Thursday, May 21, 2009

Ketua Penerangan Umno yang 'pening-pening lalat'

Ketua Penerangan UMNO yang baru, Ahmad Maslan dilapor Utusan Online menggesa BN memboikot pilihan raya kecil yang mungkin diadakan lagi pada masa depan jika didapati ia 'diatur' oleh pihak pembangkang.

Menurut Ahmad, BN perlu berpolitik mengikut caranya tersendiri dan tidak harus terpedaya dengan perangkap pembangkang yang menjadikan siri pilihan raya kecil sebagai medan membina imej mereka.

"Pembangkang menggunakan siri pilihan raya kecil di kawasan yang memang dikuasai oleh mereka sebagai strategi membina imej dan akan mengeksploitasi kemenangan yang sememangnya dijangka menjadi milik mereka bagi melemahkan BN.

"Maka, BN perlu menggunakan pendekatan tidak bertanding sebagai satu strategi agar kita tidak termasuk dalam perangkap mereka selain mengelakkan pembaziran wang rakyat dan masa kerajaan," katanya di sini hari ini.

Begitulah hebatnya pemuka Umno itu bercakap tentang pembaziran wang rakyat dan masa kerajaan. Persis macam 'pemimpin pembangkang'. Tidak sedarkan beliau betapa banyaknya pembaziran wang rakyat oleh BN yang menjadi punca kemelesetan pengaruh parti itu di kalangan rakyat.

Kita tentu masih ingat bagaimana dua PRK diadakan di Selangor pada dekad 1990-an semata-mata kerana ingin membuka jalan kepada Dato' Abu Hassan Omar yang ketika
itu menjawat Menteri Pusat untuk bertanding di Dun dan kemudiannya dilantik MB Selangor.


Tidak pula riuh terdengar kononnya tindakan BN itu membazirkan wang rakyat... Sebabnya mudah. Pada waktu itu BN yakin menang besar dan pengaruh parti lawan tidaklah sehebat sekarang.

Hanya setelah yakin kalah pilihan raya dan takut brhadapan dengan parti lawan, barulah Umno bercakap soal pembaziran sedangkan perbelanjaan SPR bagi setiap PRK itu dibuat dalam konteks amalan demokrasi berparlimen.

Ahmad juga berkata, jentera penerangan UMNO di semua cawangan di seluruh negara diarahkan sekurang-kurangnya melaksanakan satu aktiviti penerangan setiap bulan.

Langkah itu bertujuan membolehkan 60,000 jentera itu yang sebelum ini 'tidur' berfungsi sebagai badan yang bertanggungjawab menjelaskan dasar dan sumbangan kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

"Jika semua jentera penerangan yang mempunyai kekuatan 60,000 orang ini memainkan peranan masing-masing, UMNO dan BN pada bila-bila masa bersedia untuk mengalahkan pembangkang," jelasnya.

Menurut Ahmad, terdapat 20,000 jentera penerangan di peringkat cawangan parti selain 18,000 Ketua Penerangan Wanita, 15,000 Ketua Penerangan Pemuda dan 7,000 Ketua Penerangan Puteri.

Soalnya, siapa sebenarnya yang membiayai jentera penerangan Umno ini? Parti atau kerajaan?

Ini kerana menurut Ahmad, jentera penerangan UMNO gagal bertindak untuk memberikan penerangan dengan efisien kepada akar umbi sehingga masyarakat tidak dapat melihat sumbangan kerajaan walaupun telah jutaan ringgit dibelanjakan untuk kepentingan rakyat.

Inilah salah satu contoh pening lalat pemimpin Umno... Mereka gagal untuk membezakan antara parti dengan kerajaan.

Jutaan ringgit duit kerajaan yang dibelanjakan untuk kepentingan orang ramai dianggap macam duit Umno sehingga 'jasa' Umno dan BN perlu dikenang 'dulu, kini dan selamanya'...

Pening, pening...

No comments:

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...