Thursday, May 21, 2009

Bola tanggung pemimpin PAS



Tidak diketahui dengan jelas siapakah empunya ide yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau pemilihan PAS Pusat yang berlangsung dari 5-7 Jun hadapan.




Apa yang jelas, cakap-cakap supaya SPRM diberi ruang untuk sibuk-sibuk dalam pemilihan PAS adalah selepas Ketua Dewan Ulama PAS, Dato' Mohd Daud Iraqi terlepas cakap wujudnya kegiatan 'memberi hadiah' kepada para perwakilan PAS peringkat kawasan yang rancak bersidang.




Maka 'spin doctor' media massa yang 'lapar' dengan berita-berita politik wang pun mengarahkan para pemberitanya membesar-besarkan isu tersebut sehingga 'tembak-tembak jauh' Ustaz Mat Iraq itu dianggap sebagai benar dan perlu disiasat.




Lebih mengeruhkan keadaan bila ada pemimpin PAS negeri yang macam tidak serik-serik dengan permainan media memberikan komen-komen seperti mengiyakan apa yang disangka wujud oleh 'spin doctor' media massa. Ungkapan-ungkapan seperti 'mesti disiasat sehingga ke akar umbi', 'perlu diadili oleh Majlis Syura' dan 'perlu diambil tindakan jika benar-benar wujud' pun terpacullah daripada mulut mereka.




Sepatutnya komen yang paling tepat adalah 'saya tidak mahu komen sebab perkara itu tidak wujud dalam PAS'.




Komen-komen tidak bijak inilah yang mendorong beberapa pemimpin Umno seperti Muhyiddin Yasin dan Mukhriz Mahathir memberi ulasan 'lipat maut' semacam budaya politik wang dalam PAS sama teruk macam yang dihadapi Umno. Nak salahkan mereka pun tak boleh juga sebab yang beri 'bola tanggung' adalah pemimpin PAS sendiri.




Setakat ini Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang (foto) telahpun memberikan kenyataan bahawa tidak ada sebarang unsur politik wang dalam pemilihan PAS. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Mustafa Ali juga menjelaskan bahawa tiada sebarang aduan tentang politik wang diterima jawatankuasanya setakat ini.




Pun begitu masih ada juga pemimpin PAS yang gagal menjaga mulut dan masih menggunakan hujah 'jika ada' bila ditanya pemberita.




Rasanya para pemimpin PAS peringkat negeri perlu diberi kursus bagaimana cara menghadapi media. Jika tidak benda yang tidak wujud dikatakan berlaku dan akhirnya akan merugikan imej parti dan jamaah.

No comments:

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...