Friday, January 1, 2010

Rais dan bajet lulus cukup makan

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dilaporkan menyelar parti pembangkang khususnya Pakatan Rakyat di negara ini yang dilihat lebih bersifat "gila kuasa dan tidak menjurus untuk kebaikan rakyat".

Beliau dilaporkan kesal dengan keengganan barisan Ahli Parlimen pembangkang menyokong meluluskan Bajet 2010 pada 14 Disember lalu, dan menganggapnya sebagai "gejala rosak pembangkang yang menolak projek-projek pembangunan untuk rakyat".

Kejadian pada 14 Disember lalu menyaksikan Bajet 2010 hanya diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi menerusi undi belah bagi iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.

Bajet 2010 sekiranya tidak diluluskan akan memberi implikasi besar kepada negara keseluruhannya kerana ia bermakna kerajaan tidak akan mendapat perbelanjaan yang dibentangkan baru-baru ini untuk menjalankan pelbagai projek yang bermanfaat untuk rakyat.

Rais sepatutnya menyalahkan 73 Ahli Parlimen BN yang secara berwewenang ponteng sidang Dewan Rakyat sedangkan mengetahui bahawa sesi sidang kali ini penting bagi meluluskan bajet 2010.

Sikap sambil lewa ini pastinya berpunca daripada anggapan mereka bahawa BN mempunyai majoriti yang cukup untuk meluluskan bajet itu. Alasan kononnya mereka tidak mengetahui pengundian akan dijalankan sungguh remeh kerana sebagai parti yang membentuk kerajaan, BN mempunyai kelebihan untuk menentukan perjalanan sidang.

Gesaan Rais dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia supaya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyokong bajet 2010 juga melucukan. Dari awal perbahasan, tidak seorang pun Ahli Parlimen pembangkang bersetuju dengan perincian bajet 2010, malah mereka mengutarakan bajet alternatif. Dan seperti biasa, atas keegoan politik, cadangan-cadangan bernas anggota parlimen Pakatan Rakyat tidak dihiraukan malah dipandang remeh kerajaan.

Lihat jugalah isu pembentukan kaukus parlimen tentang royalti minyak. Bila AP Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju menyertainya, TPM sendiri, Mahyudin Yassin membantah. Kenapa nak bantah jika itu untuk kepentingan rakyat? Bukankah bantahan itu bermotifkan politik?

Tak payah nak ulas panjanglah... Rais dan Pandikar lebih tahu. Bak kata orang tua-tua, mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih!

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...