Friday, September 12, 2008

Sikap double standard KDN


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilapor telah menghantar surat tunjuk sebab kepada tiga akhbar ekoran laporan mereka berhubung perkembangan politik semasa.

Tiga akhbar tersebut ialah The Sun, Sin Chew Daily dan akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan.

Memang KDN mempunyai hak untuk memberikan ingatan kepada mana-mana akhbar agar tidak melanggar syarat-syarat yang terkandung dalam permit penerbitan.

Bagaimanapun sikap double standard KDN yang lebih gemar memberi amaran dan tekanan kepada akhbar-akhbar milik parti pembangkang dan akhbar-akhbar bebas berbanding akhbar milik Umno-BN perlu dilihat serius.

Merujuk kepada perkembangan semasa tanah air, kita melihat bagaimana akhbar-akhbar milik Kumpulan Utusan dan New Straits Times yang dikuasai Umno turut memainkan sentimen perkauman dan agama dalam laporan-laporan mereka.
Paling menonjol akhbar Utusan Malaysia yang dibelakangi Umno. Sebagai contoh, akhbar tersebut pada 10 September lalu menerbitkan artikel oleh seorang kolumnisnya yang memfitnah anggota exco kerajaan negeri Selangor berhubung isu azan subuh. Tulisan yang tidak menyebut nama exco berkenaan benar-benar menyentuh sensitiviti agama dan tidak wajar diterbitkan oleh sebuah akhbar nasional.

Exco berkenaan, Teresa Kok telah menuntut Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka atau menghadapi tindakan undang-undang. Bagaimanapun, tanpa menghiraukan permintaan Teresa, Utusan Malaysia menyiarkan pula berita berhubung tindakan Teresa mencadangkan papan tanda jalan bertulisan jawi di Bukit Bintang dan Seputeh ditukar kepada papan tanda bertulisan Inggeris, Cina dan India.

Mengapa Utusan Malaysia diberi kekebalan dalam isu bercorak perkauman ini boleh difahami umum. Selain menjadi lidah tidak rasmi Umno, Utusan Malaysia juga adalah penyambung hayat Umno khususnya bagi pembaca-pembaca Melayu di luar-luar bandar.

Dalam keadaan pengaruh Umno merosot teruk di kawasan-kawasan bandar, parti itu tidak mempunyai jalan lain selain mengukuhkan penguasaannya di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Dan antara kaedah yang paling berkesan adalah mengocak sentimen Melayu terhadap perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Satu lagi contoh klasik strategi kempen Umno ini adalah semasa kempen PRU 1990. Waktu itu BN berhadapan dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat yang kedua-duanya dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah.

Kejayaan Kuli menarik sokongan PBS meletakkan BN dalam keadaan terhimpit. Maka dirangka satu kempen untuk memburuk-burukkan peribadi Kuli. Saat keemasan itu tiba apabila Kuli disarungkan sigah Kadazan oleh Pairin Kitingan. Sigah yang mempunyai lambang salib itu dijadikan modal untuk menunjukkan peribadi sebenar Kuli yang kononnya sanggup menggadaikan agama untuk kepentingan politik.

Semua media arus perdana - cetak dan elektronik - menyiarkan pembohongan ini. Hasilnya Angkatan gagal merebut pengaruh pengundi Melayu kecuali di Kelantan. Dan tiada satu pun media milik BN yang dikenakan tindakan oleh KDN kerana memainkan sentimen agama.

Sejarah berulang lagi, dan kita sekali lagi melihat bagaimana BN khususnya Umno mengocak sentimen kaum dan agama untuk terus kekal memerintah negara.

Friday, September 5, 2008

Lagu rasmi PAS: Hampir menitis air mataku


Tanggal 13 hingga 17 Ogos lalu, sekali lagi PAS mencipta sejarah. Setelah sekian lama berkelana, PAS kembali ke tanah kelahirannya, Perak Darul Ridzuan.


Muktamar Tahunan PAS ke-54 berlangsung di Stadium Indera Mulia Ipoh dengan segala kemeriahan. Walaupun sudah beberapa kali PAS bermuktamar di Perak, muktamar kali ini mencipta kelainan kerana ia diadakan di saat PAS diberi kepercayaan oleh sahabat-sahabatnya dalam Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.


Walaupun PAS cuma menguasai enam daripada 32 kerusi Dun dimenangi Pakatan Rakyat dalam PRU12, Mac lalu - Perlembagaan negeri mensyaratkan calon Menteri Besar mestilah seorang Melayu Islam. Sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP (yang memenangi 18 kerusi Dun) akur akan realiti ini dan Adun PAS, Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dipilih sebagai Menteri Besar.


Tiada siapa menyangka PAS akan menerajui pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak. Tetapi realiti politik menunjukkan tiada yang mustahil.



"Mereka merancang dan Allah merancang. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik
perancang." (Mafhum al-Qur'an)

Tatkala lagu rasmi PAS berkumandang memecah ruang udara Stadium Indera Mulia, pagi 15 Ogos lalu, air mataku seperti tidak tertahan akan kesyahduan melodi dan liriknya. Inilah kesempatan sulung bagiku menyanyikan lagu itu walaupun hampir dua dekad bersama parti Islam - parti yang banyak mengajarku rempah ratus kehidupan.

Selamatlah parti Islam melangkah
membimbing ummah ke medan siasah
berpedomankan al-Quran dan sunnah
suburlah hidupnya dan pasti berbuah...

Demo pelajar UiTM: Keprihatinan yang mengundang kecurigaan

Sebagai bekas pelajar UiTM, penulis sebenarnya terkejut apabila dimaklumkan seorang rakan bahawa 5000 pelajar UiTM Shah Alam telah mengadakan unjuk rasa dan berarak sejauh 3 kilometer ke Bangunan SUK, Selangor, 12 Ogos lalu semata-mata untuk membantah kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setelah menghabiskan sebahagian usia remaja di UiTM dan berkecimpung dalam gerakan pelajar di kampus, penulis memang masak dengan senario kampus UiTM termasuk mentaliti para pelajarnya.

Adalah sesuatu yang menghairankan apabila para pelajar UiTM yang begitu teruk dikongkong Jabatan Hal Ehwal Pelajar boleh begitu prihatin dengan isu semasa dan seterusnya berdemonstrasi dan berarak dalam jumlah yang ramai, sedangkan demonstrasi diharamkan pentadbir UiTM dan ada kalangan pelajarnya yang dihukum dan disingkirkan kerana terlibat dengan demonstrasi.

Kongkongan HEP terhadap aktiviti pelajar juga mengakibatkan pelajar institusi Bumiputera itu tidak peka dengan isu semasa yang melingkari mereka. Jika ada diskusi intelek atau ceramah ilmiah yang dianjurkan, kehadiran pelajar (jika tanpa paksa) boleh dikira dengan jari. Keadaan ini berubah jika program hiburan ataupun konsert diadakan apabila ribuan pelajar akan hadir dan menunggu sehingga program tamat.

Kita tidak menolak kemungkinan bahawa unjuk rasa ribuan pelajar UiTM ini digerakkan oleh 'orang atasan' institusi itu. Pastinya pelajar yang sudah sebati dibelenggu Akta dan ditanam budaya takut untuk menyuarakan pandangan tentang politik dan isu semasa tidak berani berarak di jalan raya tanpa perkenan dan galakan pentadbir UiTM sendiri.


Jika tidak, mana mungkin unjuk rasa diadakan di hampir seluruh kampus UiTM seluruh negara termasuk cawangan Permatang Pauh (Pulau Pinang), Seri Iskandar (Perak), Arau (Perlis), Bandar Jengka (Pahang), Lendu (Melaka), Sungai Petani (Kedah), Kuala Terengganu (Terengganu) dan cawangan Machang (Kelantan).

'Histeria' yang melanda ini berpunca daripada cadangan Abdul Khalid agar UiTM membuka 10 peratus pengambilan kepada pelajar bukan bumiputera. Langkah ini, jelas beliau penting untuk meningkatkan daya saing pelajar dan mutu universiti awam bumiputera itu.

Cadangan Abdul Khalid itu bukanlah sesuatu yang baru. Seperti kata Profesor Emiritus Khoo Kay Kim dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, cadangan pengambilan pelajar bukan Bumiputera oleh UiTM ini pernah dicadangkan kerajaan BN beberapa tahun lalu. Malah UiTM sendiri, kata Khoo telah pun melaksanakan cadangan itu tetapi tidak mendapat sambutan pelajar bukan bumiputera.

Mustahil bagi Naib Canselor UiTM, Dato' Seri Ibrahim Abu Shah tidak mengetahuinya ataupun sengaja menyembunyikan fakta itu untuk tujuan yang beliau sahaja yang tahu.

Manipulasi isu ini juga sebenarnya memalukan warga UiTM keseluruhannya - pelajar dan bekas pelajar. Kenapa? Kerana Abdul Khalid bukanlah orang yang mempunyai autoriti terhadap UiTM. Memang benar kampus induk UiTM terletak di Shah Alam, tetapi institusi itu berada di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi dan bukannya kerajaan negeri Selangor.

Apa jua kenyataan yang keluar daripada mulut Abdul Khalid tentang UiTM tidak punyai sebarang kesan kerana beliau bukan seorang yang berautoriti.

Pandangan Abdul Khalid juga sepatutnya dibahaskan secara akademik kerana itulah budaya yang harus dilaksanakan oleh sebuah IPTA; bukannya mendorong warganya beremosi dan bersentimen tanpa sebab yang wajar.

Membela hak Melayu? Tidakkah Ibrahim Abu Shah menyedari bahawa banyak isu lain berhubung hak Melayu yang sepatutnya diperjuangkan golongan 'nasionalis totok' seperti beliau. Bagaimana dengan dasar kerajaan BN yang membuka 10 peratus pengambilan Maktab Rendah Sains MARA kepada bukan Bumiputera? Bagaimana pula kuota biasiswa 55-45 bagi pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

Jika Ibrahim benar-benar merasakan Abdul Khalid perlu memohon maaf; beliau terlebih dahulu perlu melakukan perkara serupa kerana telah pun melaksanakan idea Abdul Khalid beberapa tahun lalu seperti dinyatakan Prof Khoo Kay Kim.

Ibrahim juga dilapor menyifatkan Abdul Khalid sebagai cetek pemikiran kerana sukar menerima fakta mengenai pelbagai kejayaan yang dicapai UiTM sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Tidak sedarkah Ibrahim bahawa beliau juga berfikiran cetek kerana mendakwa tidak melihat sebarang perubahan yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor sepanjang 100 hari memerintah negeri seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau perlu menyedari bahawa walau bagaimana 'hebatnya' pencapaian UiTM, institusi itu masih tidak termasuk dalam ranking utama universiti dunia oleh mana-mana badan penarafan antarabangsa. Sehubungan itu, masih banyak ruang untuk memperbaiki UiTM sebagai universiti khusus Bumiputera. Teguran Abdul Khalid perlu dilihat sebagai cabaran dan bukannya penghinaan oleh warga UiTM.


Memang Ibrahim antara peneraju UiTM yang paling menonjol berpolitik. Tidak seperti Pengarah dan Naib Canselor ITM dan UiTM sebelumnya, Ibrahim lebih suka mengeluarkan pandangan memihak dalam sebarang isu. Sentimennya kepada parti-parti pembangkang termasuk PAS amat tebal berbanding sifat lunaknya kepada dasar-dasar BN.

Oleh kerana itulah, beliau tidak menentang keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk membuka UiTM kepada pelajar-pelajar bukan Bumiputera tetapi melompat setinggi langit apabila cadangan serupa dibuat Tan Sri Abdul Khalid.

UiTM sebenarnya memerlukan peneraju baru untuk terus unggul sebagai institusi melatih profesional Bumiputera. Individu seperti Almarhum Prof Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid perlu dicari untuk melonjakkan imej dan kredibiliti UiTM di peringkat nasional dan antarabangsa. Almarhum ialah seorang nasionalis tulen yang benar-benar memperjuangkan kepentingan Melayu tanpa menghiraukan batasan politik. Para pelajar ITM era 80-an dapat merasakan semangat kental Pak Nik dalam mengangkat martabat ITM sebagai institusi unggul Melayu-Bumiputera.

Di majlis-majlis perhimpunan pelajar ITM, Pak Nik tidak segan silu mengkritik sebahagian ahli-ahli politik Melayu yang dianggapnya mengabaikan kepentingan bangsa kerana asyik bertelagah sesama sendiri, dan sanggup berdiri gagah menyanggah sesiapa saja termasuk pemimpin parti komponen BN yang mengancam kepentingan dan hak Bumiputera.

"MCA agaknya nak orang Melayu semua mampus baru mereka puas hati," kata-kata Pak Nik mengkritik Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee KIm Sai di majlis perasmian minggu silaturrahim ITM Cawangan Perlis masih terngiang-ngiang di telinga penulis walapun ia berlaku lebih 22 tahun lalu. Dan janganlah pula cadangan ini dijadikan alasan untuk para pelajar UiTM dihasut sekali lagi untuk berdemonstrasi.

Bila babi jadi bahan politik, Melayupun diperbodohkan

SEKONYONG-KONYONG babi mencuri perhatian ramai di Selangor. Belum pun sempat para Exco Kerajaan baru Pakatan Rakyat memanaskan kerusi-kerusi pejabat di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di Shah Alam, sekumpulan penyokong Umno daripada Sepang sudah datang menunjuk perasaan kerana babi.

Sebenarnya babi bukanlah isu baru di Sepang. Sejak puluhan tahun penduduk Melayu di Sepang sudah pun hidup bersama makhluk Allah itu. Mereka sudah terbiasa dengan segala macam masalah yang timbul daripada ternakan babi tidak terkawal di kawasan yang diwakili BN itu.

Bagaimanapun, pengumuman kerajaan negeri untuk meluluskan projek ternakan babi secara moden di situ tiba-tiba mengundang protes. Alasannya, projek itu kononnya bersaiz mega dan boleh memburukkan lagi pencemaran alam sekitar.

Para penduduk di Kampung Tanjung Sepat, Sepang misalnya mendakwa aktiviti ternakan babi yang tidak terkawal di era pemerintahan BN mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang teruk hingga menyebabkan penduduk hilang mata pencarian.

Kegiatan itu menyebabkan perairan sekitar kawasan tersebut tercemar teruk hingga menjejaskan aktiviti nelayan di samping kerosakan harta benda.

Utusan Online memetik kenyataan Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Kundang, Shahamid Sanusi, bahawa aktiviti membuat belacan yang menjadi salah satu punca mata pencarian utama penduduk sukar diteruskan kerana kekurangan udang geragau yang menjadi sumber utama dalam pembuatan belacan.

Semuanya kerana pencemaran najis babi.

Menurut Shahamid, selain Tanjung Sepat, pantai sekitar kampung Tumbuk, kampung Gadong, pekan Tanjung Sepat dan Batu Laut juga terjejas teruk akibat pencemaran sisa buangan najis babi.

Kekurangan udang geragau juga menyebabkan kilang memproses belacan bernilai RM100,000 yang dibina oleh Jabatan Perikanan kini terbiar.

Utusan Online turut memetik kenyataan Ketua Kampung Batu Laut, Bajuri Pakeh yang mendakwa banyak kawasan paya bakau di situ telah musnah akibat pencemaran.

Beliau juga bimbang kemusnahan akan menjadi lebih teruk kerana ramai pengusaha ladang babi kini sedang membesarkan kandang masing-masing.

“Jika tidak dikawal, saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi pada alam sekitar di kawasan ini malah sektor pelancongan termasuk homestay juga akan terjejas,” katanya.

Seorang penduduk, Noridah Endut memberitahu, tanah tepi laut seluas satu hektar milik keluarganya juga telah musnah akibat pencemaran.

“Dahulu kawasan itu pernah digunakan untuk menanam sayur-sayuran selain menjadi tempat berehat sekeluarga. Kini semua kehidupan telah mati dan pasir menjadi hitam,” katanya.

Ketua Unit Peladang Kampung Tanjung Layang, Saharudin Mohd. Said pula berkata, ramai penduduk di kawasan itu terpaksa mencari kerja di luar kampung untuk terus menyara keluarga masing-masing.

‘‘Tinggal di kampung pun tidak ada guna. Bukan boleh turun ke laut lagi,” katanya.

Itulah rungutan para penduduk di kawasan terbabit ekoran legasi penternakan babi tidak terkawal oleh bekas kerajaan BN Selangor.

Jadi apakah langkah penyelesaiannya? Adakah dengan hanya mengeluh dan menunjuk perasaan masalah itu boleh selesai? Apatah lagi ladang-ladang babi yang tumbuh bagai cendawan di daerah Sepang wujud sejak berpuluh tahun lalu di bawah 'perlindungan' kerajaan BN?

Pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri meluluskan cadangan membina ladang ternakan babi moden di Kampung Tumbuk, Kuala Langat perlu disambut baik penduduk jika mahu isu ini diselesaikan segera.

Kawasan yang dicadangkan juga terletak di kawasan Sepang yang telah pun menjadi tapak utama ladang babi.

Sehubungan itu, wakil-wakil penduduk sepatutnya mengambil inisiatif bertemu dan berbincang dengan kerajaan negeri untuk memberi cadangan dan input berguna bagi mempastikan usaha memusat dan menternak babi secara terkawal ini berhasil.

Para penduduk Melayu di kawasan terbabit perlu lebih berhati-hati dan tidak terikut-ikut dengan hasutan kumpulan desperado politik yang mahu menangguk di air keruh.

Ketika kumpulan desperado ini memerintah negeri, tiada sebarang langkah proaktif diambil bagi menyelesaikan masalah ternakan babi secara berleluasa ini. Malah ternakan babi secara tidak terkawal bukan sahaja berlaku di Sepang, Selangor, malah di Paya Mengkuang, Melaka dan Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan - negeri kubu kuat Umno dan BN.

Sikap tidak bertanggung jawab BN ini diserlahkan lagi oleh kenyataan bekas MB Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo.

Ketika menjawab penjelasan Abdul Khalid bahawa projek itu telah diluluskan oleh kerajaan BN negeri, dan kerajaan Pakatan Rakyat hanya meneruskan apa yang dirancang; Mohd Khir yang kini dilanda sindrom mudah lupa memberi kenyatan berikut:

“Kerajaan negeri dahulu hanya bersetuju meluluskan projek untuk skala kecil, itu pun belum ditetapkan lokasinya.

“Kalau penduduk setempat membantah atau penternak tidak bersetuju, kita akan batalkan projek itu,” katanya dengan muka selamba.

Begitulah tahap kredibiliti beliau di mata umum sama seperti penafiannya terhadap perjanjian yang dimeterai dengan Puncak Niaga sehari sebelum tarikh pilihan raya umum 2008!

Baru sebulan Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Selangor. Babi bukan satu-satunya masalah warisan kerajaan BN negeri yang perlu diselesaikan kerajaan baru. Banyak isu-isu lain yang perlu diberi perhatian utama seperti masalah perumahan rakyat dan pembangunan tidak terkawal yang mencemar alam sekitar.

Tidak seperti bekas kerajaan BN negeri yang angkuh dan sombong bila berhadapan rakyat, kerajaan negeri Pakatan Rakyat pastinya lebih mesra dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Demonstrasi perlu bagi menghadapi kerajaan yang angkuh dan enggan menerima pandangan rakyat. Ia jalan penyelesaian akhir yang dibolehkan demokrasi walaupun dimomokkan sebagai 'haram' oleh BN dan media yang dikuasai mereka.


Tetapi sebelum berdemonstrasi dan terpengaruh dengan hasutan golongan desperado politik untuk derdemonstrasi, adalah lebih baik untuk para penduduk - rakyat Selangor - untuk berdialog dan menyatakan pandangan mereka kepada kerajaan rakyat yang memerintah.

Rasanya, Menteri Besar dan anggota Exco Kerajaan Negeri tidak keberatan untuk menerima kunjungan para pemimpin masyarakat Melayu Sepang bagi berbincang dan menyelsaikan masalah yang diwarisi daripada kerajaan BN negeri ini.

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...