Sunday, April 26, 2009

Impian Shafie Apdal, menteri yang kerap gagal

Biarpun baru dilantik mempengerusikan Perhubungan Umno Kedah, Naib Presiden Umno yang berasal dari Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah pun berangan nak menawan negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Memanglah bagus untuk bercita-cita tinggi, tapi Shafie perlu melihat 'track record'nya sepanjang menjawat Menteri kabinet sebelum bercita-cita tinggi.

Khabarnya isteri Shafie orang Kedah. Tapi itu bukannya faktor utama yang membolehkan beliau memahami dan hadam budaya politik Kedah. Paling mudah, mampukah Shafie bertutur dialek Kedah jika slanga Sabah beliau masih tebal?

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu juga berkata akan menggunakan pengalamannya ketika menjadi pembangkang di Sabah bagi merampas kembali Kedah yang kini dikuasai PAS.

"Pengalaman semasa BN menjadi pembangkang di Sabah akan saya bawa ke Kedah. Kaedah yang sama sehingga Sabah kembali kepada BN bakal diterapkan.

"Jika di Sabah BN berjaya, saya yakin Kedah pun tidak mustahil untuk kita rampas kembali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, 26 April lalu.

Tak payah nak bercakap besarlah Shafie... Kaedah yang digunakan BN untuk merampas semula Sabah daripada PBS sukar dilaksanakan di Kedah. PBS tumbang di Sabah bukannya disebabkan oleh kepintaran BN khususnya Shafie dalam berpolitik. Ianya berpunca daripada pendaftaran ratusan ribu pendatang asing Sabah yang diberikan kad pengenalan segera dan didaftarkan sebagai pemilih.

Tanpa pendatang asing Filipina, Indonesia dan Pakistan di Sabah, BN khususnya Umno tidak akan berkuasa di Sabah.

Tak tahulah pula jika Shafie akan menggunakan tektik yang serupa untuk mendaftarkan pendatang asing Thailand, Myanmar dan Indonesia sebagai warganegara, diberikan kad pengenalan dan kemudian mendaftar sebagai pemilih di Kedah.

Kedah bukan macam Sabah Shafie oii... Setiap pengundi di setiap lokaliti dikenali oleh petugas pilihan raya PAS.

Jaga-jaga Senator Yusof Husin oii (Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri)... Tak mustahil ramai buruh Thai, Myanmar dan Indon di Kedah yang mula belajar bercakap loghat Utara. Mana tidaknya, Shafie nak bagi kad pengenalan baru!

Selepas gagal melindungi hak pengguna dan rakyat ketika menjawat Menteri Hal Ehwal Pengguna, Shafie kini menjawat Menteri yang menjaga hal ehwal luar bandar pula.

Janganlah kerana terlalu ghairah berpolitik, Shafie terlupa akan tugas asasinya untuk memajukan wilayah luar bandar.

Apa yang jelas orang Sabah lebih memerlukan beliau daripada Kedah!

No comments:

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...