Sunday, May 3, 2009

Bila isteri lari tinggalkan suami...

KEGAWATAN ekonomi yang melanda dunia kini banyak mendatang kesan negatif. Negara kita juga telah mula menerima tempiasnya.

Ribuan pekerja di sektor perkilangan dan pembuatan telah diberhentikan kerja akibat majikan - termasuk syarikat bertaraf multinasional - mengambil keputusan mengurangkan kakitangan (downsizing), mengurangkan operasi dan lebih teruk lagi memberhentikan operasi.

Semuanya berpunca daripada penguncupan permintaan di peringkat global.

Itu nasib yang menimpa pekerja swasta... Bagaimana pula pekerja sektor awam?

Rupa-rupanya kelembapan ekonomi dunia turut membabitkan pekerja sektor awam terutamanya kakitangan kontrak. Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dilaporkan menerima aduan saban hari daripada kakitangan awam yang diberhentikan kerja atau ditamatkan kontrak sejak kegawatan ekonomi melanda dunia.

Antara aduan yang diterima adalah isteri lari, anak terpaksa berhenti sekolah dan hutang keliling pinggang.


Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, ramai ahli yang kehilangan pekerjaan meminta bantuan kongres untuk membantu mengatasi masalah mereka.

"Ada yang mengadu isteri mereka sudah 'lari' kerana tidak sanggup mengharungi hidup susah selepas suami diberhentikan kerja. Ada yang tidak mampu menyambung persekolahan anak-anak. Ramai yang mengalami kesempitan hidup dan diburu hutang bank.

"Kes-kes ini berlaku di kawasan pedalaman Pantai Timur termasuk di Gua Musang, Kelantan. Mereka sendiri mengadu terus kepada saya untuk minta bantuan," katanya kepada wakil media.

Menurut Omar, sejak 2008 lebih 3000 kakitangan awam di seluruh negara telah ditamatkan kontrak atas alasan kegawatan ekonomi.

Daripada jumlah itu, seramai 425 orang merupakan kakitangan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan dan 113 pula petugas di JPN Terengganu.

"Saya juga menerima laporan ramai lagi kakitangan awam yang bertugas secara kontrak bakal diberhentikan.

"Saya berharap tindakan memberhentikan pekerja-pekerja tersebut dapat dielakkan. Jumlah pengangguran yang bertambah akan mengakibatkan kesan sosial yang lebih berat," katanya.

Omar sepatutnya bertanya kepada PM Mohd Najib Razak, apa jadi dengan janji-janji kerajaan BN untuk tidak menamatkan khidmat kakitangan kontrak.

Malah Cuepacs sendiri pernah mengugut akan melancarkan piket jika permintaan untuk tidak menamatkan kakitangan kontrak ini tidak dilayan kerajaan.

Cuepacs juga perlu bertanyakan janji Mohd Najib untuk mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan di sektor awam bagi menampan krisis kemelesetan ekonomi dunia. Adakah janji-janji itu akan, sedang dan telah dilaksanakan?

Jika sekadar melawat Pudu Raya dan Chow Kit Road tanpa sebarang langkah konkrit menyelesaikan masalah rakyat, sia-sia sajalah slogan One-Malaysia...

Di masa yang sama, skim pendaftaran warga diberhentikan kerja oleh Kerajaan Negeri Selangor nampaknya membuahkan hasil. Menurut MB Abdul Khalid Ibrahim, 65% mereka yang diberhentikan kerja di Selangor telah pun mendapat pekerjaan baru hasil daya usaha kerajaan negeri itu.

Selangor juga menjadi negeri pertama yang menawarkan bantuan kewangan kepada mereka yang diberhentikan kerja melalui Pusat Zakat Selangor (PZS).

Itulah bezanya antara "kerajaan yang hanya bercakap" dengan "kerajaan yang buat apa yang dicakap". Tapi jika kita bertanya kepada Naib Canselor UiTM, Ibrahim Abu Shah apa yang Kerajaan Selangor dah buat? Jawapan yang pasti adalah: "Saya tidak melihat apa-apapun..."

Berbalik kepada isu pembuangan pekerja tadi, adalah penting bagi semua pihak untuk menggembleng fikiran dan tenaga bagi menghadapi kemelut ekonomi yang melanda.

Ada penganalisis ekonomi yang berpendapat, negara belum berhadapan dengan 'the worst case scenario'. Impak sebenar kemelesetan ekonomi hanya dirasai Malaysia dalam beberapa bulan akan datang dan hanya berakhir pada 2013... Benarkah?

Cuba bayangkan berapa ramai isteri yang akan meninggalkan suami jika trend ini berpanjangan dan tiada langkah konkrit diambil pihak berkuasa?

No comments:

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...