CERITA Perak lagi... 12 Mei lalu riuh seantero negara apabila tulisan Menteri Besar Haram Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kader di dalam blognya dipetik oleh beberapa akhbar dalam talian antaranya The Star Online.
Setelah riuh dengan projek melelong kereta rasmi negeri - Toyota Camry - yang ternyata tidak mendapat sambutan, Zambry yang nyata kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah menulis di dalam blognya:
"Bagaimanapun saya dan rakan-rakan akan meneruskan perjuangan kami menegakkan keadilan dan membela rakyat. Ini adalah tradisi dan intipati perjuangan Barisan Nasional.
"Menegakkan kebenaran bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.
"Nelson Mandela misalnya mengorbankan kebebasannya selama 27 tahun demi membebaskan rakyat Afrika Selatan dari cengkaman “apartheid”.
"Mahatma Ghandi pula mengorbankan nyawanya untuk memastikan kemerdekaan India serta rakyatnya dapat hidup aman tanpa sempadan kasta dan agama.
"Perjuangan menegakkan keberanian ini memerlukan keberanian. Mandela pernah berkata : "Saya mempelajari bahawa keberanian bukanlah bermakna tidak punya perasaan takut, tetapi berjaya mengatasinya. Mereka yang berani bukanlah mereka yang tidak punya perasaan takut tetapi mereka yang mampu menakluki rasa takut itu..."
"Jika dibandingkan dengan dua tokoh yang disebutkan tadi, perjuangan dan pengorbanan yang saya serta rakan-rakan lalui tidaklah seteruk mereka. Sekurang-kurangnya saya tidak hilang kebebasan atau disakiti untuk menegakkan kebenaran.
"Saya hanya menempuhi persepsi umum yang negatif seperti yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang termasuk Menteri Besar Dato’ Seri Nizar Jamaluddin serta orang-orang kanannya.
"Tuduhan terbaru ialah penggunaan bomoh yang saya rasakan amat serius kerana ia melibatkan perbuatan syirik. Ini adalah antara taktik politik kebencian (politics of hatred) yang digunakan oleh mereka supaya rakyat membenci BN.
"Tetapi taktik seperti ini bukanlah budaya BN. Memetik kata Martin Luther King Jr, kegelapan tidak akan mengatasi kegelapan. Kebencian tidak akan menghapuskan kebencian, hanya kasih sayang mampu mengubahnya."
Begitulah hebatnya Zambry beretorik sehingga membabitkan nama-nama besar pemimpin dunia.
Benarlah kata-kata beliau bahawa ujian yang ditempuhinya tidak sehebat Gandhi dan Mandela. Apa tidaknya... jika dua tokoh dunia itu sanggup menghabiskan sebahagian usia produktif mereka di penjara British tanpa mengorbankan prinsip, Zambry seperti diketahui umum mengorbankan prinsip hanya setelah ditahan tidak sampai sebulan di bawah ISA...
Beliau juga sebenarnya bukanlah mangsa dalam kemelut politik Perak. Mangsa sebenar ialah Nizar dan Pakatan Rakyat yang dipilih secara sah oleh rakyat.
Zambry dan BN memperalatkan jentera dan kakitangan kerajaan termasuk polis untuk mengekalkan kuasa, persis seperti Robert Mugabe (foto) yang menggunakan segala instrumen negara yang ada untuk kekal sebagai Presiden di Zimbabwe sejak 1980.
Malah penafiannya tentang penggunaan bomoh di Dun Perak pastinya memakan diri kerana Adun Pakatan Rakyat, Drs Khalil Idham Lim mempunyai bukti bergambar tentang 'bomoh BN' yang melaksanakan tugas-tugas syirik di Dun tersebut sehari sebelum sidang 7 Mei berlangsung.
Zambry boleh terus beretorik... tetapi beliau tentunya tidak layak untuk memetik kata-kata Gandhi dan Mandela mahupun Martin Luther King dalam mempertahankan kaedah haramnya untuk terus berkuasa. Zambry sebenarnya lebih rapat dengan Mugabe. Dan jika sesuai, beliau boleh digelar sebagai "Mugabe Perak".
Rakyat negeri Perak bukanlah sebodoh itu untuk menerima 'politik kebencian' seperti didakwa olehnya. Apa yang penting adalah kebenaran...
Dan Zambry, Umno juga BN sebenarnya tidak punyai kekuatan untuk berhadapan dengan kebenaran! Begitu jugalah Mugabe...
No comments:
Post a Comment