Sunday, December 21, 2008

Hormatilah alam!

SUDAH terhantuk baru terngadah... Itu tak apa lagi... Kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis...

Itulah perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan peri kemaruknya para pemimpin BN mengulas tentang tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ampang.

Di masa yang sama, ada kenyataan-kenyataan nakal yang cuba menyalahkan kerajaan negeri Selangor yang baru sepuluh bulan diperintah Pakatan Rakyat terhadap tragedi itu.
Paling menonjol sikap 'keras kepala' mantan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mempertahankan tindakan kerajaan negeri pimpinannya meluluskan hampir seratus projek pembangunan tanah tinggi.


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Ahli Parlimen bandar Tun Razak ketika berucap di Dewan Rakyat mendedahkan, sepanjang lapan tahun lalu, 99 projek kawasan berbukit diluluskan bekas kerajaan BN negeri
dipimpin Khir Toyo, termasuk 27 yang sedang dimajukan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.


Projek-projek itu termasuklah 10 di kawasan Bukit Antarabangsa, yang mengalami tragedi tanah runtuh 6 Disember lalu, dan 11 lagi di Bukit Melawati - dua kawasan yang dianggap berisiko tinggi.

Apa yang lebih mendukacitakan, projek-projek di kawasan ini dikelaskan berada dalam kategori 3 dan 4 iaitu kecerunan lebih 25 darjah dan memerlukan penyeliaan teknikal yang lebih ketat.
Menjawab isu ini, Khir mendakwa kononnya projek pembangunan di kawasan berbukit sejak 20 tahun kebelakangan tidak menimbulkan masalah kerana kononnya dipantau dengan baik oleh agensi kerajaan.

"Isunya bukan pembangunan baru. Kenapa beliau hendak sibuk dengan pembangunan baru?


"Pembangunan baru tiada masalah. Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia) sudah buat keputusan. Tidak ada masalah. Sepatutnya tiada masalah," getus Khir.

Sambil menyifatkan Abdul Khalid sebagai "tidak faham isu" beliau menggesa supaya projek-projek pembangunan lama yang diluluskan dua dekad lalu diberi perhatian.

Begitulah mudahnya Khir berdalih cuba meloloskan diri. Jika Khir mengikuti secara teliti tragedi terbaru tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, terdapat pandangan mengatakan kewujudan projek-projek baru yang diluluskan tanpa kawalan di kawasan terbabit menjadi salah satu punca bencana itu.


Dalam erti kata lain, walaupun Taman Bukit Utama, Taman Bukit Mewah dan Highland Towers yang mengalami bencana dibina lebih daripada 20 tahun lalu, tetapi punca kepada bencana ini adalah projek-projek baru yang diluluskan tanpa mengambil kira peraturan dan kesan alam sekitar. Malah ada pendapat menyatakan projek perumahan baru terbengkalai di kawasan berkenaan sebagai punca berlakunya bencana ini.


Khir juga mendakwa sistem pemantauan yang diperkenalkan sejak tragedi di Kampung Pasir, Hulu Kelang pada 2006 "tidak berjalan" sejak negeri itu jatuh kepada Pakatan Rakyat, Mac lepas.

Menurutnya, sewaktu pentadbiran BN dahulu, pasukan khas untuk memantau lereng bukit berisiko tinggi telah ditubuhkan membabitkan pakar daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Geologi dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Laporan mesti dibentangkan setiap tiga bulan, sebab itu tiada kejadian tanah runtuh yang serius selepas peristiwa di kampung pasir tahun 2006," ulas Khir dalam laman blognya.
Ketiak dihubungi Malaysiakini, Khir mendakwa jika sistem pemantauan yang diperkenalkan beliau dua tahun lalu diteruskan, tragedi yang mengorbankan nyawa itu mungkin dapat dielakkan.

Bagaimanapun dakwaan Khir ini ternyata meleset. Ia sekadar gebang-gebang kosong.


Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, pihaknya tidak pernah mengambil mudah dan sentiasa memantau segala projek pembangunan yang dijalankan di kawasan Hulu Kelang.

"Kami mempunyai jawatankuasa kejuruteraan yang akan memantau dari aspek sistem pengaliran air dan longkang. Kalau boleh kami akan memantau setiap hari terutamanya setelah menerima aduan daripada penduduk setempat.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu mereka menyelesaikan masalah yang timbul meskipun keluasan tanah di bawah bidang kuasa kami adalah terlalu luas sehingga 143 hektar," ujarnya.

MPAJ juga, jelas Norhayati telah melantik pihak kontraktor bagi kerja-kerja mengalihkan aliran longkang dan menutup sepenuhnya runtuhan tanah dengan kanvas pada kadar segera jika penduduk mengadu berlakunya hakisan di kawasan mereka.


Dari penjelasan MPAJ itu, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa proses pemantauan yang dimaksudkan Khir itu masih berjalan tetapi tiada siapa yang boleh menghalang kudrat alam. Apatah lagi jika bencana itu berpunca daripada sikap
manusia yang tidak menghormati alam sekitar.


Bencana yang menimpa Bukit Antarabangsa sebenarnya berpunca daripada sikap sambil lewa dan tidak endah manusia (termasuk Khir) terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Apatah lagi jika ada yang berpandangan kebijakan manusia dan teknologi terkini mampu menyekat bencana alam!

Sama ada Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri, banyak peraturan berhubung alam sekitar diketepikan apabila berhadapan dengan 'pembangunan'. Sebagai contoh ramai yang menyedari tektik yang digunakan pemaju untuk mengelak daripada menjalankan kajian kesan penilaian alam sekitar (EIA).

EIA perlu dilakukan jika projek yang dibangunkan berkeluasan lebih daripada 50 hektar bertujuan menjamin ia tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

Bagaimanapun bagi mengelakkan laporan EIA, pemaju dikesan menggunakan beberapa nama syarikat berbeza untuk memajukan kawasan berkeluasan lebih 50 hektar. Dan tektik ini digunakan pemaju dalam banyak projek pembangunan kawasan berbukit dan tanah tinggi di Selangor.

Lebih memualkan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa pertimbangan komersial pembangunan untuk mengaut keuntungan telah mengetepikan soal keselamatan dan langkah penjagaan alam sekitar.


Beliau mendedahkan betapa mudahnya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (tentunya yang diperintah BN) untuk mengalah dengan lobi pihak pemaju yang mahu membangunkan kawasan tanah tinggi meskipun Garis Panduan Pembangunan Tanah Tinggi 2002/2005 secara jelas melarang pembangunan projek di kawasan tanah tinggi 300 meter ke atas dengan berkecerunan lebih 35 darjah.


Menurut laporan, terdapat projek-projek di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor dikenal pasti melanggari peraturan berkenaan.

"Kita lihat apabila satu-satu kawasan itu mempunyai nilai yang tinggi akan timbul tekanan daripada pihak pemaju untuk mengemukakan cadangan pembangunan yang pada akhirnya membawa kemudaratan kepada penghuni rumah berkenaan," kata Najib.

Soalnya, mengapa kerajaan negeri dan PBT boleh tunduk dengan lobi dan desakan pemaju walaupun ianya menyalahi peraturan?

Dan lebih penting daripada itu, adakah wujudnya unsur rasuah dan penyelewengan dalam proses meluluskan projek-projek berkenaan?

Peraturan dan undang-undang tidak bermakna jika ia tidak dikuatkuasakan. Dan jika berlaku 'loopes hole' dalam peraturan dan undang-undang itu (apatah lagi jika sudah disedari) ianya perlu ditampung dan diperbaiki segera. Apatah lagi ada yang mendakwa wujudnya 'orang dalam' yang membantu kelulusan projek-projek tanah tinggi.

Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat perlu membentuk pasukan petugas khas bagi mengkaji semula kelulusan 99 projek membabitkan kawasan tanah tinggi yang diluluskan kerajaan terdahulu. Kajian perlu dibuat sama ada wujud unsur-unsur rasuah dan penyelewengan dalam kelulusan tersebut.


Jika langkah konkrit tidak diambil, kita yakin perkara yang sama akan berulang kembali. Seperti kata mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam: "Nampaknya tiada siapa pun yang belajar daripada tragedi Highland Towers."


Anak lelaki Musa, Rashid Carlos dan isterinya Rozita ialah antara 48 orang yang terkorban apabila sebuah daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview yang terletak 1.5 kilometer dari Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama runtuh pada 11 Disember 1993.

Perlu juga disebut, pada 20 November 2002 tanah runtuh telah meranapkan banglo dua tingkat milik Pengerusi Affin Bank Bhd, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar. Isteri, anak lelaki dan dua cucu beliau beserta dua pembantu rumah warga Indonesia terkorban apabila banglo berkenaan ditimpa tanah runtuh; juga di Bukit Antarabangsa.

Kita tidak perlu belajar daripada Khir dan Najib. Tetapi kita perlu belajar daripada tragedi dan nyawa mereka yang terkorban.


Hormatilah alam!

Lebai tua, lebai muda dan tarbiah Ramadan

PEKAN AG tidaklah besar manapun. Tetapi tarafnya sudah diangkat kepada bandar ekoran beberapa faktor. Antaranya wujud sebuah kilang pemasangan kereta Honda yang menjadi tempat ratusan anak muda daerah AG mencari nafkah.

Ketika tiba Aidilfitri, keadaan pekan AG yang sedia sibuk, disibukkan lagi dengan pulangnya anak-anak perantauan bercuti di kampung-kampung berdekatan. Banyak karenah yang dapat dilihat. Ada melucukan, menyenangkan, dan tidak kurang juga yang menjengkelkan.
Di hari raya kedua, insiden yang menjengkelkan ini berlaku di hadapan deretan kedai 'hardware' di pekan itu.

Tatkala keluar daripada sebuah kedai 'hardware' setelah membeli satu dua perkakasan dapur, penulis dan isteri melihat sebuah kereta model Kancil yang pemandunya sedang terkial-kial memulas stering. Kereta Kancil milik lebai muda itu tidak dapat memboloskan diri daripada petak letak kereta kerana kedudukannya dihalang oleh sebuah kereta lagi - kereta besar model BMW yang diletakkan secara sesuka hati ditepi jalan besar itu.

Penulis tidak mempedulikan kesukaran yang dihadapi lebai muda itu kerana yakin beliau boleh menggunakan kepakaran memandunya untuk melepasi halangan yang tidak disangka itu. Lantas terus ke bank berhampiran untuk ke mesen teler automatik.

Ramai yang beratur untuk mengeluarkan wang. Maklumlah, musim perayaan. Pastinya banyak wang yang keluar untuk membeli barang keperluan harian.

Hampir sepuluh minit menunggu, akhirnya giliran penulis pun sampai. Setelah mengeluarkan wang baki gaji bulan itu, penulis pun melintasi semula kedai 'hardware' itu untuk menyeberang jalan. Isteri penulis sudah pun menunggu di kereta. Tiba-tiba penulis lihat, lebai muda itu masih gagal mengeluarkan keretanya daripada halangan kereta model BMW itu.

Lebai muda itu keluar daripada kereta. Bercekak pinggang dan memandang ke kiri kanan untuk mencari pemilik kereta tersebut. Dia membunyikan hon berkali-kali untuk menarik perhatian tetapi kelibat tuan punya kereta tidak juga kelihatan.

Dilanda rasa kasihan, penulis pun menyapa lebai muda itu, "Syeikh! Anta masuk, ana tolong 'guide'," kata saya.

Lebai muda itu masuk semula ke dalam keretanya dan saya menahan kereta dari arah pekan untuk membolehkan kereta kancil itu berundur. Lebai muda itu memulas stering keretanya. Dia menggerakkan keretanya ke hadapan dan berundur ke belakang beberapa kali untuk melolosi kereta BMW yang betul-betul menghalang laluan keretanya itu.

Ketika keretanya hampir melolosi kereta BMW itu, tiba-tiba muncul seorang lebai tua dari dalam kedai 'hardware' itu.

"Boleh, boleh!" jeritnya memberi arahan.

"Boleh apa pula?" getus hati penulis.

Akhirnya kereta lebai muda itu berjaya keluar daripada halangan - selepas 15 minit berhempas pulas. Tentunya dengan bantuan saya. Maka lebai muda itupun terus memandu memecut keretanya tanpa sempat mengucapkan terima kasih. Maklumlah, sedang bengang yang amat sangat.

Penulis yang gatal mulut pun bertanya kepada lebai tua, "kereta siapa ni?" sambil menunjuk kereta BMW itu. "Tak tahu!" kata lebai tua itu sambil menggoyang-goyangkan kedua-dua tangannya.

"Perangai tuan kereta ni teruk," kata penulis pada lebai tua itu. "Apa awak cakap," ujar beliau yang tiba-tiba menyinga.

Saya ulangi lagi dengan suara yang sengaja ditinggikan, "perangai tuan kereta ni teruk!"
Lebai tua itu meluru ke arah penulis. "Nak tahu siapa tuan punya kereta ni... saya!" katanya sambil mendabik dada.

"Oh patutlah!" kata penulis menunggu jawapan balas.

Lebai tua itu tidak menjawab. Mungkin terperanjat dengan jawapan itu. Atau mungkin menyedari saiz badan penulis lebih besar daripadanya. Dia cuma menjeling, merungut dan balik semula ke dalam kedai.

Isteri penulis menyapa sekembalinya penulis ke kereta. "Marah pak haji tu, kenapa?"

"Biarkan ajalah," kata penulis mematikan bicara.

Sebelum memandu balik, penulis lihat lebai tua itu mengalihkan keretanya ke petak parking setelah memunggah sekampit baja ke dalam bonet.

Rupa-rupanya, tarbiah Ramadan tidak meresap ke dalam jiwa lebai tua itu hingga tidak menyedari sikap mementingkan dirinya itu menyusahkan orang lain.


Dan penulis rasa puas hari itu kerana dapat memberi pengajaran kepada lebai tua yang tidak punya perasaan, sombong, berdusta dan tidak sedarkan diri itu.

Bukankah sombong lawan sombong itu sedekah! Betulkah?

Monday, October 20, 2008

Datuk Shah Rukh Khan dan lawak Ali Rustam

Mengenai orang yang berkemungkinan menjadi timbalan (calon Presiden Umno, Dato' Seri) Najib (Tun Razak), (mantan Perdana Menteri) Dr Mahathir berkata, ia sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pesaing lain yang ada sekarang bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden Umno hanyalah ‘pak lawak’ semata-mata.

Petikan berita di atas diambil daripada laporan Berita Harian versi online 14 Oktober lalu. Memang ulasan Dr Mahathir itu agak pedas dan sedikit keterlaluan kerana antara yang menawarkan diri sebagai calon ialah Naib Presiden Umno juga Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Penerangan Umno yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Muhammad Muhd Taib.

Tetapi jika dikenang-kenangkan semula, bidasan Dr Mahathir itu macam kena pada tempatnya. Tinggalkan sahaja Mat Taib yang mengaku tidak tahu berbahasa Inggeris di mahkamah Australia. Kita fokus kepada Ali Rustam yang masih menaruh harapan untuk menjadi orang no. 2 Umno.

Baru-baru ini kerajaan negeri pimpinan Ali menganugerahkan gelaran "Datuk" kepada pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan... Ramai yang terkejut termasuk persatuan Seniman.

Lebih mengejutkan lagi, Shah Rukh tidak hadir di majlis penganugerahan sempena hari jadi Tuan Yang Dipertua Negeri. Kerajaan negeri khabarnya akan mengadakan majlis berasingan untuk membolehkan Shah Rukh dikalungkan dengan gelaran itu.

Apa jasa Shah Rukh? Pelakon itu dikatakan melakukan penggambaran di A Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka. Filem lakonan Shah Rukh itu didakwa boleh mempromosikan Melaka di dunia luar bagi mearik kedatangan pelancong ke Melaka.

Itu sahaja alasannya...? Ya itu sahaja?

Seperti komen sepupu saya lewat SMS-nya kepada saya:

"Shah Rukh Khan dapat gelaran Datuk sempena hari jadi TYT Melaka hari ini (11 Okt 2008). Alahai... apalah jasa mamat seorang ini pada Melaka berbanding dengan orang Melaka sendiri yang masih bermimpi nak jadi Datuk, ke hulu hilir bawa sepanduk akhirnya terpinggir macam pokok senduduk..."

Lawakkan? Patutlah Dr Mahathir yang pernah cuba menarik Shah Rukh Khan melabur di e-village, Koridor Raya Multi-Media (MSC) menganggap Ali Rustam bagaikan 'pak lawak'.

Memang azan penting, tapi apa selepas azan?

Setelah kecoh dengan isu azan, ISA dan saman Ahli Parlimen
Seputeh, Teresa Kok terhadap Utusan Melayu, timbul pula isu
Tabung Azan...

Idea ini dicetuskan seorang Ketua Umno Bahagian Cheras bernama
Datuk Syed Ali Alhabshee.

Menurut si Ali, Tabung Azan itu ditubuhkan untuk membiayai dan
melatih muazzin (bilal) muda untuk melaungkan azan di surau dan
masjid.

"Kita nak beritahu mereka (DAP) bahawa kita mampu membentuk dan
melatih muazzin muda kerana kita rasa tercabar orang yang
mempertikaikan laungan azan," kata Syed Ali ketika dihubungi
akhbar portal Malaysiakini.

Begitulah bersemangatnya Ali untuk mempertahankan azan.
Hinggakan cerita tidak benar tentang Teresa dan DAP yang
kononnya mempertikaikan azanpun hendak dimarakkan.

Sebelum isu Tabung Azan ini dipanjangkan, elok rasanya Ali dan para penyokongnya merenung kembali tujuan azan itu disyariatkan. Ini penting agar beliau tidak berbuat sesuatu yang bukan sahaja memalukan dirinya, tetapi mencemarkan imej Islam yang cuba dipertahankannya.
Azan adalah seruan untuk orang Islam menunaikan solat. Walaupun
hukumnya sunat, azan adalah kaedah yang ditetapkan syarak untuk
memberitahu masuknya waktu. Apa yang lebih utama, azan adalah
mekanisme yang digunakan untuk mengumpulkan umat Islam
menunaikan solat fardu secara berjamaah - di masjid atau di
surau. Hukum solat berjamaah adalah fardu kifayah. Maksud
mudahnya, "orang lain buat, kita tak payah". Jika tidak
dilakukan oleh sesiapapun, semua orang Islam yang mukallaf akan
mendapat dosa.

Memang hasrat melatih tukang azan atau bilal muda itu satu yang
terpuji. Tetapi adakah si Ali sudah mengkaji perkara yang lebih
utama iaitu berapa ramaikan umat Islam yang secara konsisten
menyahut seruan azan iaitu berjamaah di masjid dan surau
selepas azan dikumandangkan?

Dan yang lebih utama, adakah si Ali tergolong dalam golongan
mereka yang berjamaah di masjid atau surau selepas azan di
kumandangkan?

Si Ali juga mensasarkan untuk mengutip RM30 juta bagi
bermegah-megah dengan DAP yang didakwanya sebagai anti-Azan.

"Untuk tunjuk kepada (ahli Parlimen Seputeh) Teresa (Kok),
orang Melayu nampak kuat," jelasnya lagi.

Cuba bayangkan apa yang boleh kita capai jika peruntukan RM30
juta itu digunakan untuk usaha dakwah mengajak umat Islam ke
masjid dan surau menunaikan solat fardu berjamaah?

Oleh itu, Ali perlu memikirkan masak-masak rancangannya itu.
Janganlah kerana terlalu ghairah maka semua masjid dan surau di
negara ini dibekalkan sistem pembesar suara berkuasa tinggi,
tetapi bilangan jamaahnya boleh dikira dengan jari.

Ali Rustam: Mengata dulang paku serpih!

Pernah anda berkunjung ke Melaka? Jika jawapannya ya, soalan berikutnya adalah: Apa yang membezakan Melaka dengan negeri-negeri lain?

Tentunya pelbagai jawapan dapat diberi. Bergantung kepada persepsi masing-masing. Mungkin ramai yang meletakkan bangunan-bangunan bersejarah sebagai jawapan. Memang benar kerana Melaka adalah negeri bersejarah.

Ada yang pasti memilih keunikan masjidnya. Benar, kebanyakan masjid lama di Melaka mempunyai pengaruh seni bina Cina. Tidak ketinggalan Masjid Negeri Al-Azim yang terletak di pinggir bandar berhampiran Hospital Melaka.

Apa lagi ya? Tentunya gerai asam pedas dan ikan bakar yang menjadi kegilaan pelancong khususnya dari negara jiran Singapura.

Kubu Umno? Betul juga kerana hingga saat ini belum ada satu kawasan Dun dan Parlimen yang ditandingi Umno berjaya dirampas parti-parti lawan BN khususnya PAS.

Tapi kalau ditanya kepada saya, jawapannya pasti mengejutkan. Melaka berlainan dari negeri-negeri lain kerana ia lebih mendewa-dewakan pemimpin khususnya Ketua Menterinya!

Lihat sajalah di segenap simpang jalan utama di negeri bersejarah itu, terutama ketika menjelangnya Aidilfitri. Sepanduk (banner) yang memuatkan gambar Ketua Menteri Melaka digantung semahu-mahunya. Imej Dato' Seri Mohd Ali Rustam dengan 'misai tebal ular sawanya' dapat dilihat di mana-mana sahaja.

Keadaan ini jarang dapat dilihat kecuali di negara-negara komunis seperti Korea Utara dan Cuba.

Tentunya bagi mereka yang celik matematik dapat membayangkan berapa kos yang terpaksa dibelanja kerajaan negeri, kerajaan tempatan mahupun BN dan Umno negeri semata-mata bagi memenuhkan setiap simpang jalan utama di Melaka dengan gambar Ali Rustam!

Itu tidak termasuk papan iklan (billboard) yang dipasang oleh Majlis-Majlis Perbandaran di Melaka yang juga memuatkan gambar-gambar gergasi Ali Rustam.

Oleh itu teguran Ali Rustam terhadap pembinaan 'replika gergasi' Dato' Seri Anwar Ibrahim di Batu Caves, Kuala Lumpur memang menghairankan.

Ia umpama menampar air di dalam dulang terpercik ke muka sendiri ataupun meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri.

Jika Ali Rustam menyifatkan pemasangan 'replika' Anwar itu (sebenarnya papan iklan gergasi) menunjukkan KeADILan mendewa-dewakan pemimpin; apa pula istilah wajar yang boleh diguna pakai atas keghairahan Melaka memaparkan imej Ali Rustam di segenap simpang jalan utama di negeri itu?


Ali Rustam yang juga Naib Presiden Umno turut menasihatkan agar wang membina 'replika Anwar' itu digunakan KeADILan untuk membantu rakyat miskin.

“Saya nak tanya pada PAS, apakah pembinaan replika Anwar ini diluluskan oleh PAS,” soal Ali Rustam.

Jika replika dan papan iklan pun gagal dibezakan oleh Ali Rustam dan para pemimpin Umno, tidak payahlah nak bertanya tentang pandangan ulama PAS.

Lagipun sejak bila pemimpin Umno mematuhi fatwa mahupun menghormati pandangan ulama? Lihat sahajalah fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan tentang upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara. Kerajaan BN ikutkah? Bagaimana pula dengan program Sure Heboh atau Jom Heboh yang disifatkan haram oleh Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria. Umno ikutkah?


Malasnya nak ulas pasal Umno dan Ali Rustam. Semakin lama, semakin tidak relevan!

Tuesday, October 14, 2008

Bila Teresa Kok saran Khir Toyo bertaubat

Tentu ramai yang mengikuti episod azan membabitkan mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo; Adun Puchong (Umno), Satim Diman dan anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Tuduhan Khir dan Satim terhadap Teresa memberikan ilham kepada Editor Kanan Utusan Malaysia, Zaini Hassan untuk menulis artikel bertajuk 'Azan, jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya'. Artikel karangan Zaini itu dijadikan asas oleh pihak polis untuk menahan Teresa yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor di bawah ISA.

Teresa kemudiannya dibebaskan. Ironinya, Khir, Satim, Zaini dan Utusan Malaysia tidak dikenakan sebarang tindakan... Bagaimanalah agaknya rakyat nak menghomati KDN khususnya polis dalam soal-soal menyentuh sensitiviti bangsa dan agama ini?

Untuk berlaku adil terhadap Teresa, berikut disiarkan kenyataan media beliau yang dikeluarkan hanya beberapa hari sebelum Setiausaha DAP Kebangsaan itu ditahan ISA:

Penjelasan Teresa Kok mengenai isu azan

Sejak kempen Pilihan Raya Permatang Pauh bermula, saya telah diberitahu bahawa terdapatnya satu email yang mengatakan saya membawa sekumpulan penduduk di Puchong mengadakan petisyen untuk membantah azan terhadap sebuah masjid di Puchong, dan saya dikatakan membentangkan petisyen ini kepada YB Satim, ADUN UMNO di Puchong.

Pada mulanya, saya tidak peduli khabar angin ini kerana saya amat sibuk dengan banyak urusan kerajaan. Tetapi selepas itu, email yang diedarkan di internet ini telahpun dihantar kepada lebih ramai orang, termasuk wakil rakyat kaum Melayu dan wartawan di akhbar Bahasa Malaysia. Pada Ahad yang lepas, saya terima panggilan daripada YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan dua orang pemberita daripada Berita Harian dan Sinar Harian mengenai isu ini. Pada hari ini, saya juga terima panggilan daripada pemberita daripada Utusan Malaysia yang menyoal saya tentang perkara ini, beliau berkata Khir Toyo juga mendakwa saya berbuat demikian.

Tibalah masa bagi saya untuk menerangkan perkara ini dengan kenyataan yang saya telah ulangi kepada YB Khalid Samad dan pemberita pada Hari Ahad adalah seperti berikut:

i) Saya sendiri tidak pernah menerima aduan daripada penduduk di Puchong berkenaan dengan isu azan ini, jadi saya langsung tidak tahu tentang perkara ini dan saya amat hairan untuk mendengar tuduhan tersebut;

ii) Sekiranya saya terima aduan daripada penduduk di Puchong, adalah langsung tidak masuk akal bagi saya sebagai exco Kerajaan Selangor untuk mengadakan petisyen dan membentangkannya kepada YB Satim, seorang ADUN daripada parti pembangkang, kerana beliau bukannya kadi ataupun pengurus masjid, buat apa saya tulis surat kepada beliau yang tiada kuasa tentang perkara ini?

Sekiranya saya terima aduan daripada penduduk, saya akan minta bantuan daripada YB Datuk Dr Hasan Ali, iaitu exco yang menjaga Hal Ehwal Islam di Selangor, ataupun pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam di Selangor, dan bukannya Satim.
Satim Gagal Menunjukkan Bukti

Saya minta pemberita yang menanya komen saya tersebut untuk minta surat yang dikatakan ditulis oleh saya daripada Satim, tetapi pembantu Satim gagal menunjukkan bukti tersebut kepada pemberita akhbar Bahasa Malaysia tersebut. Kegagalan menunjukkan bukti tersebut menunjukkan kesemua tuduhan yang disebarkan dalam email dan pemimpin UMNO Selangor tersebut merupakan pembohongan yang besar.

Kes Aduan Tentang Azan di Kondominium di Bandar Tun Razak

Sebenarnya, pada dua tahun yang lepas, saya pernah menerima aduan daripada penduduk bukan Islam di sebuah pangsapuri di Bandar Tun Razak berkenaan dengan bunyi azan yang terlalu kuat pada awal pagi. Saya terpaksa bercampur tangan dalam isu tersebut kerana ia telah mencetuskan pergaduhan dan permusuhan yang agak serius di antara penduduk bukan Islam dan penduduk beragama Islam. Pada waktu itu, saya minta bantuan daripada pengarah Jawi di Wilayah Persekutuan dan kami pernah mengadakan satu dialog di antara penduduk yang beragama Islam dan bukan Islam di kondominium tersebut secara bersama. Akhirnya, isu di kondominium itu diselesaikan dengan bantuan daripada Pengarah Jawi di Wilayah Persekutuan.

Saya tidak memanggil sidang akhbar ataupun menggalakkan pengadu di kondominium berkenaan untuk membuat apa-apa petisyen, dan pergaduhan di kondominium tersebut diselesaikan secara "low key" sahaja.

Penduduk Yang Membuat Petisyen Hantar Faks Kepada Saya

iii) Selepas kenyataan saya disiarkan dalam surat khabar semalam, saya terima satu faks daripada seorang pengundi di kawasan Puchong di pejabat saya. Faks tersebut mengandungi satu surat dan juga petisyen daripada beberapa ratus penduduk di Puchong kepada Satim. Barulah saya sedar memang terdapat sekumpulan penduduk di Puchong membuat petisyen kepada Satim berkenaan dengan isu azan ini.

Selepas itu, saya diberitahu oleh bekas pembantu pejabat perkhidmatan Kinrara saya bahawa penduduk yang membantah tentang bunyi azan tersebut pernah menghantar salinan petisyen tersebut ke pejabat saya dan minta bekas pembantu saya untuk "acknowledge receipt" dengan cop pejabat saya dalam surat mereka. Tetapi adalah jelas bahawa surat petisyen mereka kepada Satim bukan dibuat atas surat kepala pejabat saya.

Perbuatan UMNO Selangor Sangatlah Keji

Adalah jelas bahawa Satim dan orang UMNO telah memutar-belitkan cerita tersebut. Satim dan Khir Toyo cuba menggunakan taktik kotor mereka untuk membangkitkan kemarahan orang Islam dan orang Melayu di Puchong dan Selangor terhadap saya dalam isu ini. Mereka cuba mewujudkan kesangsian orang Melayu terhadap pemimpin DAP dan cuba menggambarkan saya dan rakan saya dalam DAP sebagai orang politik yang anti Melayu dan anti Islam.

Perbuatan pemimpin UMNO Selangor ini adalah amat keji. Bukankah sekarang bulan Ramadhan, bulan suci? Bukankah mereka sebagai penganut agama Islam sepatutnya kuat bersembahyang dan bertaubat ke atas perbuatan mereka yang lepas? Apakah mereka masih mereka tuduhan yang bukan-bukan dan pembohongan terhadap saya ini bertentangan dengan ajaran Islam dan bulan Ramadhan?
Saya amat menghormati orang Islam yang berpuasa dan berpegang kuat ke atas ajaran agama mereka. Saya selalunya berdoa bersama dengan rakan kerja yang beragama Islam apabila membuat doa Al-Fatihah sebelum bermulanya mesyuarat dan sebelum makan, kerana saya juga percaya pada Tuhan yang Maha Kuasa dan Pencipta kita yang mengadili kita dalam dunia ini dan pada Hari Akhirat.

Peribahasa yang selalu digunakan oleh Orang Cina ialah "Tuhan ada mata". Saya percaya Tuhan yang maha kuasa ini tengah melihat dan memantau apa yang berlaku pada kita semua. Saya juga percaya balasan dan hukuman Tuhan tentu akan dijatuhkan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab dan orang yang bohong.

Adalah lebih baik bagi Satim dan Khir Toyo untuk insaf dan bertaubat dalam bulan yang suci ini!

Bila api perkauman terus membara!

Ai tak habis-habis lagi ke?... Kan PKR boleh turunkan harga minyak. Kita dah bagi can (peluang) untuk perubahan. Berubah le. Mulakan dengan ternakan khinzir di Selangor dengan besar-besaran dengan mengambil hak tanah orang Melayu. Oklah tu. Itulah yang Melayu nak. Pualu Pinang juallah kat Cina. Melayu merempat. Oklah tu. Itu yang Melayu nak. Jangan menang sorak kampung tergadai..."

SMS di atas saya terima daripada seorang aktivis Wanita Umno bahagian selepas satu SMS nakal berhubung kenaikan harga minyak dimajukan (forward) kepadanya.

Marah sakan penyokong kuat Umno itu apabila diasak dengan isu kenaikan harga minyak. Maka berbalas-balas SMS lah kami. Bagaimanapun ianya berakhir apabila saya menyatakan :

"Melayu insya Allah terus hidup, yang mati Umno. Tak ikut Che Det keluar Umno?"

Dari insiden di atas, nampak jelas sentimen perkauman dan agama sentiasa dimainkan Umno untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada parti itu.

Seperti kenyataan Ketua Pemuda Umno Selangor yang mendakwa PAS berdiam diri dalam isu penternakan babi di Sepang dan cadangan kerajaan negeri menghapuskan peraturan yang mengehadkan saiz rumah ibadat bukan Islam.

"Tindakan mereka itu boleh dianggap sebagai merestui usaha yang mengabaikan kepentingan orang Melayu dan agama Islam, ini yang kita hairan," dakwa Shukor dalam Utusan online.

Keghairahan Umno dalam memainkan sentimen perkauman dan agama ini amat mengecewakan. Lebih mendukacitakan, para penyokong fanatik parti itu tidak dapat membezakan isu real yang melingkari hidup mereka dengan isu sensitif yang disandarkan kepada sentimen yang tebal.


Mereka hilang punca untuk melihat sesuatu isu berdasarkan keutamaan. Oleh itu, tidak pelik jika kita melihat bagaimana kecohnya Pemuda Umno Selangor mengadakan demonstrasi membantah pembahagian kerusi Exco dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) hampir saban minggu; tetapi berdiam diri dalam isu kenaikan harga minyak walaupun ia membebankan rakyat khususnya orang Melayu di kampung-kampung.

Jika sikap ini tidak diubah, pasti ramalan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid bahawa Umno akan berkubur menjelang tahun 2013 menjadi kenyataan!

Friday, September 12, 2008

Sikap double standard KDN


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilapor telah menghantar surat tunjuk sebab kepada tiga akhbar ekoran laporan mereka berhubung perkembangan politik semasa.

Tiga akhbar tersebut ialah The Sun, Sin Chew Daily dan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan.

Memang KDN mempunyai hak untuk memberikan ingatan kepada mana-mana akhbar agar tidak melanggar syarat-syarat yang terkandung dalam permit penerbitan.

Bagaimanapun sikap double standard KDN yang lebih gemar memberi amaran dan tekanan kepada akhbar-akhbar milik parti pembangkang dan akhbar-akhbar bebas berbanding akhbar milik Umno-BN perlu dilihat serius.

Merujuk kepada perkembangan semasa tanah air, kita melihat bagaimana akhbar-akhbar milik Kumpulan Utusan dan New Straits Times yang dikuasai Umno turut memainkan sentimen perkauman dan agama dalam laporan-laporan mereka.
Paling menonjol akhbar Utusan Malaysia yang dibelakangi Umno. Sebagai contoh, akhbar tersebut pada 10 September lalu menerbitkan artikel oleh seorang kolumnisnya yang memfitnah anggota exco kerajaan negeri Selangor berhubung isu azan subuh. Tulisan yang tidak menyebut nama exco berkenaan benar-benar menyentuh sensitiviti agama dan tidak wajar diterbitkan oleh sebuah akhbar nasional.

Exco berkenaan, Teresa Kok telah menuntut Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka atau menghadapi tindakan undang-undang. Bagaimanapun, tanpa menghiraukan permintaan Teresa, Utusan Malaysia menyiarkan pula berita berhubung tindakan Teresa mencadangkan papan tanda jalan bertulisan jawi di Bukit Bintang dan Seputeh ditukar kepada papan tanda bertulisan Inggeris, Cina dan India.

Mengapa Utusan Malaysia diberi kekebalan dalam isu bercorak perkauman ini boleh difahami umum. Selain menjadi lidah tidak rasmi Umno, Utusan Malaysia juga adalah penyambung hayat Umno khususnya bagi pembaca-pembaca Melayu di luar-luar bandar.

Dalam keadaan pengaruh Umno merosot teruk di kawasan-kawasan bandar, parti itu tidak mempunyai jalan lain selain mengukuhkan penguasaannya di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Dan antara kaedah yang paling berkesan adalah mengocak sentimen Melayu terhadap perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Satu lagi contoh klasik strategi kempen Umno ini adalah semasa kempen PRU 1990. Waktu itu BN berhadapan dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat yang kedua-duanya dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah.

Kejayaan Kuli menarik sokongan PBS meletakkan BN dalam keadaan terhimpit. Maka dirangka satu kempen untuk memburuk-burukkan peribadi Kuli. Saat keemasan itu tiba apabila Kuli disarungkan sigah Kadazan oleh Pairin Kitingan. Sigah yang mempunyai lambang salib itu dijadikan modal untuk menunjukkan peribadi sebenar Kuli yang kononnya sanggup menggadaikan agama untuk kepentingan politik.

Semua media arus perdana - cetak dan elektronik - menyiarkan pembohongan ini. Hasilnya Angkatan gagal merebut pengaruh pengundi Melayu kecuali di Kelantan. Dan tiada satu pun media milik BN yang dikenakan tindakan oleh KDN kerana memainkan sentimen agama.

Sejarah berulang lagi, dan kita sekali lagi melihat bagaimana BN khususnya Umno mengocak sentimen kaum dan agama untuk terus kekal memerintah negara.

Friday, September 5, 2008

Lagu rasmi PAS: Hampir menitis air mataku


Tanggal 13 hingga 17 Ogos lalu, sekali lagi PAS mencipta sejarah. Setelah sekian lama berkelana, PAS kembali ke tanah kelahirannya, Perak Darul Ridzuan.


Muktamar Tahunan PAS ke-54 berlangsung di Stadium Indera Mulia Ipoh dengan segala kemeriahan. Walaupun sudah beberapa kali PAS bermuktamar di Perak, muktamar kali ini mencipta kelainan kerana ia diadakan di saat PAS diberi kepercayaan oleh sahabat-sahabatnya dalam Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.


Walaupun PAS cuma menguasai enam daripada 32 kerusi Dun dimenangi Pakatan Rakyat dalam PRU12, Mac lalu - Perlembagaan negeri mensyaratkan calon Menteri Besar mestilah seorang Melayu Islam. Sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP (yang memenangi 18 kerusi Dun) akur akan realiti ini dan Adun PAS, Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dipilih sebagai Menteri Besar.


Tiada siapa menyangka PAS akan menerajui pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak. Tetapi realiti politik menunjukkan tiada yang mustahil.



"Mereka merancang dan Allah merancang. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik
perancang." (Mafhum al-Qur'an)

Tatkala lagu rasmi PAS berkumandang memecah ruang udara Stadium Indera Mulia, pagi 15 Ogos lalu, air mataku seperti tidak tertahan akan kesyahduan melodi dan liriknya. Inilah kesempatan sulung bagiku menyanyikan lagu itu walaupun hampir dua dekad bersama parti Islam - parti yang banyak mengajarku rempah ratus kehidupan.

Selamatlah parti Islam melangkah
membimbing ummah ke medan siasah
berpedomankan al-Quran dan sunnah
suburlah hidupnya dan pasti berbuah...

Demo pelajar UiTM: Keprihatinan yang mengundang kecurigaan

Sebagai bekas pelajar UiTM, penulis sebenarnya terkejut apabila dimaklumkan seorang rakan bahawa 5000 pelajar UiTM Shah Alam telah mengadakan unjuk rasa dan berarak sejauh 3 kilometer ke Bangunan SUK, Selangor, 12 Ogos lalu semata-mata untuk membantah kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setelah menghabiskan sebahagian usia remaja di UiTM dan berkecimpung dalam gerakan pelajar di kampus, penulis memang masak dengan senario kampus UiTM termasuk mentaliti para pelajarnya.

Adalah sesuatu yang menghairankan apabila para pelajar UiTM yang begitu teruk dikongkong Jabatan Hal Ehwal Pelajar boleh begitu prihatin dengan isu semasa dan seterusnya berdemonstrasi dan berarak dalam jumlah yang ramai, sedangkan demonstrasi diharamkan pentadbir UiTM dan ada kalangan pelajarnya yang dihukum dan disingkirkan kerana terlibat dengan demonstrasi.

Kongkongan HEP terhadap aktiviti pelajar juga mengakibatkan pelajar institusi Bumiputera itu tidak peka dengan isu semasa yang melingkari mereka. Jika ada diskusi intelek atau ceramah ilmiah yang dianjurkan, kehadiran pelajar (jika tanpa paksa) boleh dikira dengan jari. Keadaan ini berubah jika program hiburan ataupun konsert diadakan apabila ribuan pelajar akan hadir dan menunggu sehingga program tamat.

Kita tidak menolak kemungkinan bahawa unjuk rasa ribuan pelajar UiTM ini digerakkan oleh 'orang atasan' institusi itu. Pastinya pelajar yang sudah sebati dibelenggu Akta dan ditanam budaya takut untuk menyuarakan pandangan tentang politik dan isu semasa tidak berani berarak di jalan raya tanpa perkenan dan galakan pentadbir UiTM sendiri.


Jika tidak, mana mungkin unjuk rasa diadakan di hampir seluruh kampus UiTM seluruh negara termasuk cawangan Permatang Pauh (Pulau Pinang), Seri Iskandar (Perak), Arau (Perlis), Bandar Jengka (Pahang), Lendu (Melaka), Sungai Petani (Kedah), Kuala Terengganu (Terengganu) dan cawangan Machang (Kelantan).

'Histeria' yang melanda ini berpunca daripada cadangan Abdul Khalid agar UiTM membuka 10 peratus pengambilan kepada pelajar bukan bumiputera. Langkah ini, jelas beliau penting untuk meningkatkan daya saing pelajar dan mutu universiti awam bumiputera itu.

Cadangan Abdul Khalid itu bukanlah sesuatu yang baru. Seperti kata Profesor Emiritus Khoo Kay Kim dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, cadangan pengambilan pelajar bukan Bumiputera oleh UiTM ini pernah dicadangkan kerajaan BN beberapa tahun lalu. Malah UiTM sendiri, kata Khoo telah pun melaksanakan cadangan itu tetapi tidak mendapat sambutan pelajar bukan bumiputera.

Mustahil bagi Naib Canselor UiTM, Dato' Seri Ibrahim Abu Shah tidak mengetahuinya ataupun sengaja menyembunyikan fakta itu untuk tujuan yang beliau sahaja yang tahu.

Manipulasi isu ini juga sebenarnya memalukan warga UiTM keseluruhannya - pelajar dan bekas pelajar. Kenapa? Kerana Abdul Khalid bukanlah orang yang mempunyai autoriti terhadap UiTM. Memang benar kampus induk UiTM terletak di Shah Alam, tetapi institusi itu berada di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi dan bukannya kerajaan negeri Selangor.

Apa jua kenyataan yang keluar daripada mulut Abdul Khalid tentang UiTM tidak punyai sebarang kesan kerana beliau bukan seorang yang berautoriti.

Pandangan Abdul Khalid juga sepatutnya dibahaskan secara akademik kerana itulah budaya yang harus dilaksanakan oleh sebuah IPTA; bukannya mendorong warganya beremosi dan bersentimen tanpa sebab yang wajar.

Membela hak Melayu? Tidakkah Ibrahim Abu Shah menyedari bahawa banyak isu lain berhubung hak Melayu yang sepatutnya diperjuangkan golongan 'nasionalis totok' seperti beliau. Bagaimana dengan dasar kerajaan BN yang membuka 10 peratus pengambilan Maktab Rendah Sains MARA kepada bukan Bumiputera? Bagaimana pula kuota biasiswa 55-45 bagi pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

Jika Ibrahim benar-benar merasakan Abdul Khalid perlu memohon maaf; beliau terlebih dahulu perlu melakukan perkara serupa kerana telah pun melaksanakan idea Abdul Khalid beberapa tahun lalu seperti dinyatakan Prof Khoo Kay Kim.

Ibrahim juga dilapor menyifatkan Abdul Khalid sebagai cetek pemikiran kerana sukar menerima fakta mengenai pelbagai kejayaan yang dicapai UiTM sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Tidak sedarkah Ibrahim bahawa beliau juga berfikiran cetek kerana mendakwa tidak melihat sebarang perubahan yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor sepanjang 100 hari memerintah negeri seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau perlu menyedari bahawa walau bagaimana 'hebatnya' pencapaian UiTM, institusi itu masih tidak termasuk dalam ranking utama universiti dunia oleh mana-mana badan penarafan antarabangsa. Sehubungan itu, masih banyak ruang untuk memperbaiki UiTM sebagai universiti khusus Bumiputera. Teguran Abdul Khalid perlu dilihat sebagai cabaran dan bukannya penghinaan oleh warga UiTM.


Memang Ibrahim antara peneraju UiTM yang paling menonjol berpolitik. Tidak seperti Pengarah dan Naib Canselor ITM dan UiTM sebelumnya, Ibrahim lebih suka mengeluarkan pandangan memihak dalam sebarang isu. Sentimennya kepada parti-parti pembangkang termasuk PAS amat tebal berbanding sifat lunaknya kepada dasar-dasar BN.

Oleh kerana itulah, beliau tidak menentang keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk membuka UiTM kepada pelajar-pelajar bukan Bumiputera tetapi melompat setinggi langit apabila cadangan serupa dibuat Tan Sri Abdul Khalid.

UiTM sebenarnya memerlukan peneraju baru untuk terus unggul sebagai institusi melatih profesional Bumiputera. Individu seperti Almarhum Prof Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid perlu dicari untuk melonjakkan imej dan kredibiliti UiTM di peringkat nasional dan antarabangsa. Almarhum ialah seorang nasionalis tulen yang benar-benar memperjuangkan kepentingan Melayu tanpa menghiraukan batasan politik. Para pelajar ITM era 80-an dapat merasakan semangat kental Pak Nik dalam mengangkat martabat ITM sebagai institusi unggul Melayu-Bumiputera.

Di majlis-majlis perhimpunan pelajar ITM, Pak Nik tidak segan silu mengkritik sebahagian ahli-ahli politik Melayu yang dianggapnya mengabaikan kepentingan bangsa kerana asyik bertelagah sesama sendiri, dan sanggup berdiri gagah menyanggah sesiapa saja termasuk pemimpin parti komponen BN yang mengancam kepentingan dan hak Bumiputera.

"MCA agaknya nak orang Melayu semua mampus baru mereka puas hati," kata-kata Pak Nik mengkritik Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee KIm Sai di majlis perasmian minggu silaturrahim ITM Cawangan Perlis masih terngiang-ngiang di telinga penulis walapun ia berlaku lebih 22 tahun lalu. Dan janganlah pula cadangan ini dijadikan alasan untuk para pelajar UiTM dihasut sekali lagi untuk berdemonstrasi.

Bila babi jadi bahan politik, Melayupun diperbodohkan

SEKONYONG-KONYONG babi mencuri perhatian ramai di Selangor. Belum pun sempat para Exco Kerajaan baru Pakatan Rakyat memanaskan kerusi-kerusi pejabat di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di Shah Alam, sekumpulan penyokong Umno daripada Sepang sudah datang menunjuk perasaan kerana babi.

Sebenarnya babi bukanlah isu baru di Sepang. Sejak puluhan tahun penduduk Melayu di Sepang sudah pun hidup bersama makhluk Allah itu. Mereka sudah terbiasa dengan segala macam masalah yang timbul daripada ternakan babi tidak terkawal di kawasan yang diwakili BN itu.

Bagaimanapun, pengumuman kerajaan negeri untuk meluluskan projek ternakan babi secara moden di situ tiba-tiba mengundang protes. Alasannya, projek itu kononnya bersaiz mega dan boleh memburukkan lagi pencemaran alam sekitar.

Para penduduk di Kampung Tanjung Sepat, Sepang misalnya mendakwa aktiviti ternakan babi yang tidak terkawal di era pemerintahan BN mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang teruk hingga menyebabkan penduduk hilang mata pencarian.

Kegiatan itu menyebabkan perairan sekitar kawasan tersebut tercemar teruk hingga menjejaskan aktiviti nelayan di samping kerosakan harta benda.

Utusan Online memetik kenyataan Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Kundang, Shahamid Sanusi, bahawa aktiviti membuat belacan yang menjadi salah satu punca mata pencarian utama penduduk sukar diteruskan kerana kekurangan udang geragau yang menjadi sumber utama dalam pembuatan belacan.

Semuanya kerana pencemaran najis babi.

Menurut Shahamid, selain Tanjung Sepat, pantai sekitar kampung Tumbuk, kampung Gadong, pekan Tanjung Sepat dan Batu Laut juga terjejas teruk akibat pencemaran sisa buangan najis babi.

Kekurangan udang geragau juga menyebabkan kilang memproses belacan bernilai RM100,000 yang dibina oleh Jabatan Perikanan kini terbiar.

Utusan Online turut memetik kenyataan Ketua Kampung Batu Laut, Bajuri Pakeh yang mendakwa banyak kawasan paya bakau di situ telah musnah akibat pencemaran.

Beliau juga bimbang kemusnahan akan menjadi lebih teruk kerana ramai pengusaha ladang babi kini sedang membesarkan kandang masing-masing.

“Jika tidak dikawal, saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi pada alam sekitar di kawasan ini malah sektor pelancongan termasuk homestay juga akan terjejas,” katanya.

Seorang penduduk, Noridah Endut memberitahu, tanah tepi laut seluas satu hektar milik keluarganya juga telah musnah akibat pencemaran.

“Dahulu kawasan itu pernah digunakan untuk menanam sayur-sayuran selain menjadi tempat berehat sekeluarga. Kini semua kehidupan telah mati dan pasir menjadi hitam,” katanya.

Ketua Unit Peladang Kampung Tanjung Layang, Saharudin Mohd. Said pula berkata, ramai penduduk di kawasan itu terpaksa mencari kerja di luar kampung untuk terus menyara keluarga masing-masing.

‘‘Tinggal di kampung pun tidak ada guna. Bukan boleh turun ke laut lagi,” katanya.

Itulah rungutan para penduduk di kawasan terbabit ekoran legasi penternakan babi tidak terkawal oleh bekas kerajaan BN Selangor.

Jadi apakah langkah penyelesaiannya? Adakah dengan hanya mengeluh dan menunjuk perasaan masalah itu boleh selesai? Apatah lagi ladang-ladang babi yang tumbuh bagai cendawan di daerah Sepang wujud sejak berpuluh tahun lalu di bawah 'perlindungan' kerajaan BN?

Pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri meluluskan cadangan membina ladang ternakan babi moden di Kampung Tumbuk, Kuala Langat perlu disambut baik penduduk jika mahu isu ini diselesaikan segera.

Kawasan yang dicadangkan juga terletak di kawasan Sepang yang telah pun menjadi tapak utama ladang babi.

Sehubungan itu, wakil-wakil penduduk sepatutnya mengambil inisiatif bertemu dan berbincang dengan kerajaan negeri untuk memberi cadangan dan input berguna bagi mempastikan usaha memusat dan menternak babi secara terkawal ini berhasil.

Para penduduk Melayu di kawasan terbabit perlu lebih berhati-hati dan tidak terikut-ikut dengan hasutan kumpulan desperado politik yang mahu menangguk di air keruh.

Ketika kumpulan desperado ini memerintah negeri, tiada sebarang langkah proaktif diambil bagi menyelesaikan masalah ternakan babi secara berleluasa ini. Malah ternakan babi secara tidak terkawal bukan sahaja berlaku di Sepang, Selangor, malah di Paya Mengkuang, Melaka dan Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan - negeri kubu kuat Umno dan BN.

Sikap tidak bertanggung jawab BN ini diserlahkan lagi oleh kenyataan bekas MB Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo.

Ketika menjawab penjelasan Abdul Khalid bahawa projek itu telah diluluskan oleh kerajaan BN negeri, dan kerajaan Pakatan Rakyat hanya meneruskan apa yang dirancang; Mohd Khir yang kini dilanda sindrom mudah lupa memberi kenyatan berikut:

“Kerajaan negeri dahulu hanya bersetuju meluluskan projek untuk skala kecil, itu pun belum ditetapkan lokasinya.

“Kalau penduduk setempat membantah atau penternak tidak bersetuju, kita akan batalkan projek itu,” katanya dengan muka selamba.

Begitulah tahap kredibiliti beliau di mata umum sama seperti penafiannya terhadap perjanjian yang dimeterai dengan Puncak Niaga sehari sebelum tarikh pilihan raya umum 2008!

Baru sebulan Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Babi bukan satu-satunya masalah warisan kerajaan BN negeri yang perlu diselesaikan kerajaan baru. Banyak isu-isu lain yang perlu diberi perhatian utama seperti masalah perumahan rakyat dan pembangunan tidak terkawal yang mencemar alam sekitar.

Tidak seperti bekas kerajaan BN negeri yang angkuh dan sombong bila berhadapan rakyat, kerajaan negeri Pakatan Rakyat pastinya lebih mesra dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Demonstrasi perlu bagi menghadapi kerajaan yang angkuh dan enggan menerima pandangan rakyat. Ia jalan penyelesaian akhir yang dibolehkan demokrasi walaupun dimomokkan sebagai 'haram' oleh BN dan media yang dikuasai mereka.


Tetapi sebelum berdemonstrasi dan terpengaruh dengan hasutan golongan desperado politik untuk derdemonstrasi, adalah lebih baik untuk para penduduk - rakyat Selangor - untuk berdialog dan menyatakan pandangan mereka kepada kerajaan rakyat yang memerintah.

Rasanya, Menteri Besar dan anggota Exco Kerajaan Negeri tidak keberatan untuk menerima kunjungan para pemimpin masyarakat Melayu Sepang bagi berbincang dan menyelsaikan masalah yang diwarisi daripada kerajaan BN negeri ini.

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...