Wednesday, April 29, 2009

Kerja bodoh adalah memberi senjata kepada musuh

RAMAI yang terkedu dengan 'kelantangan' Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan yang juga AJK Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menyerang 'pembantu ayahanda’ dalam blog beliau.

Setakat ini usaha pemberita Harakah Kelantan untuk mendapatkan penjelasan beliau masih gagal. Malahan telefonnya tidak diangkat.

Sekonyong-konyong kenyataan beliau bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dalam tulisannya itu disiarkan oleh Utusan Malaysia - akhbar yang selama ini sering memutarbelitkan dan mencemarkan reputasi ayahandanya.

Nik Abdul dilaporkan Utusan Malaysia sebagai berkata:

"Mereka (pembantu politik) mungkin berpuluh-puluh, mereka adalah benar dan betul kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.

"Pekerjaan bodoh hanyalah satu dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Kerja bodoh bukan menolak kerajaan perpaduan, kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud tidak benar, dengan tujuan yang tidak benar di sisi agama.

"Mereka ini pejuang nafsu, saya tidak mahu katakan nafsu politik atau wang tetapi apabila disebut nafsu ia bertentangan dengan agama."

Begitulah bersemangatnya Nik Abduh dalam membodohkan rakan-rakan sejemaahnya.

Diberitakan juga, ayahanda Nik Abdul yang sedang menunaikan umrah telah menelefon dari Mekah dan memintanya memberi penjelasan lanjut berhubung tulisannya itu bagi mengelakkan orang ramai terkeliru.

Kata Nik Abduh, biarpun ramai yang marah malah mengecamnya kerana tulisan tersebut, beliau terpaksa melakukannya kerana bimbang ‘pembantu-pembantu’ terbabit mengancam keutuhan parti tersebut yang dipimpin oleh ulama.

“Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan antara ulama. Inilah kerja bodoh! Saya maksudkan kerja seperti ini dan tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.

“Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua berasa tidak tenteram. Saya menyerang pada puncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya, anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan,” kata Nik Abduh.

Tidak diketahui setakat mana tulisan Nik Abduh itu dapat 'menyatukan' dan 'menenangkan' PAS. Apa yang jelas, ayahandanya yang sedang menunaikan umrah di Tanah Suci juga tidak tenang dengan pergolakan yang dicetuskan oleh Nik Abduh.

Memang enak untuk melabelkan orang lain sebagai bodoh tetapi sebenarnya kebodohan tahap tertinggi adalah memberi senjata kepada musuh!

Tuesday, April 28, 2009

Adun Umno ada masalah kewangan? Bayar ajalah...

Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang menghadapi masalah kewangan dilaporkan Bernama tidak akan meletak jawatan. Bernama memetik kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Kata Shafie desas-desus kononnya Syed Sobri, yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap, akan meletak jawatan kerana masalah yang dihadapinya mengganggu prstasinya sebagai wakil rakyat adalah tidak benar.

"Memang Syed Sobri menemui saya di Kuala Lumpur pada Ahad lepas (26 April) dan kami telah berbincang beberapa perkara yang dihadapinya. Selaku ketua perhubungan yang baru, saya memberi nasihat dan beliau menerimanya dengan baik dan berjanji akan terus berkhidmat kepada rakyat," kata Mohd Shafie.

Shafie bagaimanapun enggan menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Kuala Nerang itu.

Pada 3 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Alor Setar mengisytiharkan Syed Sobri muflis selepas gagal menjelaskan hutang lebih RM150,000.

Pelik ya... muflis pun boleh terus jadi wakil rakyat. Sepatutnya dah hilang kelayakan. SPR pun tak pula sibuk-sibuk nak siasat.

Apa nak dihairankan... kalau yang dihadapi tu masalah kewangan dan setakat RM150,000 saja, bila-bila masa Umno boleh jelaskan.

Tentu ada yang masih ingat insiden pilihan raya kecil Dun Pantai Merdeka pada 1990, calon BN Shuib Lazim telah diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah. Bantahan dibuat oleh calon PAS, Dato' Muslim Othman diketepikan begitu sahaja oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Keesokan harinya Shuib pergi ke mahkamah tinggi Kuala Lumpur untuk jelaskan hutangnya. Selesai begitu sahaja dan Shuib terus jadi wakil rakyat.

Moral ceritanya... jika anda ahli Umno, buatlah sesuka hatimu...

Monday, April 27, 2009

SPR oh SPR!

SEJAK punyai pengerusi baru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih gagal melepaskan dirinya daripada kontroversi.

Jika dahulu, mantan Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman disifatkan sebagai seorang yang 'robust' dan 'outspoken' sehingga kadang-kadang merimaskan BN apatah lagi pakatan pembangkang, kini pengerusi barunya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dilihat begitu "memberi muka" pada BN.

Lihat sahajalah pemilihan tarikh PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai yang dibuat selepas Umno selesai bersidang.

SPR juga dikatakan 'terpaksa' menunggu mesyuarat pertama Majlis Tertinggi Umno (selepas perhimpunan agung 2008 parti itu) sebelum menentukan tarikh PRK Penanti.

Terkini SPR mengumumkan keputusan melarang kewujudan pondok panas dan peraih undi yang akan bermula pada PRK Penanti 31 Mei ini.

Menurut Ahli MPT KeADILan Saifuddin Ismail Nasution, SPR nyata tidak konsisten dengan peraturan yang digubalnya sendiri.

"Pada tahun 2004, sebelum pilihan raya, SPR tidak membenarkan pondok panas tetapi pada pagi hari mengundi, BN telah mendirikan pondok panas sedangkan kita (Barisan Alternatif) patuh dengan peraturan itu.

"Bila kita tanya SPR, mereka kata peraturan itu diubah pada pagi pilihan raya itu," katanya kepada mStar Online.

Ada juga maklumat yang mengatakan keputusan SPR membatalkan peraturan-peraturan baru yang dibuat sebelum PRU2004 berpunca daripada kegagalan menggazetkannya di Parlimen.

Kegagalan SPR ini diketahui jentera PR BN dan mereka menggunakan kesempatan itu untuk terus membina pondok panas dan merayu undi pada pagi hari pembuangan undi.

Seperkara lagi yang menarik untuk diulas adalah mengapa selama ini SPR membenarkan aktiviti merayu undi sedangkan Akta Pilihan Raya secara jelas melarang sebarang kempen diadakan selepas jam 12 tengah malam sebelum hari pengundian.

Merayu undi bukan kempenkah? Pening... pening...

Adalah munasabah untuk SPR menguatkuasakan tempoh bertenang, sekurang-kurangnya sehari sebelum hari pembuangan undi. Tempoh bertenang ini penting bagi membolehkan pengundi berfikir dan membuat keputusan parti manakah yang patut mereka undi pada hari pengundian.

Bukan itu sahaja, media massa terutamanya TV patut 'diharamkan' berkempen dalam tempoh bertenang itu.

Bukankah kaedah ini lebih aman dan bertamadun?

Sunday, April 26, 2009

Impian Shafie Apdal, menteri yang kerap gagal

Biarpun baru dilantik mempengerusikan Perhubungan Umno Kedah, Naib Presiden Umno yang berasal dari Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah pun berangan nak menawan negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Memanglah bagus untuk bercita-cita tinggi, tapi Shafie perlu melihat 'track record'nya sepanjang menjawat Menteri kabinet sebelum bercita-cita tinggi.

Khabarnya isteri Shafie orang Kedah. Tapi itu bukannya faktor utama yang membolehkan beliau memahami dan hadam budaya politik Kedah. Paling mudah, mampukah Shafie bertutur dialek Kedah jika slanga Sabah beliau masih tebal?

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu juga berkata akan menggunakan pengalamannya ketika menjadi pembangkang di Sabah bagi merampas kembali Kedah yang kini dikuasai PAS.

"Pengalaman semasa BN menjadi pembangkang di Sabah akan saya bawa ke Kedah. Kaedah yang sama sehingga Sabah kembali kepada BN bakal diterapkan.

"Jika di Sabah BN berjaya, saya yakin Kedah pun tidak mustahil untuk kita rampas kembali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, 26 April lalu.

Tak payah nak bercakap besarlah Shafie... Kaedah yang digunakan BN untuk merampas semula Sabah daripada PBS sukar dilaksanakan di Kedah. PBS tumbang di Sabah bukannya disebabkan oleh kepintaran BN khususnya Shafie dalam berpolitik. Ianya berpunca daripada pendaftaran ratusan ribu pendatang asing Sabah yang diberikan kad pengenalan segera dan didaftarkan sebagai pemilih.

Tanpa pendatang asing Filipina, Indonesia dan Pakistan di Sabah, BN khususnya Umno tidak akan berkuasa di Sabah.

Tak tahulah pula jika Shafie akan menggunakan tektik yang serupa untuk mendaftarkan pendatang asing Thailand, Myanmar dan Indonesia sebagai warganegara, diberikan kad pengenalan dan kemudian mendaftar sebagai pemilih di Kedah.

Kedah bukan macam Sabah Shafie oii... Setiap pengundi di setiap lokaliti dikenali oleh petugas pilihan raya PAS.

Jaga-jaga Senator Yusof Husin oii (Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri)... Tak mustahil ramai buruh Thai, Myanmar dan Indon di Kedah yang mula belajar bercakap loghat Utara. Mana tidaknya, Shafie nak bagi kad pengenalan baru!

Selepas gagal melindungi hak pengguna dan rakyat ketika menjawat Menteri Hal Ehwal Pengguna, Shafie kini menjawat Menteri yang menjaga hal ehwal luar bandar pula.

Janganlah kerana terlalu ghairah berpolitik, Shafie terlupa akan tugas asasinya untuk memajukan wilayah luar bandar.

Apa yang jelas orang Sabah lebih memerlukan beliau daripada Kedah!

Friday, April 24, 2009

KM Melaka tengok video lucah?

Keghairahan mempersendakan Pakatan Rakyat mengundang padah apabila Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam secara tidak sengaja mengakui menonton video lucah.

Ali dilaporkan bertanya kepada Adun DAP Kota Laksamana, Betty Chew Gek Cheng sama ada pernah menonton video membabitkan Exco Selangor, Elizabeth Wong dengan bekas teman lelakinya pada persidangan Dun Melaka.

"Saya nak tanya Betty betul ke isu Elizabeth tidur dengan lelaki Melayu sedangkan mereka belum berkahwin, Yang Berhormat ada tengok tak video itu," kata Ali Rustam.

Betty menjelaskan bahawa beliau tidak tahu mengenainya sebab dia tidak tengok video tersebut.

Speaker Dun, Dato' Othman Muhamad juga turut menyampuk dengan mengatakan bahawa Betty ada melihat video itu tetapi menafikannya.

Ini membuatkan Ketua Pembangkang, Goh Leong San bangun mencelah dan meminta Ketua Polis menyiasat Ali dan Othman kerana menonton video lucah dan melakukan gangguan seksual kepada wanita yang berada di dalam dewan itu.

Bagi Goh, Ali Rustam telah melakukan gangguan seksual dan patut meminta maaf serta menarik balik kata-katanya.

"Speaker tak boleh bela Ketua Menteri sebab adakah kita balik rumah tanya isteri kita ada tonton video lucah ataupun tidak.

"Ini adalah gangguan kepada Yang Berhormat wanita, Bentara wanita dan juga semua wanita yang berada di dalam dewan ini," katanya.

Ali kemudian dilaporkan cuba mengaitkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tentang hukum orang yang belum berkahwin tetapi tidur bersama.

Betty sekali lagi bangun mempersoalkan bagaimana Ketua Menteri boleh tahu mereka tidur bersama sedangkan orang lain semua tak tahu, ini bermakna Ali mengaku melihat video lucah itu.

Suasana kembali terkawal apabila Ali Rustam merasakan ucapan lucahnya itu memakan diri lalu berhenti memperkatakan isu Elizabeth dan meneruskan ucapannya.

Begitulah rendahnya IQ dan pemahaman agama Ketua Perhubungan Umno Melaka apabila tidak dapat membezakan hukum seorang yang mukallaf dengan tidak.


Elizabeth bukanlah seorang Islam sehingga mahu disabitkan Ali Rustam dengan jenayah syariah. Banyak lagi kes jenayah syariah yang dilakukan pemimpin Wanita dan Puteri Umno tetapi tidak dibangkitkan Ali sedangkan mereka Melayu dan beragama Islam.

Bodoh sangatkah rakyat Melaka hingga sanggup berketuakan Ali Rustam?

Thursday, April 23, 2009

Umno yang tak pernah insaf

Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim dilapor mempertahankan kenyataannya yang bersetuju Ketua UMNO bahagian perlu terlibat dalam proses meluluskan permohonan lesen kontraktor kelas F.

Katanya, penglibatan itu bertujuan membolehkan mereka mengetahui pihak yang bakal melaksanakan sesuatu projek di kawasan masing-masing.

Azhar (BN-Penaga) menegaskan, beliau tidak mempunyai niat untuk menyusahkan sesiapa, malah pihaknya juga tidak mengamalkan rasuah seperti didakwa wakil rakyat pakatan pembangkang.

"Ketua UMNO bahagian juga perlu terlibat memeriksa kontraktor Kelas F ini sama ada mereka betul-betul mampu melaksanakan projek kerana kita tidak mahu projek yang diberi akan 'dialibabakan'," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi penggulungan oleh Exco Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan negeri, Wong Hon Wai pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Begitulah Umno... tak pernah serik dengan perangai buruk mereka!

Apakah hak Umno untuk campurtangan dalam urusan tender kerajaan selain daripada memastikan kontrak-kontrak tertentu tidak jatuh ke tangan 'penyokong pembangkang'.

Bukan menjadi rahsia apabila pemohon-pemohon tender kerajaan diminta menyertakan salinan sijil keahlian Umno ketika menyerahkan borang permohonan tender.

Malah senarai projek kerajaan yang sepatutnya sampai ke Pejabat Daerah diperolehi ketua-ketua bahagian Umno terlebih dahulu. Lebih melucukan setiap projek sudah diketahui siapa 'tuan punya' dan kepada siapa bakal diserahkan.

Projek Ali Baba? Azhar lebih tahu berapa banyak projek kerajaan yang sampai ke tangan beliau dan para pemimpin Umno negeri tetapi telah dialibabakan...

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...