Friday, November 13, 2009

Isu tauliah Jais... Siapa sebenarnya dalang?


SEJAK beberapa minggu kebelakangan ini, isu tauliah mengajar dan berkhutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hangat diperdebatkan (sampai hangit). Masing-masing pihak berkepentingan cuba menjadikan isu ini modal politik sehingga menuding jari ke pihak lain.

Paling menarik komen dari PM kita, Mohd Najib Razak. Najib mahu kerajaan negeri beri penjelasan kerana kerajaan Pusat tidak campur tangan dengan tindakan Jais menahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin atas dakwaan mengajar tanpa tauliah di Hulu Kelang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal ehwal Islam turut bertemu Asri keesokan harinya. Asri pula bertemu Mursyidul Am PAS di Kota Bharu yang antara lain membincangkan soal penahanannya dan dakwaan Wahabi yang dilemparkan terhadapnya.

Ketika ura-ura Asri bakal menyertai politik kedengaran, segerombolan anggota Back Banchers Club (BBC) BN menemui Asri di bangunan Parlimen. Khabarnya BBC juga menyokong Asri dan kesal dengan tindakan Jais.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo juga tumpang semangkuk. Beliau menasihati Jais supaya berhati-hati dalam tindakan seperti titah Sultan Selangor, kononnya. Padahal sewaktu menerajui Selangor, Khirlah panglima BN yang menyenaraihitamkan puluhan tokoh agama termasuk mantan Mufti Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom daripada mengajar di surau dan masjid. Umno yang berkuasa penuh ke atas Jais dan Mais (pada waktu itu) memang mengawal ketat masjid dan surau di Selangor.

Hanya ketika DAP berkongsi kuasa dengan KeADILan dan PAS di Selangor, masjid dan surau dibebaskan dari cengkaman politik Umno. Itupun ada juga orang PAS yang tak bersyukur. Asyik termakan dengan dakyah Umno sehingga menghentam lumat DAP...

Jais seperti biasalah, terkenal dengan sifat kluk-kliknya. Kejap bagi alasan itu, kejap bagi alasan ini. Kitapun naik pening bila dengar penjelasan Jais terutama Pengarahnya, Khusrin Munawi - seorang lulusan ekonomi, UM.

Rasanya komen paling tepat tentang soal tauliah ini datang dari Ahli Parlimen kontroversi Shah Alam, Ir Khalid Samad. Berikut adalah penjelasan beliau:

Tauliah adalah warisan BN

Oleh Muhammad Arif Ismail

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat perlu mengkaji semula sistem pentaulihan pengkhutbah dan penceramah yang diwarisi dari zaman pemerintahan BN.

Tindakan kerajaan BN negeri terdahulu menggubal Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (2003) khususnya Seksyen 119(1) yang mengenakan denda sebanyak RM3,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali kepada mana-mana individu yang melakukan ceramah agama di negeri ini tanpa tauliah perlu disemak semula.

Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam sidang media di pejabatnya, baru-baru ini berkata, penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan bantuan polis tidak sepatutnya berlaku dalam negeri Pakatan Rakyat.

Tambah beliau, penduduk Selangor telah memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan kerana sudah bosan dengan gaya pemerintahan Umno yang mencemarkan agama Islam.

"Di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, kerajaan negeri berkewajipan untuk membuat perubahan kepada enakmen-enakmen yang berkaitan dengan agama Islam.

"Jika tindakan ini tidak dilakukan, tidak ada perbezaan dengan pemerintah dahulu. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam pemerintahan Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Justeru, satu dialog perlu diadakan di kalangan ilmuan bagi 'membebaskan' majlis ilmu dan menghapuskan sekatan yang telah dilakukan oleh pemerintah lalu.

"Saya harap kerajaan baru Pakatan Rakyat membuka perbahasan di kalangan masyarakat dengan memanggil golongan ilmuan dan tokoh agama untuk membahas perkara ini.

"Apa yang kita mahu adalah negeri Selangor menjadi satu negeri di mana ilmu Islam itu betul-betul dapat dihidupkan tanpa sebarang sekatan dan tindakan yang berbaur politik," katanya.

Sebelum ini, peraturan pentaulihan yang digubal BN mengandungi niat tertentu yang menyebabkan tokoh-tokoh agama seperti Dato' Ismail Kamus, Dr Harun Din dan ramai lagi tidak diberi tauliah dan dihalang menyampaikan kuliah agama di negeri ini.

"Namun sekarang negeri ini telah diambil alih oleh Pakatan Rakyat. Oleh itu kita perlu mengambil pendekatan yang lebih terbuka dengan tidak menyekat dan menyusahkan penduduk negeri ini mendapatkan ilmu," katanya.

Wednesday, November 11, 2009

Ulang tayang drama MIC


Masih ingatkah lagi drama dalam politik MIC apabila dua seteru parti bertemu dan berlakulah apa yang tidak disangka berlaku. Setiausaha Agung MIC, MG Pandithan (mendiang) tiba-tiba memeluk dan mencium Presiden 'seumur hidup' MIC, S. Samy Vellu dalam satu program parti.

Pandithan sebelum itu melancarkan kempen mogok lapar yang menyaksikannya berpuasa di sebelah sebuah keranda bagi membuktikan betapa seriusnya beliau untuk mendesak Samy Vellu menyelesaikan pertikaian peribadi antara mereka.

Pandithan akhirnya 'diselamatkan' oleh Datuk S. Subramaniam (seorang lagi musuh politik Samy Vellu) yang berjaya memujuknya mengakhiri mogok lapar persis tindakan Gandhi itu.

Pun begitu Pandithan tidak mendapat simpati Samy. Beliau akhirnya meninggalkan MIC dan menubuhkan All Malaysia India Progresif Front (IPF) bersama para pengikutnya. IPF cuba menjadi saingan MIC tetapi gagal. Malah sikap Pandithan yang umpama lalang -dalam mencari rakan politik menyebabkan IPF tidak sangat dihormati rakyat khususnya masyarakat India.

IPF kini masih berharap diterima sebagai kerabat BN meskipun MIC menentangnya... Dan peluang untuk IPF masuk BN terus tipis kerana perlembagaan BN menetapkan kemasukan mana-mana parti dalam gabungan BN perlu diterima secara sebulat suara (konsensus) oleh semua anggota BN.

Baru-baru ini berlaku krisis antara Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dan Ahli Parlimen Ampang Jaya, R Sivarasa berhubung kenyataan Ketua Umum KeADILan agar ahli-ahli parti itu mematuhi dasar dan peraturan parti. Jika tidak akan dipecat. Sivarasa dalam kenyataannya mendakwa amaran itu ditujukan kepada Zulkifli.

Zulkifli yang tidak berpuas hati melancarkan beberapa serangan terhadap Sivarasa. Antaranya mencabar Naib Presiden KeADILan itu itu bertanding dalam pemilihan parti.

Ahli parlimen Kulim Bandar Baru itu berkata beliau sanggup keluar parti jika kalah kepada Sivarasa dalam pertandingan jawatan naib presiden.

Katanya, beliau sanggup berbuat demikian kerana tidak mahu bersekongkol dengan parti yang tidak mempertahan dan tidak berjuang untuk menegakkan Islam dan hak umat Islam.

Itulah 'trademark' Zulkifli - 'Islam dan umat Islam'. Setakat mana isu-isu Islam dan umat Islam yang diperjuangkan Zulkifli memberi imej baik kepada Islam dan parti yang diwakilinya, hanya rakyat yang dapat menentukan.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian, Zulkifli yang persis bagaikan bayangan Pandithan tiba-tiba memeluk Sivarasa di hadapan para wartawan ketika rakan KeADILannya itu memberikan kenyataan media.

Maka riuh rendahlah media perdana mendakwa yang Zul dan Sivarasa hanyalah berdrama dalam 'krisis peribadi' sesama mereka.

Saya tak fikirlah Sivarasa berdrama... tapi bagi Zulkifli... saudara-saudarilah menjawabnya...

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...