihan PAS Pusat yang berlangsung dari 5-7 Jun hadapan.




Apa yang jelas, cakap-cakap supaya SPRM diberi ruang untuk sibuk-sibuk dalam pemilihan PAS adalah selepas Ketua Dewan Ulama PAS, Dato' Mohd Daud Iraqi terlepas cakap wujudnya kegiatan 'memberi hadiah' kepada para perwakilan PAS peringkat kawasan yang rancak bersidang.




Maka 'spin doctor' media massa yang 'lapar' dengan berita-berita politik wang pun mengarahkan para pemberitanya membesar-besarkan isu tersebut sehingga 'tembak-tembak jauh' Ustaz Mat Iraq itu dianggap sebagai benar dan perlu disiasat.




Lebih mengeruhkan keadaan bila ada pemimpin PAS negeri yang macam tidak serik-serik dengan permainan media memberikan komen-komen seperti mengiyakan apa yang disangka wujud oleh 'spin doctor' media massa. Ungkapan-ungkapan seperti 'mesti disiasat sehingga ke akar umbi', 'perlu diadili oleh Majlis Syura' dan 'perlu diambil tindakan jika benar-benar wujud' pun terpacullah daripada mulut mereka.




Sepatutnya komen yang paling tepat adalah 'saya tidak mahu komen sebab perkara itu tidak wujud dalam PAS'.




Komen-komen tidak bijak inilah yang mendorong beberapa pemimpin Umno seperti Muhyiddin Yasin dan Mukhriz Mahathir memberi ulasan 'lipat maut' semacam budaya politik wang dalam PAS sama teruk macam yang dihadapi Umno. Nak salahkan mereka pun tak boleh juga sebab yang beri 'bola tanggung' adalah pemimpin PAS sendiri.




Setakat ini Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang (foto) telahpun memberikan kenyataan bahawa tidak ada sebarang unsur politik wang dalam pemilihan PAS. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Mustafa Ali juga menjelaskan bahawa tiada sebarang aduan tentang politik wang diterima jawatankuasanya setakat ini.




Pun begitu masih ada juga pemimpin PAS yang gagal menjaga mulut dan masih menggunakan hujah 'jika ada' bila ditanya pemberita.




Rasanya para pemimpin PAS peringkat negeri perlu diberi kursus bagaimana cara menghadapi media. Jika tidak benda yang tidak wujud dikatakan berlaku dan akhirnya akan merugikan imej parti dan jamaah.

Thursday, May 14, 2009

Bila "Mugabe Perak" dakwa contohi Gandhi dan Mandela





CERITA Perak lagi... 12 Mei lalu riuh seantero negara apabila tulisan Menteri Besar Haram Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kader di dalam blognya dipetik oleh beberapa akhbar dalam talian antaranya The Star Online.


Setelah riuh dengan projek melelong kereta rasmi negeri - Toyota Camry - yang ternyata tidak mendapat sambutan, Zambry yang nyata kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah menulis di dalam blognya:


"Bagaimanapun saya dan rakan-rakan akan meneruskan perjuangan kami menegakkan keadilan dan membela rakyat. Ini adalah tradisi dan intipati perjuangan Barisan Nasional.


"Menegakkan kebenaran bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.


"Nelson Mandela misalnya mengorbankan kebebasannya selama 27 tahun demi membebaskan rakyat Afrika Selatan dari cengkaman “apartheid”.


"Mahatma Ghandi pula mengorbankan nyawanya untuk memastikan kemerdekaan India serta rakyatnya dapat hidup aman tanpa sempadan kasta dan agama.


"Perjuangan menegakkan keberanian ini memerlukan keberanian. Mandela pernah berkata : "Saya mempelajari bahawa keberanian bukanlah bermakna tidak punya perasaan takut, tetapi berjaya mengatasinya. Mereka yang berani bukanlah mereka yang tidak punya perasaan takut tetapi mereka yang mampu menakluki rasa takut itu..."


"Jika dibandingkan dengan dua tokoh yang disebutkan tadi, perjuangan dan pengorbanan yang saya serta rakan-rakan lalui tidaklah seteruk mereka. Sekurang-kurangnya saya tidak hilang kebebasan atau disakiti untuk menegakkan kebenaran.


"Saya hanya menempuhi persepsi umum yang negatif seperti yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang termasuk Menteri Besar Dato’ Seri Nizar Jamaluddin serta orang-orang kanannya.

"Tuduhan terbaru ialah penggunaan bomoh yang saya rasakan amat serius kerana ia melibatkan perbuatan syirik. Ini adalah antara taktik politik kebencian (politics of hatred) yang digunakan oleh mereka supaya rakyat membenci BN.


"Tetapi taktik seperti ini bukanlah budaya BN. Memetik kata Martin Luther King Jr, kegelapan tidak akan mengatasi kegelapan. Kebencian tidak akan menghapuskan kebencian, hanya kasih sayang mampu mengubahnya."



Begitulah hebatnya Zambry beretorik sehingga membabitkan nama-nama besar pemimpin dunia.


Benarlah kata-kata beliau bahawa ujian yang ditempuhinya tidak sehebat Gandhi dan Mandela. Apa tidaknya... jika dua tokoh dunia itu sanggup menghabiskan sebahagian usia produktif mereka di penjara British tanpa mengorbankan prinsip, Zambry seperti diketahui umum mengorbankan prinsip hanya setelah ditahan tidak sampai sebulan di bawah ISA...


Beliau juga sebenarnya bukanlah mangsa dalam kemelut politik Perak. Mangsa sebenar ialah Nizar dan Pakatan Rakyat yang dipilih secara sah oleh rakyat.


Zambry dan BN memperalatkan jentera dan kakitangan kerajaan termasuk polis untuk mengekalkan kuasa, persis seperti Robert Mugabe (foto) yang menggunakan segala instrumen negara yang ada untuk kekal sebagai Presiden di Zimbabwe sejak 1980.


Malah penafiannya tentang penggunaan bomoh di Dun Perak pastinya memakan diri kerana Adun Pakatan Rakyat, Drs Khalil Idham Lim mempunyai bukti bergambar tentang 'bomoh BN' yang melaksanakan tugas-tugas syirik di Dun tersebut sehari sebelum sidang 7 Mei berlangsung.


Zambry boleh terus beretorik... tetapi beliau tentunya tidak layak untuk memetik kata-kata Gandhi dan Mandela mahupun Martin Luther King dalam mempertahankan kaedah haramnya untuk terus berkuasa. Zambry sebenarnya lebih rapat dengan Mugabe. Dan jika sesuai, beliau boleh digelar sebagai "Mugabe Perak".


Rakyat negeri Perak bukanlah sebodoh itu untuk menerima 'politik kebencian' seperti didakwa olehnya. Apa yang penting adalah kebenaran...


Dan Zambry, Umno juga BN sebenarnya tidak punyai kekuatan untuk berhadapan dengan kebenaran! Begitu jugalah Mugabe...

Monday, May 11, 2009

Kek Harijadi Dari Nizar Untuk Ulang Tahun Umno

RAMAI tidak menyedari bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengiktiraf Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, 11 Mei lalu adalah bersamaan dengan tarikh sambutan 63 Tahun penubuhan Umno.


Sambutan Ulang Tahun Umno itu tidak diketahui ramai kerana ia disambut secara 'kecil-kecilan' oleh para pemimpin Umno Pusat di Bangunan Umno, PWTC Kuala Lumpur. Menteri Besar Haram BN Perak, Datuk Sri Zambry Abdul Kader juga dilapor bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sambutan itu sehinggakan para wartawan yang berada di pejabatnya untuk mendapatkan ulasannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hanya dilayan pembantu peribadinya.


Nizar dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri di kediamannya di Sungai Rokam Ipoh menyifatkan kemenangannya sebagai 'kek harijadi' sempena kelahiran 63 tahun Umno.


Kenyataan beliau yang pastinya berbau sinikal itu memberi isyarat jelas kepada Umno dan BN bahawa sebarang tindakan yang mengetepikan undang-undang dan perlembagaan pasti akhirnya menerima padah.


Setakat ini Zambry akur dengan keputusan mahkamah dan pejabatnya di Bangunan SUK Perak sudahpun dikosongkan pembantu peribadinya. Nasib beliau agak beruntung kerana barangan peribadinya pasti berada dalam simpanan pembantunya berbanding Nizar yang hilang semua barangan peribadinya akibat tindakan gopoh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak pro-Umno, Datuk Dr (?) Abdul Rahman Hashim.


Abdul Rahman yang disifatkan sebagai duri dalam daging pentadbiran Pakatan Rakyat Perak selain Pengerusi Bernama, Datuk Seri Anuar Zaini telah menunjukkan belang sebenarnya apabila mengherdik dan menghalau wartawan pada sidang media Nizar di pejabatnya 6 Februari lalu walaupun Nizar pada waktu itu masih Menteri Besar yang sah dan Zambry Abdul Kader belum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar kudeta BN.



Bagaimanapun mesyuarat Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah mengambil keputusan menggantung tugas Abdul Rahman Hashim dan penasihat perundangannya Datuk Ahmad Kamal Shahid.


Keputusan menggantung dua pegawai kanan ini menurut Nizar "bukan balas dendam" tetapi melihat kepada tindak-tanduk mereka yang tidak berpegang kepada prinsip profesionalisme dan secara terang-terangan menyebelahi BN.


Pengerusi gabungan badan bukan kerajaan Perak - Jama'iy, Dr Khairuddin bin Dato' Abd Malik Hasibuan telah menulis surat terbuka kepada Ketua Setiausaha Negara supaya menyiasat tindak-tanduk Abdul Rahman yang menyalahi etika seorang kakitangan kerajaan kerana merelakan diri dijadikan alat politik BN.


Ini bukanlah pertama kali Abdul Rahman menerima hukuman daripada sikap tidak profesional beliau, malah SUK Perak itu pernah dihalau keluar daripada Dun Perak oleh Adun Pakatan Rakyat (lihat gambar)kerana berlagak hero ketika Dun bersidang, 7 Mei lalu.


Krisis Perak bagaimanapun jauh dari berakhir. Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah menyatakan kesediaan BN untuk membuat rayuan. Permohonan sudahpun difailkan peguam Zambry di Mahkamah Rayuan menuntut agar keputusan Mahkamah Tinggi ditangguhkan.


Jelas tindakan 'lapar kuasa' BN ini mengkhianati slogan "1Malaysia - Rakyat Didahulukan".


BN khususnya Najib sudah maklum bahawa rakyat Perak mahukan mandat dikembalikan kepada mereka. Tuntutan supaya Dun Perak dibubarkan bukan sahaja datang daripada Pakatan Rakyat dan majoriti rakyat negeri itu; malah ia disuarakan para ahli akademik, pakar undang-undang dan pemimpin Umno sendiri.


Sampai bilakah Najib akan menongkat langit dan menjadikan slogan "1Malaysia-Rakyat Didahulukan" sebagai sendaan umum?

Friday, May 8, 2009

Dia yang memukul, dia yang menangis...


Pembangkang 'serang' kami - kata Menteri Besar kudeta BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Zambry dengan 'auta kelingnya' dilaporkan kesal terhadap tindakan 'pembangkang' yang kononnya bertindak 'biadab' dan 'kurang ajar' sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, 7 Mei lalu.

Beliau mendakwa kononnya Adun Pakatan Rakyat menggunakan 'undang-undang rimba' dan seperti biasalah mendakwa mereka 'tidak menghormati institusi raja'.

Siapa sebenarnya yang menggunakan 'undang-undang rimba' di Perak jika bukan BN pimpinan Zambry.

Beliau harus sedar bahawa tindakannya memperalatkan setiausaha dewan dan setiausaha kerajaan negeri untuk memanggil sidang Dun dengan mengetepikan speaker yang sah adalah satu cabang 'undang-undang rimba'.


Zambry juga mengetepikan semua kaedah dan peraturan Dun yang bertamadun apabila secara berwewenang mengusulkan supaya speaker yang sah dipecat dan speaker haram dilantik. Dan speaker haram ini diperalatkan pula untuk memanggil polis ke dalam dewan yang mulia bagi menarik keluar speaker yang sah!
Adakah semua ini bukan 'peraturan rimba' yang sudah dirancang oleh Zambry dan konco-konconya di Perak.

Seperti juga MB, speaker Dun tidak boleh dipecat melainkan dengan tiga cara iaitu; meletakkan jawatan, meninggal dunia atau Dun dibubarkan. Undang-undang rimba mana yang dikuti Zambry untuk memecat speaker dengan 'suara majoriti'?

Sebenarnya Zambrylah algojo di Dun Perak yang melanggar segala peraturan dan undang-undang semata-mata kerana ingin mengekalkan kuasa tanpa mandat rakyat.

Beliaulah yang telah menjadikan Dun Perak sebagai sarkas demokrasi kerana tidak langsung menghormati mahkamah yang belum memutuskan siapa sebenar MB yang sah di negeri itu sebelum memanggil sidang Dun.

Tanpa memperalatkan pegawai kerajaan dan polis, Zambry dan konco-konconya pasti gagal dalam percubaannya merampas kuasa speaker.
Insiden ini meletakkan kerajaan pimpinan Zambry sebagai lebih teruk daripada sarkas. Dan istilah paling tepat untuk menggambarkan kerajaan yang dibentuk BN di Perak adalah "Kerajaan Kartun BN Perak".


Bubarkan Dun Perak! Kembalikan kuasa ke tangan rakyat!

Najib kena tanya siapa pencetus 'sarkas demokrasi' di Perak?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kekecohan yang berlaku di Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, 7 Mei lalu sebagai sesuatu yang amat memalukan.

Menurut Najib, 'sikap pembangkang itu' secara langsung mencemarkan imej institusi demokrasi negara di mata dunia.

Wah! Begitu prihatin Najib terhadap imej negara...

Bagaimanapun jika Najib boleh berfikir sejenak, beliau Najib bertanya punca sebenar kejadian memalukan itu pada dirinya sendiri!


Setelah menggerakkan rampasan kuasa BN di Perak Januari lalu, Najib perlu lebih bertanggung jawab dengan komentarnya. Tanpa insiden penculikan tiga Adun Pakatan Rakyat yang akhirnya mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas pro-BN, kemelut politik di Perak tidak akan berlaku.

Gerakan rampasan kuasa BN di Perak ini juga dikritik mentor Najib, Dr Mahathir Mohamad. Che Det menyifatkan tindakan merampas kuasa itun sebagai terburu-buru dan tidak matang.

Malah Mahathir sendiri mengakui Yang Dipertuan Agong tidak punya kuasa untuk memecat Perdana Menteri setelah dilantik. YDP Agong kata Mahathir hanya boleh tidak memperkenankan perlantikan seseorang sebagai PM tetapi tidak boleh memecatnya. Dan peraturan ini juga terpakai di peringkat negeri dalam hubungan Sultan dan MB...

Tragedi hitam demokrasi yang berlaku di Perak berpunca daripada Najib... dan Najiblah sebenarnya yang menjadikan Perak sebagai medan sarkas demokrasi di pentas dunia.


Penggerak sarkas ini adalah MB haram, Dr Zambry Abdul Kadir dan para Adun Umno-BN yang gila kuasa kerana selama ini tidak pernah tersungkur dari medan kuasa!

Monday, May 4, 2009

Lelong Camry: Terbukti Zambry buat kerja membazir


AKHIRNYA seperti diduga lelongan kereta Camry oleh kerajaan kudeta BN Perak tidak mendapat sambutan.

Sekretariat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri seperti dilapor mStar Online hanya menerima tujuh borang tender untuk membeli 16 kereta Toyota Camry berusia dua bulan itu.

Tawaran untuk membeli kenderaan itu pada harga pasaran RM148,000 setiap satu dibuka 28 April lalu dan ditutup tengah hari, 4 Mei lalu.

Menurut Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Shamshuzaman Sulaiman sebanyak 40 borang telah dikeluarkan sejak minggu lalu.


Daripada 40 borang yang dikeluarkan, hanya 7 yang dikembalikan... Begitulah sambutan warga Perak terhadap tindakan bodoh dan membazir kerajaan kudeta BN Perak.


Cuba kita bayangkan bagaimana kereta-kereta rasmi kegunaan Exco Pakatan Rakyat yang didaftarkan Januari lalu dengan catatan mileage (perbatuan) antara 2,000 hingga 20,000 kilometer perjalanan hendak dilelong.

Alasan bodohnya kerana kerajaan kudeta BN ingin berpegang kepada dasar menggunakan kereta buatan Malaysia (Proton Perdana) sebagai kenderaan rasmi.

Apa yang pelik, BN Perak begitu ghairah berpegang kepada "dasar dan prinsip" dalam soal kereta rasmi tetapi tidak mahu langsung berpegang kepada prinsip ketelusan, amanah dan kebertanggungjawaban (akauntabiliti) bila mahu mengambil alih pentadbiran negeri.

Hingga kini pentadbiran negeri Perak menjadi tunggang-langgang dan lintang-pukang akibat kegelojohan BN untuk berkuasa. Dan salah seorang yang menjadi alat untuk memastikan BN terus menongkah arus kehendak rakyat ialah Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dan antara 'projek awal' kerajaan kudeta BN pimpinan Zambry 'Pele' Abdul Kader adalah melelong kereta milik kerajaan.

Jelas tindakan Zambry ini merugikan duit rakyat walaupun beliau yang digelar 'Mugabe' oleh sebahagian rakyat negeri itu mendakwa kononnya lelongan itu tidak merugikan.

Cuba baca berita laporan Bernama di bawah:

Lelong Camry tidak merugikan - Dr. Zambry

IPOH 24 April — Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, langkah kerajaan negeri melelong 16 kereta Toyota Camry yang dibeli oleh pentadbiran sebelum ini tidak akan merugikan malah mungkin memperoleh harga lebih tinggi.

Beliau berkata, kenderaan berkenaan dibuka pada harga semasa iaitu RM148,000 tetapi besar kemungkinan ada pihak yang akan membuat tawaran harga lebih tinggi.

Katanya, dakwaan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kononnya tindakan berkenaan akan merugikan wang rakyat adalah tidak berasas sama sekali. - Bernama

Begitulah bongkaknya Zambry membidas Menteri Besar yang sah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika awal isu ini tercetus.

Ternyata kini cakap-cakap besar Zambry tidak berasas kerana kereta-kereta tersebut pasti akan dijual di bawah harga tawaran kerana kekurangan minat belian.


Tak tahulah di mana Zambry mengaji ekonomi apabila mendakwa kereta yang mempunyai ciri 'keusangan' boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran...


Pelajar subjek perdagangan dan akaun tingkatan 1 pun boleh tergelak membaca kenyataan Zambry yang tak reti soal 'susut nilai'.

Nasiblah rakyat Perak kerana dipaksa bermenteribesarkan orang yang 'kantoi' matematik...

Sunday, May 3, 2009

Bila isteri lari tinggalkan suami...

KEGAWATAN ekonomi yang melanda dunia kini banyak mendatang kesan negatif. Negara kita juga telah mula menerima tempiasnya.

Ribuan pekerja di sektor perkilangan dan pembuatan telah diberhentikan kerja akibat majikan - termasuk syarikat bertaraf multinasional - mengambil keputusan mengurangkan kakitangan (downsizing), mengurangkan operasi dan lebih teruk lagi memberhentikan operasi.

Semuanya berpunca daripada penguncupan permintaan di peringkat global.

Itu nasib yang menimpa pekerja swasta... Bagaimana pula pekerja sektor awam?

Rupa-rupanya kelembapan ekonomi dunia turut membabitkan pekerja sektor awam terutamanya kakitangan kontrak. Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dilaporkan menerima aduan saban hari daripada kakitangan awam yang diberhentikan kerja atau ditamatkan kontrak sejak kegawatan ekonomi melanda dunia.

Antara aduan yang diterima adalah isteri lari, anak terpaksa berhenti sekolah dan hutang keliling pinggang.


Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, ramai ahli yang kehilangan pekerjaan meminta bantuan kongres untuk membantu mengatasi masalah mereka.

"Ada yang mengadu isteri mereka sudah 'lari' kerana tidak sanggup mengharungi hidup susah selepas suami diberhentikan kerja. Ada yang tidak mampu menyambung persekolahan anak-anak. Ramai yang mengalami kesempitan hidup dan diburu hutang bank.

"Kes-kes ini berlaku di kawasan pedalaman Pantai Timur termasuk di Gua Musang, Kelantan. Mereka sendiri mengadu terus kepada saya untuk minta bantuan," katanya kepada wakil media.

Menurut Omar, sejak 2008 lebih 3000 kakitangan awam di seluruh negara telah ditamatkan kontrak atas alasan kegawatan ekonomi.

Daripada jumlah itu, seramai 425 orang merupakan kakitangan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan dan 113 pula petugas di JPN Terengganu.

"Saya juga menerima laporan ramai lagi kakitangan awam yang bertugas secara kontrak bakal diberhentikan.

"Saya berharap tindakan memberhentikan pekerja-pekerja tersebut dapat dielakkan. Jumlah pengangguran yang bertambah akan mengakibatkan kesan sosial yang lebih berat," katanya.

Omar sepatutnya bertanya kepada PM Mohd Najib Razak, apa jadi dengan janji-janji kerajaan BN untuk tidak menamatkan khidmat kakitangan kontrak.

Malah Cuepacs sendiri pernah mengugut akan melancarkan piket jika permintaan untuk tidak menamatkan kakitangan kontrak ini tidak dilayan kerajaan.

Cuepacs juga perlu bertanyakan janji Mohd Najib untuk mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan di sektor awam bagi menampan krisis kemelesetan ekonomi dunia. Adakah janji-janji itu akan, sedang dan telah dilaksanakan?

Jika sekadar melawat Pudu Raya dan Chow Kit Road tanpa sebarang langkah konkrit menyelesaikan masalah rakyat, sia-sia sajalah slogan One-Malaysia...

Di masa yang sama, skim pendaftaran warga diberhentikan kerja oleh Kerajaan Negeri Selangor nampaknya membuahkan hasil. Menurut MB Abdul Khalid Ibrahim, 65% mereka yang diberhentikan kerja di Selangor telah pun mendapat pekerjaan baru hasil daya usaha kerajaan negeri itu.

Selangor juga menjadi negeri pertama yang menawarkan bantuan kewangan kepada mereka yang diberhentikan kerja melalui Pusat Zakat Selangor (PZS).

Itulah bezanya antara "kerajaan yang hanya bercakap" dengan "kerajaan yang buat apa yang dicakap". Tapi jika kita bertanya kepada Naib Canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah apa yang Kerajaan Selangor dah buat? Jawapan yang pasti adalah: "Saya tidak melihat apa-apapun..."

Berbalik kepada isu pembuangan pekerja tadi, adalah penting bagi semua pihak untuk menggembleng fikiran dan tenaga bagi menghadapi kemelut ekonomi yang melanda.

Ada penganalisis ekonomi yang berpendapat, negara belum berhadapan dengan 'the worst case scenario'. Impak sebenar kemelesetan ekonomi hanya dirasai Malaysia dalam beberapa bulan akan datang dan hanya berakhir pada 2013... Benarkah?

Cuba bayangkan berapa ramai isteri yang akan meninggalkan suami jika trend ini berpanjangan dan tiada langkah konkrit diambil pihak berkuasa?

Wednesday, April 29, 2009

Kerja bodoh adalah memberi senjata kepada musuh

RAMAI yang terkedu dengan 'kelantangan' Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan yang juga AJK Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menyerang 'pembantu ayahanda’ dalam blog beliau.

Setakat ini usaha pemberita Harakah Kelantan untuk mendapatkan penjelasan beliau masih gagal. Malahan telefonnya tidak diangkat.

Sekonyong-konyong kenyataan beliau bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dalam tulisannya itu disiarkan oleh Utusan Malaysia - akhbar yang selama ini sering memutarbelitkan dan mencemarkan reputasi ayahandanya.

Nik Abdul dilaporkan Utusan Malaysia sebagai berkata:

"Mereka (pembantu politik) mungkin berpuluh-puluh, mereka adalah benar dan betul kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.

"Pekerjaan bodoh hanyalah satu dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Kerja bodoh bukan menolak kerajaan perpaduan, kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud tidak benar, dengan tujuan yang tidak benar di sisi agama.

"Mereka ini pejuang nafsu, saya tidak mahu katakan nafsu politik atau wang tetapi apabila disebut nafsu ia bertentangan dengan agama."

Begitulah bersemangatnya Nik Abduh dalam membodohkan rakan-rakan sejemaahnya.

Diberitakan juga, ayahanda Nik Abdul yang sedang menunaikan umrah telah menelefon dari Mekah dan memintanya memberi penjelasan lanjut berhubung tulisannya itu bagi mengelakkan orang ramai terkeliru.

Kata Nik Abduh, biarpun ramai yang marah malah mengecamnya kerana tulisan tersebut, beliau terpaksa melakukannya kerana bimbang ‘pembantu-pembantu’ terbabit mengancam keutuhan parti tersebut yang dipimpin oleh ulama.

“Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan antara ulama. Inilah kerja bodoh! Saya maksudkan kerja seperti ini dan tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.

“Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua berasa tidak tenteram. Saya menyerang pada puncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya, anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan,” kata Nik Abduh.

Tidak diketahui setakat mana tulisan Nik Abduh itu dapat 'menyatukan' dan 'menenangkan' PAS. Apa yang jelas, ayahandanya yang sedang menunaikan umrah di Tanah Suci juga tidak tenang dengan pergolakan yang dicetuskan oleh Nik Abduh.

Memang enak untuk melabelkan orang lain sebagai bodoh tetapi sebenarnya kebodohan tahap tertinggi adalah memberi senjata kepada musuh!

Tuesday, April 28, 2009

Adun Umno ada masalah kewangan? Bayar ajalah...

Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang menghadapi masalah kewangan dilaporkan Bernama tidak akan meletak jawatan. Bernama memetik kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Kata Shafie desas-desus kononnya Syed Sobri, yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap, akan meletak jawatan kerana masalah yang dihadapinya mengganggu prstasinya sebagai wakil rakyat adalah tidak benar.

"Memang Syed Sobri menemui saya di Kuala Lumpur pada Ahad lepas (26 April) dan kami telah berbincang beberapa perkara yang dihadapinya. Selaku ketua perhubungan yang baru, saya memberi nasihat dan beliau menerimanya dengan baik dan berjanji akan terus berkhidmat kepada rakyat," kata Mohd Shafie.

Shafie bagaimanapun enggan menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Kuala Nerang itu.

Pada 3 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Alor Setar mengisytiharkan Syed Sobri muflis selepas gagal menjelaskan hutang lebih RM150,000.

Pelik ya... muflis pun boleh terus jadi wakil rakyat. Sepatutnya dah hilang kelayakan. SPR pun tak pula sibuk-sibuk nak siasat.

Apa nak dihairankan... kalau yang dihadapi tu masalah kewangan dan setakat RM150,000 saja, bila-bila masa Umno boleh jelaskan.

Tentu ada yang masih ingat insiden pilihan raya kecil Dun Pantai Merdeka pada 1990, calon BN Shuib Lazim telah diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah. Bantahan dibuat oleh calon PAS, Dato' Muslim Othman diketepikan begitu sahaja oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Keesokan harinya Shuib pergi ke mahkamah tinggi Kuala Lumpur untuk jelaskan hutangnya. Selesai begitu sahaja dan Shuib terus jadi wakil rakyat.

Moral ceritanya... jika anda ahli Umno, buatlah sesuka hatimu...

Monday, April 27, 2009

SPR oh SPR!

SEJAK punyai pengerusi baru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih gagal melepaskan dirinya daripada kontroversi.

Jika dahulu, mantan Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman disifatkan sebagai seorang yang 'robust' dan 'outspoken' sehingga kadang-kadang merimaskan BN apatah lagi pakatan pembangkang, kini pengerusi barunya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dilihat begitu "memberi muka" pada BN.

Lihat sahajalah pemilihan tarikh PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai yang dibuat selepas Umno selesai bersidang.

SPR juga dikatakan 'terpaksa' menunggu mesyuarat pertama Majlis Tertinggi Umno (selepas perhimpunan agung 2008 parti itu) sebelum menentukan tarikh PRK Penanti.

Terkini SPR mengumumkan keputusan melarang kewujudan pondok panas dan peraih undi yang akan bermula pada PRK Penanti 31 Mei ini.

Menurut Ahli MPT KeADILan Saifuddin Ismail Nasution, SPR nyata tidak konsisten dengan peraturan yang digubalnya sendiri.

"Pada tahun 2004, sebelum pilihan raya, SPR tidak membenarkan pondok panas tetapi pada pagi hari mengundi, BN telah mendirikan pondok panas sedangkan kita (Barisan Alternatif) patuh dengan peraturan itu.

"Bila kita tanya SPR, mereka kata peraturan itu diubah pada pagi pilihan raya itu," katanya kepada mStar Online.

Ada juga maklumat yang mengatakan keputusan SPR membatalkan peraturan-peraturan baru yang dibuat sebelum PRU2004 berpunca daripada kegagalan menggazetkannya di Parlimen.

Kegagalan SPR ini diketahui jentera PR BN dan mereka menggunakan kesempatan itu untuk terus membina pondok panas dan merayu undi pada pagi hari pembuangan undi.

Seperkara lagi yang menarik untuk diulas adalah mengapa selama ini SPR membenarkan aktiviti merayu undi sedangkan Akta Pilihan Raya secara jelas melarang sebarang kempen diadakan selepas jam 12 tengah malam sebelum hari pengundian.

Merayu undi bukan kempenkah? Pening... pening...

Adalah munasabah untuk SPR menguatkuasakan tempoh bertenang, sekurang-kurangnya sehari sebelum hari pembuangan undi. Tempoh bertenang ini penting bagi membolehkan pengundi berfikir dan membuat keputusan parti manakah yang patut mereka undi pada hari pengundian.

Bukan itu sahaja, media massa terutamanya TV patut 'diharamkan' berkempen dalam tempoh bertenang itu.

Bukankah kaedah ini lebih aman dan bertamadun?

Sunday, April 26, 2009

Impian Shafie Apdal, menteri yang kerap gagal

Biarpun baru dilantik mempengerusikan Perhubungan Umno Kedah, Naib Presiden Umno yang berasal dari Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah pun berangan nak menawan negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Memanglah bagus untuk bercita-cita tinggi, tapi Shafie perlu melihat 'track record'nya sepanjang menjawat Menteri kabinet sebelum bercita-cita tinggi.

Khabarnya isteri Shafie orang Kedah. Tapi itu bukannya faktor utama yang membolehkan beliau memahami dan hadam budaya politik Kedah. Paling mudah, mampukah Shafie bertutur dialek Kedah jika slanga Sabah beliau masih tebal?

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu juga berkata akan menggunakan pengalamannya ketika menjadi pembangkang di Sabah bagi merampas kembali Kedah yang kini dikuasai PAS.

"Pengalaman semasa BN menjadi pembangkang di Sabah akan saya bawa ke Kedah. Kaedah yang sama sehingga Sabah kembali kepada BN bakal diterapkan.

"Jika di Sabah BN berjaya, saya yakin Kedah pun tidak mustahil untuk kita rampas kembali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, 26 April lalu.

Tak payah nak bercakap besarlah Shafie... Kaedah yang digunakan BN untuk merampas semula Sabah daripada PBS sukar dilaksanakan di Kedah. PBS tumbang di Sabah bukannya disebabkan oleh kepintaran BN khususnya Shafie dalam berpolitik. Ianya berpunca daripada pendaftaran ratusan ribu pendatang asing Sabah yang diberikan kad pengenalan segera dan didaftarkan sebagai pemilih.

Tanpa pendatang asing Filipina, Indonesia dan Pakistan di Sabah, BN khususnya Umno tidak akan berkuasa di Sabah.

Tak tahulah pula jika Shafie akan menggunakan tektik yang serupa untuk mendaftarkan pendatang asing Thailand, Myanmar dan Indonesia sebagai warganegara, diberikan kad pengenalan dan kemudian mendaftar sebagai pemilih di Kedah.

Kedah bukan macam Sabah Shafie oii... Setiap pengundi di setiap lokaliti dikenali oleh petugas pilihan raya PAS.

Jaga-jaga Senator Yusof Husin oii (Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri)... Tak mustahil ramai buruh Thai, Myanmar dan Indon di Kedah yang mula belajar bercakap loghat Utara. Mana tidaknya, Shafie nak bagi kad pengenalan baru!

Selepas gagal melindungi hak pengguna dan rakyat ketika menjawat Menteri Hal Ehwal Pengguna, Shafie kini menjawat Menteri yang menjaga hal ehwal luar bandar pula.

Janganlah kerana terlalu ghairah berpolitik, Shafie terlupa akan tugas asasinya untuk memajukan wilayah luar bandar.

Apa yang jelas orang Sabah lebih memerlukan beliau daripada Kedah!

Friday, April 24, 2009

KM Melaka tengok video lucah?

Keghairahan mempersendakan Pakatan Rakyat mengundang padah apabila Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam secara tidak sengaja mengakui menonton video lucah.

Ali dilaporkan bertanya kepada Adun DAP Kota Laksamana, Betty Chew Gek Cheng sama ada pernah menonton video membabitkan Exco Selangor, Elizabeth Wong dengan bekas teman lelakinya pada persidangan Dun Melaka.

"Saya nak tanya Betty betul ke isu Elizabeth tidur dengan lelaki Melayu sedangkan mereka belum berkahwin, Yang Berhormat ada tengok tak video itu," kata Ali Rustam.

Betty menjelaskan bahawa beliau tidak tahu mengenainya sebab dia tidak tengok video tersebut.

Speaker Dun, Dato' Othman Muhamad juga turut menyampuk dengan mengatakan bahawa Betty ada melihat video itu tetapi menafikannya.

Ini membuatkan Ketua Pembangkang, Goh Leong San bangun mencelah dan meminta Ketua Polis menyiasat Ali dan Othman kerana menonton video lucah dan melakukan gangguan seksual kepada wanita yang berada di dalam dewan itu.

Bagi Goh, Ali Rustam telah melakukan gangguan seksual dan patut meminta maaf serta menarik balik kata-katanya.

"Speaker tak boleh bela Ketua Menteri sebab adakah kita balik rumah tanya isteri kita ada tonton video lucah ataupun tidak.

"Ini adalah gangguan kepada Yang Berhormat wanita, Bentara wanita dan juga semua wanita yang berada di dalam dewan ini," katanya.

Ali kemudian dilaporkan cuba mengaitkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tentang hukum orang yang belum berkahwin tetapi tidur bersama.

Betty sekali lagi bangun mempersoalkan bagaimana Ketua Menteri boleh tahu mereka tidur bersama sedangkan orang lain semua tak tahu, ini bermakna Ali mengaku melihat video lucah itu.

Suasana kembali terkawal apabila Ali Rustam merasakan ucapan lucahnya itu memakan diri lalu berhenti memperkatakan isu Elizabeth dan meneruskan ucapannya.

Begitulah rendahnya IQ dan pemahaman agama Ketua Perhubungan Umno Melaka apabila tidak dapat membezakan hukum seorang yang mukallaf dengan tidak.


Elizabeth bukanlah seorang Islam sehingga mahu disabitkan Ali Rustam dengan jenayah syariah. Banyak lagi kes jenayah syariah yang dilakukan pemimpin Wanita dan Puteri Umno tetapi tidak dibangkitkan Ali sedangkan mereka Melayu dan beragama Islam.

Bodoh sangatkah rakyat Melaka hingga sanggup berketuakan Ali Rustam?

Thursday, April 23, 2009

Umno yang tak pernah insaf

Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim dilapor mempertahankan kenyataannya yang bersetuju Ketua UMNO bahagian perlu terlibat dalam proses meluluskan permohonan lesen kontraktor kelas F.

Katanya, penglibatan itu bertujuan membolehkan mereka mengetahui pihak yang bakal melaksanakan sesuatu projek di kawasan masing-masing.

Azhar (BN-Penaga) menegaskan, beliau tidak mempunyai niat untuk menyusahkan sesiapa, malah pihaknya juga tidak mengamalkan rasuah seperti didakwa wakil rakyat pakatan pembangkang.

"Ketua UMNO bahagian juga perlu terlibat memeriksa kontraktor Kelas F ini sama ada mereka betul-betul mampu melaksanakan projek kerana kita tidak mahu projek yang diberi akan 'dialibabakan'," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi penggulungan oleh Exco Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan negeri, Wong Hon Wai pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Begitulah Umno... tak pernah serik dengan perangai buruk mereka!

Apakah hak Umno untuk campurtangan dalam urusan tender kerajaan selain daripada memastikan kontrak-kontrak tertentu tidak jatuh ke tangan 'penyokong pembangkang'.

Bukan menjadi rahsia apabila pemohon-pemohon tender kerajaan diminta menyertakan salinan sijil keahlian Umno ketika menyerahkan borang permohonan tender.

Malah senarai projek kerajaan yang sepatutnya sampai ke Pejabat Daerah diperolehi ketua-ketua bahagian Umno terlebih dahulu. Lebih melucukan setiap projek sudah diketahui siapa 'tuan punya' dan kepada siapa bakal diserahkan.

Projek Ali Baba? Azhar lebih tahu berapa banyak projek kerajaan yang sampai ke tangan beliau dan para pemimpin Umno negeri tetapi telah dialibabakan...

Thursday, January 1, 2009

Kasut itu sepatutnya singgah ke muka pemimpin Arab

Stesen TV Al-Jazeera dalam rancangan "Inside" yang disiarkan di Malaysia melalui rangkaian Astro, 31 Disember lalu menampilkan debat dalam talian (online) antara tiga panelis berhubung isu serangan terbaru regim haram Israel ke atas semenanjung Gaza.

Ia menampilkan seorang aktivis media Palestin berbangsa Arab, aktivis hak asasi manusia berpangkalan di London berbangsa Inggeris, dan seorang ahli akademik Israel berbangsa Yahudi.

Ketiga-tiga panelis memberikan hujah mereka secara bersahaja dan meyakinkan, menandakan konflik yang berlaku di Palestin kini memang sudah berada dikotak pemikiran mereka.

Aktivis media Palestin berbangsa Arab itu sudah pasti memberikan pandangan bersandarkan fakta yang menyebelahi rakyat Palestin, yang bagi beliau menjadi mangsa kekejaman Isreal. Israel baginya bukan sahaja bermaharajalela menyerang, menindas dan membunuh rakyat Palestin; malah berjaya meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa negara pengganas itu adalah sebenarnya 'mangsa' kepada tindakan ganas rakyat Palestin khususnya Hamas. Dan tindakan Israel menyerang Palestin dilihat oleh sekutu-sekutu rapatnya - Amerika, Britain dan Eropah - sebagai usaha mempertahankan diri daripada serangan pejuang Hamas!

Aktivis hak asasi manusia berpusat di London - seorang perempuan tua berbangsa Inggeris - secara terang-terangan membela Hamas yang pada hemat dirinya adalah pertubuhan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Beliau bukan sahaja mengecam Israel kerana keganasannya, tetapi juga menempelak kuasa besar dunia khususnya Amerika yang enggan menerima Hamas sebagai penguasa di Gaza; satu pilihan rakyat Palestin yang dibuat melalui proses demokrasi.

Seorang lagi panelis, ahli akademik Israel pula pastinya melihat isu itu melalui sudut pandang negaranya. Beliau membela kempen serangan Isreal terhadap Gaza dan menyalahkan Hamas yang baginya menjadi duri dalam daging kewujudan negara Israel. Hamas bagi beliau adalah kumpulan pengganas yang dikelompokkan bersama Syria, Iran dan Hizbullah. "Paksi kejahatan" ini, tidak mengiktiraf kewujudan Israel dan mahu negara Yahudi itu dihapuskan daripada peta dunia.

Perbincangan atau lebih tepatnya perdebatan antara tiga panelis itu amat menarik untuk disorot. Bagaimanapun penulis rasa terpana dengan sanggahan hujah ahli akademik Israel itu.

Menurut beliau, jika benar serangan Isreal terhadap Gaza itu bakal menggugat keamanan serantau dan menjadikan rantau Timur Tengah sebagai tidak stabil, mengapa tiada sebarang tindakan atau bantahan dibuat oleh negara-negara Arab di rantau itu terhadap operasi ganas tentera Israel di Gaza?


Dan baginya, sikap tidak peduli dan acuh tak acuh negara-negara Arab serantau terhadap konflik terkini yang tercetus di Gaza, menandakan kempen ganas Israel terhadap penduduk Palestin khususnya pejuang Hamas 'direstui' negara-negara tersebut.
Maka penulis pun teringat kisah seorang wartawan Iraq, Muntazer Al-Zaidi yang melemparkan kasut ke arah Presiden Amerika, George Bush dalam satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki di Baghdad, baru-baru ini.

Muntazer ditangkap dan bakal didakwa kerana kesalahan menghina seorang pemimpin negara asing.

Beliau tidak menyesali tindakannya itu malah dianggap sebagai hero oleh masyarakat Arab kerana berjaya memalukan Bush yang banyak melakukan jenayah kemanusiaan di rantau itu. Ada yang mahu menjadikannya menantu kerana tertarik dengan keberaniannya. Tidak kurang juga yang berdemonstrasi membawa kasut di tangan bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan Muntazer.

Menyesali kegagalan pemimpin-pemimpin negara Arab menangani isu Palestin apatah lagi membela rakyat Palestin di Gaza yang kini menjadi bahan belasahan Isreal; alangkah baiknya jika kasut-kasut pemuda Arab singgah ke hidung-hidung para pemimpin mereka!

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...