Friday, September 12, 2008

Sikap double standard KDN


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilapor telah menghantar surat tunjuk sebab kepada tiga akhbar ekoran laporan mereka berhubung perkembangan politik semasa.

Tiga akhbar tersebut ialah The Sun, Sin Chew Daily dan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan.

Memang KDN mempunyai hak untuk memberikan ingatan kepada mana-mana akhbar agar tidak melanggar syarat-syarat yang terkandung dalam permit penerbitan.

Bagaimanapun sikap double standard KDN yang lebih gemar memberi amaran dan tekanan kepada akhbar-akhbar milik parti pembangkang dan akhbar-akhbar bebas berbanding akhbar milik Umno-BN perlu dilihat serius.

Merujuk kepada perkembangan semasa tanah air, kita melihat bagaimana akhbar-akhbar milik Kumpulan Utusan dan New Straits Times yang dikuasai Umno turut memainkan sentimen perkauman dan agama dalam laporan-laporan mereka.
Paling menonjol akhbar Utusan Malaysia yang dibelakangi Umno. Sebagai contoh, akhbar tersebut pada 10 September lalu menerbitkan artikel oleh seorang kolumnisnya yang memfitnah anggota exco kerajaan negeri Selangor berhubung isu azan subuh. Tulisan yang tidak menyebut nama exco berkenaan benar-benar menyentuh sensitiviti agama dan tidak wajar diterbitkan oleh sebuah akhbar nasional.

Exco berkenaan, Teresa Kok telah menuntut Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka atau menghadapi tindakan undang-undang. Bagaimanapun, tanpa menghiraukan permintaan Teresa, Utusan Malaysia menyiarkan pula berita berhubung tindakan Teresa mencadangkan papan tanda jalan bertulisan jawi di Bukit Bintang dan Seputeh ditukar kepada papan tanda bertulisan Inggeris, Cina dan India.

Mengapa Utusan Malaysia diberi kekebalan dalam isu bercorak perkauman ini boleh difahami umum. Selain menjadi lidah tidak rasmi Umno, Utusan Malaysia juga adalah penyambung hayat Umno khususnya bagi pembaca-pembaca Melayu di luar-luar bandar.

Dalam keadaan pengaruh Umno merosot teruk di kawasan-kawasan bandar, parti itu tidak mempunyai jalan lain selain mengukuhkan penguasaannya di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Dan antara kaedah yang paling berkesan adalah mengocak sentimen Melayu terhadap perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Satu lagi contoh klasik strategi kempen Umno ini adalah semasa kempen PRU 1990. Waktu itu BN berhadapan dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat yang kedua-duanya dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah.

Kejayaan Kuli menarik sokongan PBS meletakkan BN dalam keadaan terhimpit. Maka dirangka satu kempen untuk memburuk-burukkan peribadi Kuli. Saat keemasan itu tiba apabila Kuli disarungkan sigah Kadazan oleh Pairin Kitingan. Sigah yang mempunyai lambang salib itu dijadikan modal untuk menunjukkan peribadi sebenar Kuli yang kononnya sanggup menggadaikan agama untuk kepentingan politik.

Semua media arus perdana - cetak dan elektronik - menyiarkan pembohongan ini. Hasilnya Angkatan gagal merebut pengaruh pengundi Melayu kecuali di Kelantan. Dan tiada satu pun media milik BN yang dikenakan tindakan oleh KDN kerana memainkan sentimen agama.

Sejarah berulang lagi, dan kita sekali lagi melihat bagaimana BN khususnya Umno mengocak sentimen kaum dan agama untuk terus kekal memerintah negara.

No comments:

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...