Friday, September 5, 2008

Demo pelajar UiTM: Keprihatinan yang mengundang kecurigaan

Sebagai bekas pelajar UiTM, penulis sebenarnya terkejut apabila dimaklumkan seorang rakan bahawa 5000 pelajar UiTM Shah Alam telah mengadakan unjuk rasa dan berarak sejauh 3 kilometer ke Bangunan SUK, Selangor, 12 Ogos lalu semata-mata untuk membantah kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setelah menghabiskan sebahagian usia remaja di UiTM dan berkecimpung dalam gerakan pelajar di kampus, penulis memang masak dengan senario kampus UiTM termasuk mentaliti para pelajarnya.

Adalah sesuatu yang menghairankan apabila para pelajar UiTM yang begitu teruk dikongkong Jabatan Hal Ehwal Pelajar boleh begitu prihatin dengan isu semasa dan seterusnya berdemonstrasi dan berarak dalam jumlah yang ramai, sedangkan demonstrasi diharamkan pentadbir UiTM dan ada kalangan pelajarnya yang dihukum dan disingkirkan kerana terlibat dengan demonstrasi.

Kongkongan HEP terhadap aktiviti pelajar juga mengakibatkan pelajar institusi Bumiputera itu tidak peka dengan isu semasa yang melingkari mereka. Jika ada diskusi intelek atau ceramah ilmiah yang dianjurkan, kehadiran pelajar (jika tanpa paksa) boleh dikira dengan jari. Keadaan ini berubah jika program hiburan ataupun konsert diadakan apabila ribuan pelajar akan hadir dan menunggu sehingga program tamat.

Kita tidak menolak kemungkinan bahawa unjuk rasa ribuan pelajar UiTM ini digerakkan oleh 'orang atasan' institusi itu. Pastinya pelajar yang sudah sebati dibelenggu Akta dan ditanam budaya takut untuk menyuarakan pandangan tentang politik dan isu semasa tidak berani berarak di jalan raya tanpa perkenan dan galakan pentadbir UiTM sendiri.


Jika tidak, mana mungkin unjuk rasa diadakan di hampir seluruh kampus UiTM seluruh negara termasuk cawangan Permatang Pauh (Pulau Pinang), Seri Iskandar (Perak), Arau (Perlis), Bandar Jengka (Pahang), Lendu (Melaka), Sungai Petani (Kedah), Kuala Terengganu (Terengganu) dan cawangan Machang (Kelantan).

'Histeria' yang melanda ini berpunca daripada cadangan Abdul Khalid agar UiTM membuka 10 peratus pengambilan kepada pelajar bukan bumiputera. Langkah ini, jelas beliau penting untuk meningkatkan daya saing pelajar dan mutu universiti awam bumiputera itu.

Cadangan Abdul Khalid itu bukanlah sesuatu yang baru. Seperti kata Profesor Emiritus Khoo Kay Kim dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, cadangan pengambilan pelajar bukan Bumiputera oleh UiTM ini pernah dicadangkan kerajaan BN beberapa tahun lalu. Malah UiTM sendiri, kata Khoo telah pun melaksanakan cadangan itu tetapi tidak mendapat sambutan pelajar bukan bumiputera.

Mustahil bagi Naib Canselor UiTM, Dato' Seri Ibrahim Abu Shah tidak mengetahuinya ataupun sengaja menyembunyikan fakta itu untuk tujuan yang beliau sahaja yang tahu.

Manipulasi isu ini juga sebenarnya memalukan warga UiTM keseluruhannya - pelajar dan bekas pelajar. Kenapa? Kerana Abdul Khalid bukanlah orang yang mempunyai autoriti terhadap UiTM. Memang benar kampus induk UiTM terletak di Shah Alam, tetapi institusi itu berada di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi dan bukannya kerajaan negeri Selangor.

Apa jua kenyataan yang keluar daripada mulut Abdul Khalid tentang UiTM tidak punyai sebarang kesan kerana beliau bukan seorang yang berautoriti.

Pandangan Abdul Khalid juga sepatutnya dibahaskan secara akademik kerana itulah budaya yang harus dilaksanakan oleh sebuah IPTA; bukannya mendorong warganya beremosi dan bersentimen tanpa sebab yang wajar.

Membela hak Melayu? Tidakkah Ibrahim Abu Shah menyedari bahawa banyak isu lain berhubung hak Melayu yang sepatutnya diperjuangkan golongan 'nasionalis totok' seperti beliau. Bagaimana dengan dasar kerajaan BN yang membuka 10 peratus pengambilan Maktab Rendah Sains MARA kepada bukan Bumiputera? Bagaimana pula kuota biasiswa 55-45 bagi pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

Jika Ibrahim benar-benar merasakan Abdul Khalid perlu memohon maaf; beliau terlebih dahulu perlu melakukan perkara serupa kerana telah pun melaksanakan idea Abdul Khalid beberapa tahun lalu seperti dinyatakan Prof Khoo Kay Kim.

Ibrahim juga dilapor menyifatkan Abdul Khalid sebagai cetek pemikiran kerana sukar menerima fakta mengenai pelbagai kejayaan yang dicapai UiTM sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Tidak sedarkah Ibrahim bahawa beliau juga berfikiran cetek kerana mendakwa tidak melihat sebarang perubahan yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor sepanjang 100 hari memerintah negeri seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau perlu menyedari bahawa walau bagaimana 'hebatnya' pencapaian UiTM, institusi itu masih tidak termasuk dalam ranking utama universiti dunia oleh mana-mana badan penarafan antarabangsa. Sehubungan itu, masih banyak ruang untuk memperbaiki UiTM sebagai universiti khusus Bumiputera. Teguran Abdul Khalid perlu dilihat sebagai cabaran dan bukannya penghinaan oleh warga UiTM.


Memang Ibrahim antara peneraju UiTM yang paling menonjol berpolitik. Tidak seperti Pengarah dan Naib Canselor ITM dan UiTM sebelumnya, Ibrahim lebih suka mengeluarkan pandangan memihak dalam sebarang isu. Sentimennya kepada parti-parti pembangkang termasuk PAS amat tebal berbanding sifat lunaknya kepada dasar-dasar BN.

Oleh kerana itulah, beliau tidak menentang keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk membuka UiTM kepada pelajar-pelajar bukan Bumiputera tetapi melompat setinggi langit apabila cadangan serupa dibuat Tan Sri Abdul Khalid.

UiTM sebenarnya memerlukan peneraju baru untuk terus unggul sebagai institusi melatih profesional Bumiputera. Individu seperti Almarhum Prof Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid perlu dicari untuk melonjakkan imej dan kredibiliti UiTM di peringkat nasional dan antarabangsa. Almarhum ialah seorang nasionalis tulen yang benar-benar memperjuangkan kepentingan Melayu tanpa menghiraukan batasan politik. Para pelajar ITM era 80-an dapat merasakan semangat kental Pak Nik dalam mengangkat martabat ITM sebagai institusi unggul Melayu-Bumiputera.

Di majlis-majlis perhimpunan pelajar ITM, Pak Nik tidak segan silu mengkritik sebahagian ahli-ahli politik Melayu yang dianggapnya mengabaikan kepentingan bangsa kerana asyik bertelagah sesama sendiri, dan sanggup berdiri gagah menyanggah sesiapa saja termasuk pemimpin parti komponen BN yang mengancam kepentingan dan hak Bumiputera.

"MCA agaknya nak orang Melayu semua mampus baru mereka puas hati," kata-kata Pak Nik mengkritik Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee KIm Sai di majlis perasmian minggu silaturrahim ITM Cawangan Perlis masih terngiang-ngiang di telinga penulis walapun ia berlaku lebih 22 tahun lalu. Dan janganlah pula cadangan ini dijadikan alasan untuk para pelajar UiTM dihasut sekali lagi untuk berdemonstrasi.

No comments:

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...