Thursday, November 30, 2006

Jangan iktiraf mat rempit

KETIKA bersiap-siap untuk ke suatu majlis jamuan Aidilfitri hujung minggu lalu, saya sempat meluangkan masa melihat anak bongsu lelaki saya bermain-main dengan dua rakan sebaya di ruang tamu.

"Ini motor mat rempit nii. Tengok nii... dia bawa laju," kata anak saya sambil menolak mainan model motorsikalnya.

Saya hairan mengapakah anak sekecil itu boleh menyebut tentang "mat rempit" dan sifat mat rempit yang memandu laju sedangkan ia pasti tiada dalam perbendaharaan kata anak-anak jika istilah itu tidak popular.

Maka saya mengambil kesimpulan awal bahawa mat rempit bukanlah suatu fenomena baru malah telah mula menginstitusi dalam masyarakat kita. Masakan tidak, anak-anak kecilpun telah mengenali mat rempit dan sifat semulajadi mat rempit yang memandu laju.

Banyak sebab yang mendorong mat rempit menjadi popular. Antaranya liputan meluas media massa. Malah seorang pengarah muda telah menghasilkan filem berhubung mat rempit yang khabarnya meletup di pasaran. Drama-drama pendek dan bersiri yang disiar di kaca tv juga ghairah menayangkan adegan-adegan mat rempit.

Bagaimanapun, pada pandangan saya, sebab paling menonjol dan mendukacitakan adalah usaha untuk menginstitusikan mat rempit dan mengambil kesempatan daripada kewujudan mereka!
Soalnya, adakah wajar bagi kita mengiktiraf mat rempit sedangkan umum mengetahui gejala-gejala negatif yang timbul dari mereka? Cuba kita ambil contoh gejala penagihan dadah. Adakah wajar bagi kita mengiktiraf penagih dadah sedangkan umum mengetahui gejala-gejala negatif yang terhasil dari penagihan dadah?

Usaha yang dilakukan oleh Putera Umno untuk mendekati mat rempit boleh dipuji. Tetapi menyediakan paltform untuk mat rempit melebarkan aktiviti apatah lagi mengumpulkan mereka pada jumlah yang ramai bagi meneruskan aktiviti berpeleseran, dikhuatiri bakal mengundang musibah. Ia umpama sokong membawa rebah.

Lihat sahajalah natijah negatif yang timbul daripada program konvoi ribuan mat rempit ke Teluk Batik, Perak anjuran Putera Umno. Ramai di kalangan mat rempit yang ikut serta teruja sehingga melakukan perkara-perkara tidak bermoral dan menyalahi undang-undang. Kita perlu menarik nafas lega kerana cadangan menghimpunkan 50 ribu mat rempit di perkarangan Stadium Bukit Jalil tidak dipersetujui polis. Tidak terbayang bagaimana kucar-kacirnya keadaan jika program cadangan Putera Umno itu menjadi realiti.

Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak adalah sifat semulajadi mat rempit yang menjadikan jalan raya tempat melepaskan perasaan. Sikap buruk dengan memandu laju, membuat bising, membahayakan nyawa pengguna jalan raya, melanggar peraturan dan mengganggu ketenteraman awam adalah ciri-ciri sinonim dengan mat rempit. Remaja yang bersopan dan mematuhi peraturan jalan raya ketika menunggang motorsikal tidak akan dikategorikan sebagai mat rempit. Kelompok mat rempit sendiri tidak akan menerima remaja yang berdisiplin dan bersopan sebagai anggota kumpulan mereka. Itu hakikat yang perlu disedari.

Untaian peristiwa membabitkan mat rempit sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam perlu diberi perhatian serius. Nampaknya mat rempit telah menjadi kawanan samseng jalan raya yang meletakkan undang-undang dan peraturan di tangan mereka. Jika balai polispun menjadi sasaran amarah mereka, apatah lagi orang awam khususnya pengguna jalan raya yang tidak berdaya.

Segala usaha untuk mendekati golongan ini perlu dibuat dengan berhati-hati. Jangan ada ruang ditinggalkan untuk mereka menganggap kumpulan dan aktiviti mereka direstui. Mereka perlu dididik dan diberi kesedaran bahawa menjadikan jalan raya sebagai medan melepaskan perasaan adalah suatu kesalahan serius yang setanding dengan jenayah lain.

Program mendekati mat rempit perlu dibuat dengan tujuan mendorong mereka meninggalkan tabiat buruk itu. Pelbagai aktiviti alternatif boleh dicadangkan seperti menubuhkan kelab motorsikal ataupun kelab penunggang berhemah. Tindakan mengeksploitasi mat rempit untuk pelbagai tujuan termasuk membantu kempen pilihan raya perlu dielakkan. Tidak sewajarnya kita memberi isyarat yang salah bagi golongan ini untuk terus bermaharajalela.

No comments:

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...