Wednesday, June 20, 2007

Amy Search, Masjidil Haram dan pengurusan masjid kita

Alhamdulillah, pada akhir Mei dan awal Jun lalu, saya berkesempatan melakukan ibadah umrah dan ziarah di Makkah dan Madinah. Banyak pengalaman yang mampu dikutip sepanjang 3 hari di Madinah dan 8 hari di Makkah.

Pada suatu pagi hari di Madinah, saya dan bapa mertua menuju ke Masjid Nabawi bagi menziarahi makam Rasulullah s.a.w. dan mencari kesempatan beribadah di Raudhah. Sesampainya kami di dataran Masjid Nabawi, saya melihat Dr Badrul Amin Baharon, bekas tahanan ISA dan bekas Ahli MPT KeADILan sedang berbual dengan beberapa orang jemaah Malaysia.

Saya menghampiri beliau, bersalam dan menegur. "Ustaz bawa jemaah (umrah) kah," tanya saya. "Ya! Amy Search pun ada," ujar beliau sambil menunjuk ke arah susuk tubuh yang berserban agak besar. Saya tergamam sedikit tetapi terus mendapatkan Amy dan para jemaah yang lain untuk bersalaman.

Itulah kali pertama saya bersalam dengan Amy. Pernah sekali bertembung dengan beliau di Hospital Intan Gleanegles, Ampang. Tapi tak sempat berbual. Maklumlah... orang KL, masing-masing sibuk. Rupa-rupanya ditakdirkan Allah SWT untuk bertemu di Masjid Nabi dan bertanya khabar di sana.

Langkah bapa mentua yang uzur menyebabkan rombongan Ustaz Badrul Amin lebih dahulu masuk ke Masjid Nabawi. Amy masih berambut panjang waktu itu dan bertocang. Lilitan serbannya tidak dapat menyembunyikan tocangnya yang panjang. Sebaik masuk ke Masjid Nabawi, saya lihat seorang warga Afghan menegur tocang rambut Amy. Saya lihat Ustaz Badrul Amin berkata sesuatu kepada Amy dan beliau akhirnya memasukkan tocang rambutnya itu ke dalam serban.

Pagi itu, saya berkesempatan solat dan berdoa di Raudhah. Selepas itu, dua kali saya terserempak dengan Amy. Kali pertama ketika balik dari melawat makam Rasulullah s.a.w.. Rombongan Ustaz Badrul Amin termasuk Amy sedang menunggu kesempatan untuk masuk ke Raudhah. Kali kedua, ketika penyanyi rock itu sedang mengacu jubah di salah sebuah kedai menjual pakaian di pinggir Masjid Nabawi.

Memang Masjid Nabawi punya tarikan tersendiri. Siapa yang beribadah di dalamnya digandakan pahala seribu kali berbanding masjid-masjid lain selain Masjidil Haram. Di sini jugalah bersemadinya jasad Rasulullah s.a.w. yang mulia dan dua orang sahabat baginda, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khatab.

Ramai juga yang mencari kesempatan beribadah di Raudhah. Satu kawasan kecil yang terletak berhampiran mimbar dan bersebelahan makam Rasulullah s.a.w.. Banyak fadhilat beribadah di Raudhah. Selain pahala yang berlipat ganda, doa yang diucap di Raudhah juga makbul dengan izin Allah SWT.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak diambil kesempatan oleh penguasa Madinah. Khadamul Haramain, Raja Abdullah memang mengambil berat soal pentadbiran dan penyeliaan masjid kedua paling suci ini. Kita akan melihat, puluhan pekerja am bekerja keras siang dan malam menjaga kebersihan masjid. Kebanyakannnya warga Bangladesh berpakaian seragam. Merekalah yang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja pembersihan - menyapu, mengelap, menggilap - juga menggantikan tong-tong (container) minuman air zamzam yang diletakkan di kebanyakan laluan dalam masjid itu.

Kawasan masjid yang luas membolehkan penggunaan kenderaan ringan untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Jadi berhati-hatilah bila anda berada di dalam Masjid Nabawi. Takut dilanggar kenderaan petugas pembersihan!

Masjid Nabawi juga dimakmurkan dengan kuliah-kuliah pengajian. Waktu antara Maghrib dan Isyak selalunya dipenuhi dengan kuliah-kuliah ilmu. Satu kelebihan bagi yang tahu berbahasa Arab kerana kuliah hanya disampaikan dlaam bahasa Al-Qur'an. Di kawasan bahagian timur masjid, kelas-kelas al-Qur'an bagi kanak-kanak diadakan antara waktu Zohor dan Asar. Anak-anak ini duduk dalam halaqat (kumpulan) dengan dibimbing seorang guru.

Pendek kata, Masjid Nabawi bukan sahaja indah dan bersih, malah makmur dengan aktiviti ibadah dan ilmu.

pengurusan masjid kita

Memang cadangan supaya masjid-masjid di negara ini mencontohi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kena pada tenpatnya. Cadangan itu dilontarkan Ketua Jabatan Pendidikan Matematik dan Sains UM, Prof Dr Nik Azis Nik Pa pada Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007 di UKM Bangi, 13 Jun lalu.

Nik Azis memberikan lapan kelebihan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang perlu dicontohi iaitu reka bentuk bangunan yang indah, sentiasa bersih, sistem pembesar suara yang baik, ketinggian mutu bacaan al-Qur'an, jumlah jemaah yang ramai, bilangan tandas yang banyak, kemudahan mengambil wuduk dan minuman yang bersih.
Dari pemerhatian saya, semua faktor yang dijelaskan Nik Azis boleh diterima.

Bagaimanapun saya tidak berkesempatan meninjau sendiri tandas di dua masjid utama itu kerana lebih selesa berurusan di tandas hotel penginapan.

Memang pengurusan masjid di negara kita agak ketinggalan berbanding Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Lihat sahajalah dari aspek kebersihan.

Bagaimanapun yang lebih kritikal adalah aspek 'kemakmuran'. Masjid-masjid kita tidak semakmur Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kebanyakan masjid, khususnya di sesetengah kampung hanya dibuka pada waktu Maghrib dan Isyak. Selain daripada itu, para pengunjung perlu melakukan solat secara sendiri-sendiri di beranda masjid.

Tandas? Sama ada kotor tidak dicuci ataupun dikunci menyebabkan pengunjung tercari-cari tempat untuk 'menyegarkan diri'.

Pun begitu, masih ada imam yang berangan-angan agar elaun RM480 dinaikkan lagi. CEO Yayasan Islam Hadhari, Abd Aziz Abdullah yang mengetuai sekretariat program memberikan pandangan yang lebih ekstrim: 'Tidak mustahil gaji dan elaun imam pada masa depan mencecah sehingga RM8000 sebulan.'

Jika faktor material itu menjadi kenyataan, pasti manusia gagap pun sanggup menjadi imam!

Sebenarnya banyak kekangan untuk masyarakat kita memakmurkan masjid. Selain faktor kejahilan, kekangan ekonomi, kebejatan sosial dan komitmen penguasa, masjid-masjid kita sebenarnya dibelenggu birokrasi dan cengkaman politik! Di satu pihak, ustaz-ustaz yang punya kelulusan tidak dibenarkan mengajar atau berceramah walaupun punyai kelulusan tinggi di bidang syariah dan usuluddin atas alasan 'tiada tauliah' atau cenderung kepada pembangkang. Tetapi di satu pihak lagi, hanya mereka yang rapat dengan penguasa walaupun tidak berminat memakmurkan masjid diberi kuasa mentadbir masjid.

Akhirnya masjid sebagai platform ibadah, pembentuk perpaduan dan penjana kemajuan ummah dikecilkan peranan sebagai pusat pengamalan ibadah ritual semata-mata dengan kongkongan ketat dari atas!

cerita Amy lagi

Saya bertemu lagi dengan Ustaz Badrul Amin di Makkah ketika balik dari Masjidil Haram selepas solat Zohor.

"Macam mana Amy ustaz?" soal saya.

"Amy bagus... pagi petang buat umrah. Tak terikut saya... Solat waktu pun berhampiran Kaabah. Selesai saja imam beri salam, dia terus berlari kucup Hajar Aswad... stamina dia ada!"

Saya dan seorang jamaah lain terlopong mendengar cerita beliau.

Kami doakan Amy agar diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk kekal teguh dijalan-Nya. Begitu juga doa kita kepada masjid-masjid di negara ini agar suatu masa nanti bebas lepas daripada segala belenggu untuk membolehkannya mencontohi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

1 comment:

Unknown said...

Salam 'Aidil Fitri kpd Tuan sekeluarga dari bakaq a.k.a. ~penarik beca a.k.a. sang kutu sekeluarga.. من العائدين والفائزين

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...