Monday, May 11, 2009

Kek Harijadi Dari Nizar Untuk Ulang Tahun Umno

RAMAI tidak menyedari bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengiktiraf Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, 11 Mei lalu adalah bersamaan dengan tarikh sambutan 63 Tahun penubuhan Umno.


Sambutan Ulang Tahun Umno itu tidak diketahui ramai kerana ia disambut secara 'kecil-kecilan' oleh para pemimpin Umno Pusat di Bangunan Umno, PWTC Kuala Lumpur. Menteri Besar Haram BN Perak, Datuk Sri Zambry Abdul Kader juga dilapor bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sambutan itu sehinggakan para wartawan yang berada di pejabatnya untuk mendapatkan ulasannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hanya dilayan pembantu peribadinya.


Nizar dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri di kediamannya di Sungai Rokam Ipoh menyifatkan kemenangannya sebagai 'kek harijadi' sempena kelahiran 63 tahun Umno.


Kenyataan beliau yang pastinya berbau sinikal itu memberi isyarat jelas kepada Umno dan BN bahawa sebarang tindakan yang mengetepikan undang-undang dan perlembagaan pasti akhirnya menerima padah.


Setakat ini Zambry akur dengan keputusan mahkamah dan pejabatnya di Bangunan SUK Perak sudahpun dikosongkan pembantu peribadinya. Nasib beliau agak beruntung kerana barangan peribadinya pasti berada dalam simpanan pembantunya berbanding Nizar yang hilang semua barangan peribadinya akibat tindakan gopoh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak pro-Umno, Datuk Dr (?) Abdul Rahman Hashim.


Abdul Rahman yang disifatkan sebagai duri dalam daging pentadbiran Pakatan Rakyat Perak selain Pengerusi Bernama, Datuk Seri Anuar Zaini telah menunjukkan belang sebenarnya apabila mengherdik dan menghalau wartawan pada sidang media Nizar di pejabatnya 6 Februari lalu walaupun Nizar pada waktu itu masih Menteri Besar yang sah dan Zambry Abdul Kader belum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar kudeta BN.



Bagaimanapun mesyuarat Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah mengambil keputusan menggantung tugas Abdul Rahman Hashim dan penasihat perundangannya Datuk Ahmad Kamal Shahid.


Keputusan menggantung dua pegawai kanan ini menurut Nizar "bukan balas dendam" tetapi melihat kepada tindak-tanduk mereka yang tidak berpegang kepada prinsip profesionalisme dan secara terang-terangan menyebelahi BN.


Pengerusi gabungan badan bukan kerajaan Perak - Jama'iy, Dr Khairuddin bin Dato' Abd Malik Hasibuan telah menulis surat terbuka kepada Ketua Setiausaha Negara supaya menyiasat tindak-tanduk Abdul Rahman yang menyalahi etika seorang kakitangan kerajaan kerana merelakan diri dijadikan alat politik BN.


Ini bukanlah pertama kali Abdul Rahman menerima hukuman daripada sikap tidak profesional beliau, malah SUK Perak itu pernah dihalau keluar daripada Dun Perak oleh Adun Pakatan Rakyat (lihat gambar)kerana berlagak hero ketika Dun bersidang, 7 Mei lalu.


Krisis Perak bagaimanapun jauh dari berakhir. Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah menyatakan kesediaan BN untuk membuat rayuan. Permohonan sudahpun difailkan peguam Zambry di Mahkamah Rayuan menuntut agar keputusan Mahkamah Tinggi ditangguhkan.


Jelas tindakan 'lapar kuasa' BN ini mengkhianati slogan "1Malaysia - Rakyat Didahulukan".


BN khususnya Najib sudah maklum bahawa rakyat Perak mahukan mandat dikembalikan kepada mereka. Tuntutan supaya Dun Perak dibubarkan bukan sahaja datang daripada Pakatan Rakyat dan majoriti rakyat negeri itu; malah ia disuarakan para ahli akademik, pakar undang-undang dan pemimpin Umno sendiri.


Sampai bilakah Najib akan menongkat langit dan menjadikan slogan "1Malaysia-Rakyat Didahulukan" sebagai sendaan umum?

No comments:

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...