Sunday, December 16, 2007

400 NGO pro-BN yang buta sejarah

Dilaporkan bahawa 395 badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum dan agama telah mengadakan 'pertemuan' atas nama Damai Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, 6 Disember lalu bagi menolak demonstrasi jalanan dan menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat.


NGO terbabit kononnya mewakili 1.5 juta rakyat Malaysia. Bagaimanapun yang hadir dalam 'unjuk rasa' itu cuma berjumlah 600 orang. Bukanlah sesuatu yang pelik di negara ini apabila pertubuhan-pertubuhan tertentu mendakwa mempunyai sekian banyak ahli dan sekian banyak anggota, sedangkan pada hakikatnya pada setiap kali mesyuarat agung, yang hadir boleh dikira dengan jari! Itu tidak dikira jumlah anggota yang tidak sah kerana melewati syarat, umpamanya had umur di bawah 40 tahun untuk pertubuhan belia.

Bagi melembutkan sedikit pemaparan 'unjuk rasa' itu, program itu dipanggil 'forum' dengan tajuk "Demonstrasi Jalanan Bukan Budaya Kita".

Gabungan NGO itu mengeluarkan deklarasi mengutuk sebarang penganjuran demonstrasi jalanan dan menolak perbincangan isu sensitif melibatkan kaum serta agama melalui cara itu.

Deklarasi Damai Malaysia itu juga mengecam tindakan pihak tertentu menggunakan 'penipuan, fitnah dan hasutan' untuk meraih sokongan negara dan kuasa luar bagi mencampuri urusan dalaman negara.

"Kami atas nama Damai Malaysia sepakat mengutuk perbuatan biadap yang menuduh kepimpinan negara sebagai melakukan 'penghapusan kaum' sedangkan semua kaum mendapat layanan sama rata," tegas deklarasi itu.

Antara NGO yang menganggotai gabungan itu adalah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Majlis Belia Felda Malaysia, Pertubuhan Kebajikan India Bersatu dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC).

Berpuluh-puluh persatuan Cina dan India mewakili kumpulan tokong, peniaga, profesional, komuniti dan pendidikan menyertai gabungan itu termasuk Persatuan Penganut-Penganut Tokong Kim Ying, Ampang, Persatuan Penganut Dewa Cheng Guan Kuan, Persatuan Penjaja Cina Wilayah Persekutuan, Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia dan Persatuan Perubatan Cina Malaysia.

Kelab Bell Belia Tamil, Persatuan Kelab-Kelab Belia India, Malaysia Hindu Sangam dan Kuil Sri Sakhti Vinayagar, Brickfields turut menyertainya.

Forum itu yang berlangsung dalam keadaan 'aman dan terkawal' turut dihadiri bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman, lapor Utusan Online.

Tidak pula diketahui sama ada perhimpunan itu mendapat permit polis atau tidak; bagaimanapun daripada intipati deklarasi yang dicapai, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa ia dilangsungkan sebagai tanda protes kepada perhimpunan anjuran Hindraf, 25 November lalu yang kini telah diangkat menjadi isu nasional.

Enam ratus wakil NGO itu pastinya mempunyai hak untuk mempertikaikan langkah para pemimpin Hindraf memainkan isu kaum dan agama dalam menyuarakan pandangan. Bagaimanapun menjadikan "Demonstrasi Jalanan Bukan Budaya Kita" sebagai tema, agak tersasar daripada tujuan sebenar program itu diadakan.

Dan yang lebih utama, benarkah demonstrasi bukan budaya kita? Dan adakah slogan itu tidak benar-benar mengguris hati para pejuang bangsa seawal dasawarsa 1940-an yang memilih demonstrasi jalanan atau unjuk rasa sebagai medium menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap penjajah?

Untuk tidak dibuai sentimen, suka bagi penulis menurunkan petikan kajian sejarah berhubung unjuk rasa ini untuk penelitian semua. Ramlah Adam (Prof Dr) dalam bukunya, "Dato' Onn Ja'afar: Pengasas Kemerdekaan" menukilkan:

"Persatuan-persatuan negeri Melayu yang tumbuh sebelum perang dan selepas perang, menghantar nota-nota bantahan kepada Pejabat Tanah Jajahan (Colonial Office). Orang ramia pula seperti di Kedah dan Kelantan mengadakan tunjuk perasaan menentangnya. (Di Kedah seramai 50,000 orang telah berarak. Warta Negara, 21/1/46. Di Kelantan, seramai 10,000 orang telah menunjuk perasaan). Tegasnya, penentangan kepada Malayan Union adalah kesedaran politik yang sangat penting selepas perang dunia itu."
(Ramlah Adam, Dato' Onn Ja'afar, Pengasas Kemerdekaan, hlm. 86-87)

Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Tan Sri Asri Muda dalam bukunya "Memoir Politik Asri - Meniti Arus" menyebut:

"Ketika Malayan Union hendak disogokkan kepada masyarakat kita (Semenanjung Tanah Melayu itu), parti-parti politik telah bertambah dengan banyaknya. Di tiap-tiap negeri lahir parti politik dan ditambah pula dengan beberapa parti politik yang bersifat kebangsaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan sebagainya.

"Jadi gagasan Malayan Union yang dikemukakan oleh Sir Harold MacMichael, utusan khas Kerajaan Inggeris dikemukakan pada saat kesedaran politik orang Melayu begitu memuncak sekali. Seluruh rakyat Melayu bersatu, mengadakan perarakan menentang Malayan Union di kebanyakan kota-kota besar seperti di Johor Bahru, Alor Setar dan juga di Kota Bharu.

"Saya sendiri bukan hanya sebagai pemerhati, tetapi ikut terlibat sama dalam gelombang kesedaran rakyat, menyertai perarakan rakyat atau demonstrasi rakyat di Kota Bharu. Dengan jumlah yang tidak kurang daripada 20,000 orang, kami berhimpun di Padang Bank (kini Padang Merdeka) dan berarak menuju ke tempat penginapan Residen British (kalau tak salah ingatan saya, nama beliau ialah Somerville) dan surat protes pun dibaca.

"... Kemudian perarakan itu bergerak lagi menuju ke Istana Seri Cemerlang, tempat bersemayam DYMM al-Sultan Ibrahim... Surat persembahan pun dibaca dan kemudian dipersembahkan ke bawah duli. Orang yang membaca ucapan sembah itu adalah saya sendiri."
(Mohd Asri bin Haji Muda, Memoir Politik Asri: Meniti Arus, hlm. 32-33).

Dari pemaparan dua episod sejarah negara itu, 395 NGO pro-BN yang berkumpul di Dewan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, 6 Disember lalu, sepatutnya merasa malu kerana berdusta atas nama negara dan bangsa.

Sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara sebenarnya tidak lepas daripada siri-siri unjuk rasa walaupun Tanah Melayu pada waktu itu baru menghadapi saat getir Perang Dunia Kedua.

Jika memoir Asri Muda boleh dijadikan sandaran, perarakan rakyat 10 November lalu ke Istana Negara sebenarnya mengulangi apa yang datuk nenek kita lakukan di Kota Bharu pada 1946.

Apa yang membezakan dua peristiwa itu adalah layanan pihak berkuasa kepada rakyat. Di zaman penjajahan British, datuk nenek kita dibenarkan berarak menunjuk rasa kerana pemerintahnya mempunyai mentaliti dunia pertama walaupun prasarana negara masih di tahap dunia ketiga.

Sayangnya selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, kita mempunyai pemerintah yang bermentaliti dunia ketiga, walaupun berbangga dengan prasarana dunia pertama!

Thursday, December 6, 2007

Bila songkok hitam jadi bahan kempen Menteri Penerangan di pagi raya

Apabila Zainuddin Maidin (Zam) yang juga Menteri Penerangan memberikan ucapan di Nasional FM pada hari raya pertama, saya tidak berapa berminat mendengarnya. Tetapi apabila beliau mula bercakap tentang songkok hitam dan betapa beliau gembira kerana semakin ramai umat Islam Melayu Malaysia memakai songkok hitam sewaktu Aidilfitri, naluri ingin tahu saya mendorong telinga saya 'melekap' di corong radio.

Menurut Zam, meningkatnya bilangan umat Melayu yang bersongkok hitam sewaktu Aidilfitri adalah suatu perkembangan yang baik kerana orang Melayu sudah mula kembali kepada identiti Nusantara dengan bersongkok hitam. Beliau juga secara sinis mengkritik orang Melayu yang berkopiah putih dan menganggap kopiah yang dipakai tidak melambangkan 'budaya Melayu' tetapi budaya yang datang dari Timur Tengah!

Hati saya berdetik: "Orang tua ni buat dah!"

Saya termenung sejenak memikirkan pandangan Zam itu. Di pagi Aidilfitri ini, sepatutnya Menteri Penerangan bercakap tentang sesuatu yang lebih utama daripada isu songkok hitam. Kenapa tidak disebut tentang soal mengukuhkan persaudaraan, memperbaiki hubungan, menghidupkan amalan ziarah menziarahi (daripada duduk di hadapan tv menonton rancangan hiburan!). Zam boleh bercakap tentang seribu satu macam topik yang lebih utama daripada songkok hitam!

Bagaimanapun, apabila direnung kembali rekod perkhidmatan Zam, beliau memang terkenal dengan kontroversi-kontroversi tidak perlu - contohnya mewajibkan semua penceramah agama yang keluar di kaca tv memakai songkok hitam! Seorang prof akademi pengajian Islam pernah merungut di dalam ceramahnya tentang arahan tersebut.

"Saya bukan tak mahu pakai songkok hitam, tetapi tak berapa selesa kerana penari zapin pun pakai songkok hitam," katanya berseloroh.

benarkah songkok hitam budaya Melayu Nusantara?

Ada dua isu yang timbul daripada kenyataan Zam ini. Pertama: Adakah benar songkok hitam adalah budaya asal Melayu dan Nusantara yang wajib dipertahankan. Kedua: Adakah budaya Timur Tengah (Islam) yang diamalkan oleh sebahagian bangsa Melayu seperti berkopiah putih (menurut pandangan Zam) tidak boleh diterima sebagai budaya Melayu dan Nusantara?

Ketika sebahagian wakil-wakil rakyat PAS muncul di Dewan Rakyat dengan berbaju Melayu lengkap pada majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum 1999, penampilan itu mendapat pujian pelbagai pihak. Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam dilapor melahirkan kekaguman dengan identiti yang ditunjukkan wakil-wakil rakyat PAS itu. Memang mereka, terutamanya Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Nor tampil segak berbaju Melayu dan bersongkok. Penulis diberitahu, Almarhum Ustaz Fadzil sebenarnya lebih selesa bersongkok hitam ketika menghadiri sidang Dun dan Parlimen. Mantan Yang Dipertua Agung PAS, Dr Buhanuddin al-Helmi dan Timbalannya, Prof Zulkifli Muhammad juga bersongkok hitam. Oleh itu tidak timbul isu kopiah putih dan songkok hitam dalam PAS kerana ia isu remeh yang tidak harus diangkat menjadi isu nasional.

Bagaimanapun untuk memperbetulkan tanggapan Zam tentang songkok hitam dan kopiah putih, rasanya elok kita menelusuri sepintas lalu sejarah pemakaian songkok hitam dan kopiah putih umat Melayu Islam negara ini.

Dalam pemerhatian penulis, songkok hitam tidak menjadi pakaian orang-orang Melayu sebelum abad ke-20. Lihat sahaja lukisan dan foto berhubung bangsa Melayu yang dipamerkan di muzium dan buku-buku sejarah Melayu seawal pemerintahan kesultanan Melayu Melaka. Apa yang dapat kita lihat, orang Melayu lebih gemar memakai ikat kepala (dipanggil semutar di Kelantan dan Terengganu). Bagi golongan kerabat dan bangsawan Melayu, setanjak dipakai bagi menggambarkan status kedudukan.

Filem-filem klasik Melayu juga tidak pernah menunjukkan songkok hitam sebagai pakaian Melayu. Daripada filem Hang Tuah, Laksamana Bentan, Panglima Harimau Berantai, Batu Belah Batu Bertangkup, Singapura Dilanggar Todak dan seumpamanya, tidak seorang pun aktor Melayu yang memakai songkok hitam! Takkanlah Zam tak perasan?


Sebaliknya, pemakaian serban dan kopiah putih sudah tercatat dalam sejarah Melayu sejak kedatangan pedagang dan pendakwah Islam daripada Timur Tengah ke Melaka. Lihat sahajalah filem klasik Siti Zubaidah yang menggambarkan sebuah keluarga alim berketurunan Raja di sebuah pulau yang ketua keluarganya berserban dan berjubah. Dalam filem itu, aktor-aktor Melayunya tidak langsung bersongkok hitam!

Bapa persuratan Melayu, Abdullah Abdul Kadir Munsyi (1796-1854) digambarkan sebagai seorang lelaki yang gemar memakai tarbus dan bukan berkopiah hitam. Karya Abdullah yang terkenal, Hikayat Abdullah dan Pelayaran Abdullah, yang banyak menceritakan perihal kehidupan orang Melayu pada zamannya tidak menyebut langsung tentang songkok hitam sebagai pakaian orang Melayu pada abad ke-19.

Sehubungan itu, kita boleh membuat kesimpulan bahawa songkok putih lebih sinonim dengan budaya Melayu dan Nusantara berbanding songkok hitam yang hanya muncul dalam sejarah peradaban Melayu di awal abad ke-20!

Dari mana datangnya songkok hitam? Dalam pemerhatian penulis, budaya memakai songkok hitam di bawa oleh pendatang India Muslim benua India yang berhijrah ke negeri-negeri selat semasa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu. Dalam erti kata lain, kaum kerabat Zam yang dikategorikan Abdul Rahim Kajai - seorang pengasas sastera Melayu moden - sebagai "Melayu DKK" membawa budaya songkok hitam ke Tanah Melayu. (Untuk lebih memahami tentang "Melayu DKK" dan "Melayu DKA", sila baca tulisan-tulisan Abdul Rahim Kajai).

Berdasarkan pemerhatian penulis, foto sejarah Melayu paling awal yang menggambarkan seorang Melayu berkopiah hitam adalah foto Syed Syeikh al-Hadi. Syed Syeikh al-Hadi pun bukanlah anak Melayu tulen Tanah Melayu tetapi termasuk dalam kategori "Melayu DKA" tafsiran Kajai.

Untuk pengetahuan Zam juga, Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak bersongkok hitam mahupun berbaju Melayu lengkap ketika melaungkan "Merdeka" di Stadium Merdeka pada pagi 31 Ogos 1957. Tunku Abdul Rahman berpakaian "baju Muscat" - berasal daripada Oman - dengan bersetanjak. Raja-raja Melayu yang berada di pentas juga tidak mengenakan songkok hitam malah bersetanjak.

Di benua India - tempat asalnya songkok hitam - pakaian itu tidak melambangkan agama pemakainya. Dalam filem biografi 'Ghandi' - filem yang memenangi kategori kustom terbaik Festival Filem Amerika, para penganut Hindu asal India di Afrika Selatan dan penyokong parti Kongres India pimpinan Pandit Jawharlal Nehru memakai songkok sebagai pakaian harian.

Untuk pengetahuan Zam juga, para anggota sayap pemuda parti Nasionalis India, Barathiya Janata (BJP) yang dikenali sebagai Rhang Savak Sangh (RSS) memakai songkok sebagai pakaian rasmi. RSS adalah salah satu persatuan ekstremis Hindu yang bertanggung jawab meruntuhkan Masjid Babri di India!

Sepupu penulis yang berkhidmat dengan tentera Malaysia pernah menasihati penulis. Beliau yang berpengalaman berkhidmat di Sarawak dan negara jiran Indonesia mengingatkan penulis supaya berhati-hati apabila ingin menjamu selera di beberapa bandar di Sumatera dan pulau Jawa.

Beliau pernah masuk ke 'rumah makan' yang tuan punyanya bersongkok hitam tetapi terperanjat melihat 'kerbau pendek panggang' bergantungan di bahagian dapur restoran itu apabila mahu ke tandas. MUjurlah beliau belum menjamah makanan dan memohon maaf kepada tuan punya kedai kerana tidak tergamak makan di situ!

terimalah songkok hitam mahupun kopiah putih

Seperti ditekankan di awal penulisan ini, bukan niat penulis untuk menjadikan songkok hitam mahupun kopiah putih sebagai polemik Aidilfitri. Bukan juga niat penulis untuk mengkategorikan Melayu sebagai Melayu tulen, Melayu DKK dan Melayu DKA. Apa yang penulis hajatkan adalah meletakkan budaya pemakaian songkok hitam dan kopiah putih pada perspektif yang betul apatah lagi apabila isu ini disinggung Menteri Penerangan dalam saluran rasmi radio kerajaan di hari pertama Aidilfitri.

Dalam konteks Malaysia, songkok hitam, kopiah putih, Melayu tulen, Melayu DKK mahupun Melayu DKA sebenarnya diikat oleh satu unsur kesamaan iaitu Islam. Islam adalah agama universal yang merentasi budaya, bangsa dan warna kulit. Menteri Penerangan perlu menginsafi hakikat ini kerana tiada siapa pun yang mahu Islam disempitkan dan umatnya dikurung di bawah songkok hitam!

Sate ayam dan tempe dihidang di angkasa... Syabas Malaysia!

PM Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan kecewa kerana gagal berkomunikasi dengan rakyat Malaysia pertama ke angkasaraya, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, pada 14 Oktober lalu. Walaupun telepersidangan itu telah diwar-warkan ke seluruh negara dan stesen-stesen tv tempatan berebut-rebut mahu menyiarkannya secara langsung, niat Abdullah tidak tercapai akibat cuaca buruk.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Jamaluddin Jarjis yang turut berada di Seri Perdana untuk menyaksikan 'peristiwa bersejarah' itu berkata, hubungan antara Pusat Kawalan Misi (MCC) dan ISS menggunakan sistem komunikasi dua hala frekuensi lampau tinggi (UHF) hanya boleh dilakukan dalam tempoh 10 minit apabila stesen angkasa itu melintasi ruang angkasa Rusia.

Bagaimanapun oleh kerana cuaca buruk, isyarat audio dan visual tidak dapat dihantar ke Malaysia dan seterusnya ke Seri Perdana.

Jamaluddin juga turut meminta maaf kepada orang ramai kerana telepersidangan itu tidak dapat diadakan dan berkata pihaknya akan cuba mengadakannya semula pada malam 16 Oktober.

"Saya dukacita, tadi saya berharap untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Dr. Muszaphar, nampaknya tak ada peluang. Bagaimanapun kalau esok ada peluang saya masih mahu mengucapkan Selamat Hari Raya kepadanya," kata Abdullah dalam satu temu bual bersama RTM 1 yang disiarkan secara langsung dari Seri Perdana.

Begitulah sukarnya PM untuk berhubung dengan 'angkasawan negara' dan mencipta sejarah sebagai PM negara pertama berhubungan dengan rakyat yang berada di angkasa. Tetapi percubaan kedua akan dibuat malam ini dan diharap hasrat Abdullah untuk mencipta rekod negara dimakbulkan Tuhan.

Turut hadir berkongsi kekecewaan ialah isteri Abdullah, Jeanne Abdullah, dan menantunya Khairy Jamaluddin yang juga Timbalan Ketua Pemuda UMNO.

Abdullah ketika ditanya pemberita berkata, beliau ingin bertanya kepada Dr. Muszaphar mengenai perasaan dan kesihatannya berada di angkasa lepas selain perkembangan tugasan yang telah "diamanatkan oleh rakyat Malaysia" kepadanya.

"Dia bukan pergi untuk suka-suka, untuk jenguk pemandangan bumi di bawah. Tetapi dia ada tugas yang perlu dilaksanakan semasa di ISS," katanya.

Sejak Sheikh Muszaphar, 35, berlepas bersama angkasawan Amerika, Peggy Whitson dan Jurutera Penerbangan Rusia, Yuri Malenchenko dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan, 10 Oktober lalu, media massa arus perdana melancarkan liputan besar- besaran peristiwa tersebut. Malah 'projek ankasawan negara' ini telah diwar- warkan sejak dua tiga tahun sebelumnya dimulai dengan program pemilihan membabitkan lebih 11,000 pemohon.

Dilaporkan bukan Abdullah sahaja yang bakal diberi peluang bercakap dengan Muszaphar, malah yang DiPertuan Agong pun bakal dibabitkan sama. Bagaimanapun dengan masalah teknikal yang timbul, dan tempoh singkat Muszaphar di ISS, tidak diketahui rancangan itu akan diteruskan atau tidak.

MUszaphar akan berada di ISS selama 10 hari berbanding tempoh 4 bulan angkasawan-angkasawan lain. Jika tidak, bukan sahaja Abdullah malah seluruh anggota kabinet, MB dan Ketua Menteri BN, Timbalan Ketua Pemuda Umno, Ketua Puteri Umno dan pemimpin-pemimpin BN bakal diberi peluang berkomunikasi dengan Muszaphar. Dan telepersidangan itu akan disiarkan secara langsung oleh RTM1. Kosnya? Pastilah ditanggung perbendaharaan negara.

Bagimanapun dalam keghairahan media massa menyiarkan peristiwa itu, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah faedah sebenar program itu untuk negara khususnya dalam bidang aeroangkasa.

Abdullah dilaporkan berkata, peristiwa bersejarah itu menandakan Malaysia telah memasuki fasa kedua sains angkasa lepas dan meletakkan nama Malaysia antara negara elit dunia yang berjaya meneroka angkasa lepas. Benarkah?

"Saya berasa gembira, peristiwa bersejarah ini bukti kita ada kemampuan menghantar anak watan kita ke angkasa lepas," katanya.

Rasanya pandangan Abdullah itu agak 'tersasar' daripada hakikat sebenarnya. Di waktu ini, sesiapa juga yang berkemampuan (maksudnya mampu membayar) boleh ke angkasaraya dengan syarat melepasi ujian ketahanan fizikal dan kesihatan yang ditetapkan Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos). Malah beberapa individu bergelar jutawan telahpun mengikuti program seumpama Muszaphar atas biaya sendiri dan bukannya atas 'dana negara' seperti Malaysia.

Vietnam adalah antara negara di rantau ini yang menghantar angkasawannya (cosmonaut) dengan menumpang kapal angkasa Rusia manakala Arab Saudi adalah negara Islam pertama berbuat demikian.

Sehingga kini, lebih 34 negara telah mengadakan kajian di ISS dengan lebih 400 angkasawan sepenuh masa, 50 daripadanya wanita.

Apa faedahnya rakyat Malaysia dihantar ke ISS? Satu-satunya misi utama Muszaphar adalah menjalankan ujikaji bagi pihak agensi penyelidikan negara.

Penyelidikan saintifik di ISS itu juga perlu mendapat kelulusan Roskosmos. Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama ujikaji agensi penyelidikan negara dijalankan di ISS. UKM misalnya menggunakan khidmat Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) untuk menjalankan ujikaji di ISS dan setakat ini berpuashati dengan hasil kajian yang dilaksanakan.

Selain itu, Muszaphar juga diharap dapat menjadi 'role model' bagi generasi muda yang meminati bidang sains angkasa. Sebagai 'role model' paling mahal dihasilkan negara, Muszaphar telah pun menyatakan komitmen untuk membimbing tunas-tunas baru negara untuk menjadi 'angkasawan'. Bagaimana beliau mampu berbuat demikian tanpa peralatan sokongan? Terpulanglah kepada beliau untuk memikirkannya.

Bagi PM Abdullah, penglibatan negara dalam bidang angkasa lepas juga menunjukkan Malaysia menuju ke arah sebuah negara maju.

Mungkin itu jugalah yang telah dicapai oleh Vietnam dan Arab Saudi yang lebih dahulu menghantar rakyat mereka ke angkasaraya.

Tanpa sebarang pencapaian membanggakan dalam bidang aeroangkasa dan kajian sains angkasa, kehadiran Malaysia dalam bidang ini belum dirasai dunia. Satu-satunya sumbangan negara dalam bidang ini adalah menjamu sate, nasi himpit, tempe, kuih bangkit dan gegulung pisang untuk krew-krew dan para saintis di ISS.

Utusan online melaporkan bahawa cip tempe, granola bar daripada roselle, nasi himpit beriani, kuih bangkit, gegulung pisang dan beberapa lagi makanan bercirikan Malaysia mula 'dihidangkan' di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 14 Oktober lalu.

Muszaphar dilapor menikmati makanan tersebut pada waktu makan tengah hari di ISS iaitu pukul 2.30 petang waktu ISS bersamaan 6.30 petang waktu tempatan (10.30 malam di Malaysia).

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, makanan bercirikan Malaysia itu akan dirasai oleh semua angkasawan di ISS.

"Terpulang kepada angkasawan di ISS seperti Peggy Whitson, Yuri Malenchenko dan krew lain sama ada hendak merasai makanan tersebut.

"Bagaimanapun, Sheikh Muszaphar bukan hanya merasai makanan itu malah beliau akan melakukan kajian yang diamanahkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menentukan sama ada ia bersesuaian atau tidak," kata Zulkeffeli dalam satu sidang akhbar, baru-baru ini.

Para pengusaha sate ayam, rendang daging, tempe, nasi beriani, kuih bangkit dan gegulung pisang patut berbangga dengan 'kejayaan negara' ini. Ia menggambarkan betapa makanan Malaysia bukan sahaja mampu menembusi pasaran global tetapi berjaya menerobos angkasaraya. Syabas Malaysia!





Maaf ya! Ini khusus untuk wanita...

Satu episod rancangan sitcom televisyen CBC Television Kanada, "Little Mosque on the Prairei" amat menarik perhatian penulis. Rancangan sitcom itu penulis tonton melalui YouTube.com. "Little Mosque on the Prairei" mengisahkan kehidupan sekelompok muslim Kanada di sebuah bandar di pinggir kawasan Prairei yang terkenal dengan penghasilan gandum.

Episod itu bermula dengan kecederaan yang dialami seorang pengusaha kafe muslim yang terjatuh ketika bertengkar dengan seorang pelanggan di kafenya. Setelah dirawat oleh seorang doktor muslim, beliau dinasihatkan supaya banyak beriadah dengan berenang bagi menguatkan ligamen lututnya. Oh, lupa nak dinyatakan bahawa kedua-dua pengusaha kafe dan doktor itu perempuan.

Pada satu hari, kedua-dua mereka pergi ke kolam renang milik perbandaran. Alhamdulillah, bandar itu mempunyai hari khusus untuk wanita menggunakan kolam renang. Maka soal aurat tidak menjadi persoalan kerana semua pengguna kolam renang pada hari itu ialah perempuan. Bagaimanapun masalah timbul kerana instructor kolam renang itu ialah seorang 'lelaki lembut'. Maka kedua-dua wanita muslim itu membantah kehadiran instructor itu atas alasan mereka beragama Islam dan menjadi satu kesalahan di sisi Islam untuk mereka berbikini di hadapan seorang lelaki bukan muhrim. Lelaki lembut itu mendakwa dia seorang 'gay' dan tidak bernafsu melihat perempuan. Jadi dia enggan meninggalkan kolam renang itu kerana dia bertugas pada hari itu. Pengusaha kafe dan doktor muslim itu akhirnya terpaksa mengalah dan tidak jadi berenang kerana kelas renang hanya dikendalikan oleh instructor 'gay' itu.

Maka bermulalah perjuangan doktor muslim itu untuk mendesak datuk bandar - yang juga seorang wanita - untuk menyediakan instructor renang wanita. Beliau memohon pertolongan ibunya, pegawai perhubungan awam di pejabat datuk bandar untuk melobi majlis perbandaran agar memenuhi tuntutannya. Datuk bandar bukan muslim itu tidak membantah cadangan tersebut tetapi berkata majlis perbandaran tidak mempunyai bajet yang cukup untuk menggaji seorang instructor renang wanita. Beliau (datuk bandar) bagaimanapun berjanji akan membawa perkara itu ke mesyuarat majlis jika doktor muslimah itu berjaya mengutip tandatangan sokongan daripada sekurang-kurang 120 wanita (jika ingatan saya belum pudar).

Ibu doktor muslim itu pula berhadapan dengan masalah. Jika permohonan anaknya itu diluluskan oleh mesyuarat majlis, maka harapannya untuk menyertai lawatan ke China akan terjejas. Ini kerana bajet untuk membiayai instructor renang wanita akan diambil daripada kos membiayai lawatan beliau ke China. Maksudnya, beliau tidak akan tersenarai menyertai lawatan ke China jika instruktor renang wanita digaji. Maka bermulalah usahanya untuk menggagalkan kempen pungutan tandatangan itu. Dalam salah satu slot sitcom itu, beliau cuba mempengaruhi seorang wanita bukan muslim agar tidak menurunkan tandatangan di kertas petisyen. Bagaimanapun cubaannya gagal dan wanita bukan muslim itu menurunkan tandatangan kerana menganggap idea menggaji seorang instructor wanita bagi perenang wanita adalah baik.

Saya tidak ingat kesudahan cerita itu kerana tumpuan saya terganggu dengan tugas-tugas lain di pejabat. Tetapi pengajaran yang diperolehi dari sitcom itu adalah, bukan menjadi satu keganjilan atau kesukaran untuk mengamalkan Islam di negara-negara minoriti muslim seperti Kanada. Walaupun Barat kini diserang sindrom Islamophobia (ketakutan terhadap Islam) pasca insiden 11 September 2001, masih ada di kalangan masyarakat dunia yang mampu berfikiran rasional dan mengamalkan toleransi. Sitcom "Little Mosque on the Prairie" adalah salah satu usah untuk mengikis sindrom Islamophobia itu. Memang ada pro dan kontra dengan penyiaran sitcom itu, tetapi penulis tidak mahu mengulasnya di sini.

Apa yang cuba diketengahkan dalam tulisan ini adalah usaha mewujudkan environment yang selesa untuk wanita Islam bersosial tanpa menjejaskan pegangan syariat telah wujud di peringkat global. Di negara kita, Sukan Nisa' - acara sukan khas untuk wanita berjalan penuh meriah dan warna warni. Kehadiran ratu pecut 200m sukan Asia Doha, Ruqayya al-Ghasara mencetus semangat peserta dan penganjur. Bagaimanapun tidak semua yang melihat ini sebagai satu perkembangan sihat. Menteri Belia dan Sukan, Azalina Othman Said dan Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad (yang tidak punyai apa-apa portfolio dalam kerajaan) tidak berpuashati kerana lelaki tidak dibenarkan menyaksikan sukan itu. Hujah mereka kaum kerabat lelaki peserta tidak dapat memberi sokongan moral. Itu jugalah yang dikritik pengarang The Star, Wong Chun Wai yang selalunya sinis dengan apa jua perkembangan di Kelantan.

Penulis pernah berbual dengan seorang teman, prof madya di sebuah IPTA tentang perkembangan ini. Sambil menyatakan sokongannya terhadap Nisa' Games yang berlangsung di Kelantan, beliau mempunyai pandangannya sendiri tentang fenomena segregasi gender ini. Menurut beliau, mengapakah kerajaan negeri begitu obses dengan peraturan segregasi gender sehingga mengasingkan kaunter lelaki dan wanita di pasaraya. Mengapa tidak diwujudkan kaunter khas untuk wanita. Maksud beliau, biarlah wanita yang mahu berbaris di kaunter khas wanita berbuat demikian, manakala yang mahu terus berbaris di kaunter biasa berbuat demikian.

Menurutnya, adalah lebih praktikal untuk orang ramai khususnya wanita diberikan pilihan daripada dipaksa untuk ke barisan tertentu yang mungkin menyulitkan mereka khususnya kepada yang berkeluarga.

Beliau memberi contoh Jepun yang menyediakan gerabak keretapi khas untuk wanita dan beberapa bandar di India yang menyediakan bas khas untuk wanita. Pokoknya wanita diberi kebebasan untuk memilih - tempat khusus untuk wanita atau kaunter dan kenderaan awam yang bersifat uniseks. Mungkin cadangan ini dapat menutup mulut wanita dan lelaki gatal yang saja-saja mahu bercampur di khalayak umum tanpa sebarang alasan yang munasabah. Sekurang-kurangnya wanita kita bahkan wanita di seluruh dunia punyai pilihan. Maaflah ya! Ini khusus untuk wanita...

Wednesday, June 20, 2007

Amy Search, Masjidil Haram dan pengurusan masjid kita

Alhamdulillah, pada akhir Mei dan awal Jun lalu, saya berkesempatan melakukan ibadah umrah dan ziarah di Makkah dan Madinah. Banyak pengalaman yang mampu dikutip sepanjang 3 hari di Madinah dan 8 hari di Makkah.

Pada suatu pagi hari di Madinah, saya dan bapa mertua menuju ke Masjid Nabawi bagi menziarahi makam Rasulullah s.a.w. dan mencari kesempatan beribadah di Raudhah. Sesampainya kami di dataran Masjid Nabawi, saya melihat Dr Badrul Amin Baharon, bekas tahanan ISA dan bekas Ahli MPT KeADILan sedang berbual dengan beberapa orang jemaah Malaysia.

Saya menghampiri beliau, bersalam dan menegur. "Ustaz bawa jemaah (umrah) kah," tanya saya. "Ya! Amy Search pun ada," ujar beliau sambil menunjuk ke arah susuk tubuh yang berserban agak besar. Saya tergamam sedikit tetapi terus mendapatkan Amy dan para jemaah yang lain untuk bersalaman.

Itulah kali pertama saya bersalam dengan Amy. Pernah sekali bertembung dengan beliau di Hospital Intan Gleanegles, Ampang. Tapi tak sempat berbual. Maklumlah... orang KL, masing-masing sibuk. Rupa-rupanya ditakdirkan Allah SWT untuk bertemu di Masjid Nabi dan bertanya khabar di sana.

Langkah bapa mentua yang uzur menyebabkan rombongan Ustaz Badrul Amin lebih dahulu masuk ke Masjid Nabawi. Amy masih berambut panjang waktu itu dan bertocang. Lilitan serbannya tidak dapat menyembunyikan tocangnya yang panjang. Sebaik masuk ke Masjid Nabawi, saya lihat seorang warga Afghan menegur tocang rambut Amy. Saya lihat Ustaz Badrul Amin berkata sesuatu kepada Amy dan beliau akhirnya memasukkan tocang rambutnya itu ke dalam serban.

Pagi itu, saya berkesempatan solat dan berdoa di Raudhah. Selepas itu, dua kali saya terserempak dengan Amy. Kali pertama ketika balik dari melawat makam Rasulullah s.a.w.. Rombongan Ustaz Badrul Amin termasuk Amy sedang menunggu kesempatan untuk masuk ke Raudhah. Kali kedua, ketika penyanyi rock itu sedang mengacu jubah di salah sebuah kedai menjual pakaian di pinggir Masjid Nabawi.

Memang Masjid Nabawi punya tarikan tersendiri. Siapa yang beribadah di dalamnya digandakan pahala seribu kali berbanding masjid-masjid lain selain Masjidil Haram. Di sini jugalah bersemadinya jasad Rasulullah s.a.w. yang mulia dan dua orang sahabat baginda, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khatab.

Ramai juga yang mencari kesempatan beribadah di Raudhah. Satu kawasan kecil yang terletak berhampiran mimbar dan bersebelahan makam Rasulullah s.a.w.. Banyak fadhilat beribadah di Raudhah. Selain pahala yang berlipat ganda, doa yang diucap di Raudhah juga makbul dengan izin Allah SWT.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak diambil kesempatan oleh penguasa Madinah. Khadamul Haramain, Raja Abdullah memang mengambil berat soal pentadbiran dan penyeliaan masjid kedua paling suci ini. Kita akan melihat, puluhan pekerja am bekerja keras siang dan malam menjaga kebersihan masjid. Kebanyakannnya warga Bangladesh berpakaian seragam. Merekalah yang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja pembersihan - menyapu, mengelap, menggilap - juga menggantikan tong-tong (container) minuman air zamzam yang diletakkan di kebanyakan laluan dalam masjid itu.

Kawasan masjid yang luas membolehkan penggunaan kenderaan ringan untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Jadi berhati-hatilah bila anda berada di dalam Masjid Nabawi. Takut dilanggar kenderaan petugas pembersihan!

Masjid Nabawi juga dimakmurkan dengan kuliah-kuliah pengajian. Waktu antara Maghrib dan Isyak selalunya dipenuhi dengan kuliah-kuliah ilmu. Satu kelebihan bagi yang tahu berbahasa Arab kerana kuliah hanya disampaikan dlaam bahasa Al-Qur'an. Di kawasan bahagian timur masjid, kelas-kelas al-Qur'an bagi kanak-kanak diadakan antara waktu Zohor dan Asar. Anak-anak ini duduk dalam halaqat (kumpulan) dengan dibimbing seorang guru.

Pendek kata, Masjid Nabawi bukan sahaja indah dan bersih, malah makmur dengan aktiviti ibadah dan ilmu.

pengurusan masjid kita

Memang cadangan supaya masjid-masjid di negara ini mencontohi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kena pada tenpatnya. Cadangan itu dilontarkan Ketua Jabatan Pendidikan Matematik dan Sains UM, Prof Dr Nik Azis Nik Pa pada Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007 di UKM Bangi, 13 Jun lalu.

Nik Azis memberikan lapan kelebihan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang perlu dicontohi iaitu reka bentuk bangunan yang indah, sentiasa bersih, sistem pembesar suara yang baik, ketinggian mutu bacaan al-Qur'an, jumlah jemaah yang ramai, bilangan tandas yang banyak, kemudahan mengambil wuduk dan minuman yang bersih.
Dari pemerhatian saya, semua faktor yang dijelaskan Nik Azis boleh diterima.

Bagaimanapun saya tidak berkesempatan meninjau sendiri tandas di dua masjid utama itu kerana lebih selesa berurusan di tandas hotel penginapan.

Memang pengurusan masjid di negara kita agak ketinggalan berbanding Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Lihat sahajalah dari aspek kebersihan.

Bagaimanapun yang lebih kritikal adalah aspek 'kemakmuran'. Masjid-masjid kita tidak semakmur Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kebanyakan masjid, khususnya di sesetengah kampung hanya dibuka pada waktu Maghrib dan Isyak. Selain daripada itu, para pengunjung perlu melakukan solat secara sendiri-sendiri di beranda masjid.

Tandas? Sama ada kotor tidak dicuci ataupun dikunci menyebabkan pengunjung tercari-cari tempat untuk 'menyegarkan diri'.

Pun begitu, masih ada imam yang berangan-angan agar elaun RM480 dinaikkan lagi. CEO Yayasan Islam Hadhari, Abd Aziz Abdullah yang mengetuai sekretariat program memberikan pandangan yang lebih ekstrim: 'Tidak mustahil gaji dan elaun imam pada masa depan mencecah sehingga RM8000 sebulan.'

Jika faktor material itu menjadi kenyataan, pasti manusia gagap pun sanggup menjadi imam!

Sebenarnya banyak kekangan untuk masyarakat kita memakmurkan masjid. Selain faktor kejahilan, kekangan ekonomi, kebejatan sosial dan komitmen penguasa, masjid-masjid kita sebenarnya dibelenggu birokrasi dan cengkaman politik! Di satu pihak, ustaz-ustaz yang punya kelulusan tidak dibenarkan mengajar atau berceramah walaupun punyai kelulusan tinggi di bidang syariah dan usuluddin atas alasan 'tiada tauliah' atau cenderung kepada pembangkang. Tetapi di satu pihak lagi, hanya mereka yang rapat dengan penguasa walaupun tidak berminat memakmurkan masjid diberi kuasa mentadbir masjid.

Akhirnya masjid sebagai platform ibadah, pembentuk perpaduan dan penjana kemajuan ummah dikecilkan peranan sebagai pusat pengamalan ibadah ritual semata-mata dengan kongkongan ketat dari atas!

cerita Amy lagi

Saya bertemu lagi dengan Ustaz Badrul Amin di Makkah ketika balik dari Masjidil Haram selepas solat Zohor.

"Macam mana Amy ustaz?" soal saya.

"Amy bagus... pagi petang buat umrah. Tak terikut saya... Solat waktu pun berhampiran Kaabah. Selesai saja imam beri salam, dia terus berlari kucup Hajar Aswad... stamina dia ada!"

Saya dan seorang jamaah lain terlopong mendengar cerita beliau.

Kami doakan Amy agar diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk kekal teguh dijalan-Nya. Begitu juga doa kita kepada masjid-masjid di negara ini agar suatu masa nanti bebas lepas daripada segala belenggu untuk membolehkannya mencontohi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...