Thursday, November 30, 2006

Belasungkawa Untuk Mohd Yusof Sulaiman

BAGI para pembaca mingguan Harakah di awal dekad 1990-an, nama Mohd Yusof Sulaiman bukanlah asing bagi mereka. Tulisannya mudah difahami dan isu yang dibawa olehnya saban minggu menarik perhatian untuk dibaca. Mereka yang jahil ekonomi pun mampu mengikuti tulisan Yusof yang penuh fakta.

Beliau tidak pernah menyukarkan pembaca kolumnya dengan teori-teori ekonomi yang berat-berat. Malah perbincangan sesetengah topik ekonomi yang pada asasnya berat, boleh menjadi ringan jika diulas oleh Yusof.

Itulah kelebihan Yusof Sulaiman, anak kelahiran Melaka, graduan ITM dan menimba pengalaman awal bekerja dengan beberapa syarikat konglomerat termasuk bertaraf sogoshosha di Kuala Lumpur.

Para petugas Harakah memang mengenali manusia bertubuh gempal, rendah dan rendang, berkaca mata tebal, berkumis dan berjanggut dan masih mempertahankan gaya rambut ‘sikat tepi’ pelajar sekolah dekad 70-an dan 80-an.

Dia akan datang ke Harakah pada setiap kali deadline, selalunya tepat jam 6.00 petang secara senyap-senyap, membaca akhbar dan kemudiannya menghadap monitor komputer untuk menyiapkan kolumnya. Tulisannya padat, tatabahasanya lengkap, aliran ideanya lancar persis seorang editor ekonomi sebuah akhbar. Pada hemat penulis, dia adalah segelintir kolumnis yang jarang memeningkan kepala editor.

Tulisannya bukan sahaja diikuti pembaca Harakah di kampung-kampung dan bandar, ahli biasa dan pemimpin parti, malah diikuti oleh pakar ekonomi di menara gading. Dalam satu forum ekonomi anjuran persatuan induk mahasiswa di UKM Bangi, Yusof mendapat pengiktirafan Dr Jomo Kwame Sundram, profesor ekonomi Universiti Malaya yang kini menjawat Pen. Setiausaha Agung (Ekonomi) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dr Jomo yang bersama Yusof menjadi panel jemputan forum ekonomi itu memuji tulisan Yusof dalam Harakah yang dianggapnya berupaya mengulas isu-isu ekonomi kontemporari secara berkesan.

Sikap Yusof yang pendiam boleh berubah sekelip mata. Kadang-kadang beliau boleh ketawa besar apabila mendengar perkara-perkara yang melucukannya. Rakan-rakan mengenalinya sebagai seorang yang cepat mesra walaupun pendiam. Perasaan simpatinya kepada musibah yang melanda rakan-rakan cukup mendalam.

Satu perkara yang melucukan tentang Yusof adalah dia tidak pandai memandu kereta sendiri. Walaupun mampu berkereta, memandu bukanlah aktiviti yang disukainya. Dia lebih suka menyewa teksi ataupun menaiki bas untuk ke sana-sini. Pernah dia bersungut tidak mahu gambarnya diletakkan di kolum tulisannya di Harakah. “Bukan takut, tapi malu kalau ada pembaca Harakah yang perasan bila aku naik bas mini,” katanya diikuti ketawa besar.

Beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan. Sejak itu, tulisan Yusof mahupun kelibatnya tidak lagi kelihatan di Harakah. Kesibukan mengurus perniagaan menghambat masanya yang berharga. “Sibuk sangat, tak ada masa nak tulis,” katanya ketika dipujuk untuk kembali menulis.

Malangnya Yusof tidak berapa menyerlah dalam apa juga perniagaan yang diceburinya. Mungkin itu salah satu kelemahannya yang ketara. Tetapi manusia mana yang tidak punyai kelemahan.

Dalam kegagalannya itu, Yusof sebenarnya berjaya mengasaskan beberapa bidang baru urusniaga yang menjadi ikutan pengusaha Islam kemudian daripadanya. Yusoflah peniaga Melayu Islam pertama di Malaysia yang membawa kurma Rotab terus daripada Iran. Sebelum daripada itu, umat Islam negara ini hanya mengenali kurma kering yang diimport daripada Mesir, Saudi dan lain-lain negara Timur Tengah. Kebanjiran kurma segar (rotab) daripada Iran, hasil usaha Yusof, memeriahkan lagi bulan Ramadhan al-Mubarak.

Ketika menjadi pengurus Kointrade Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik Koperasi al-Hilal (M) Berhad, Yusof merintis peluang niaga dengan rakan-rakan niaga dari negara-negara Timur Tengah, Indonesia dan Turki. Tidak semua usaha niaga yang dirintisnya berjaya, tidak kurang juga yang memberikan imej negatif kepada peribadinya. Namun keberaniannya menjalinkan usahasama dengan rakan-rakan niaga dunia Islam boleh dijadikan contoh. Kejayaan juga kegagalannya, wajar dijadikan pengajaran berguna dan sempadan kepada mereka yang ingin menceburkan diri di bidang perniagaan antarabangsa.

Berita pemergian Mohd Yusof Sulaiman pada petang Ahad, 16 Julai 2006 di pejabatnya di Taman Seri Gombak memeranjatkan rakan-rakannya. Jenazahnya di bawa pulang ke negeri asalnya Melaka dan dikebumikan di kampung halamannya di Bachang.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama golongan orang-orang yang saleh. AL-FATIHAH UNTUK MOHD YUSOF SULAIMAN.

Mengapa senyap bila wanita Melayu diarah bogel?

RAMAI yang masih bingung dengan kejadian ketuk ketampi berbogel di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya membabitkan seorang wanita baru-baru ini. Wanita yang pada mulanya disangka warga China berbangsa Cina tiba-tiba didedahkan sebagai warga Malaysia berbangsa Melayu.

Insiden dibogelkan semasa dalam tahanan polis bukanlah cerita baru dan luar biasa. Ia bukan sahaja membabitkan individu yang ditahan akibat pertuduhan jenayah seperti memiliki dan mengedar dadah, malah turut dialami oleh mereka yang ditahan akibat pertuduhan lain.

Ketika semangat reformasi membara di tahun-tahun akhir 90-an, seorang aktivis wanita reformasi berbangsa Melayu dan beragama Islam diarah ketuk ketampi dalam keadaan bogel. Pengalaman beliau diceritakan kepada ahli-ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menyiasat kejadian itu. Tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan dikenakan kepada anggota polis terbabit. Wanita Melayu itu tidak mendapat pembelaan hatta oleh menteri perempuan Melayu sendiri. Malah kejadian pencabulan hak asasi manusia sepanjang tempoh ‘kebangkitan rakyat’ itu tidak pernah mendapat reaksi sewajarnya daripada kerajaan berbanding kes terbaru membabitkan wanita-wanita warganegara China.

Dalam inkues awam kejadian terbaru itu, pegawai-pegawai polis yang dipanggil memberi keterangan secara konsisten mendakwa, arahan ketuk ketampi berbogel adalah prosedur biasa polis bagi tahanan lokap yang menghadapi tuduhan jenayah. Ia bertujuan mengeluarkan barangan yang disorok dalam bahagian sulit anggota badan. Jika insiden itu berlaku kepada mana-mana individu yang disyaki mengedar dadah, mungkin ianya boleh dijadikan alasan. Tetapi jika tahanan itu seorang awam yang hanya bersalah kerana berhimpun tanpa permit, ia sesuatu yang melampau dan tidak wajar dilakukan apatah lagi bagi perempuan Melayu beragama Islam yang diajar batas-batas aurat.

Perkara yang lebih menonjol dalam kejadian ini adalah tindakan polis merahsiakan identiti sebenar mangsa terbabit. Jika identiti sebenar gadis tersebut didedahkan, pasti negara ini dan pasukan keselamatannya tidak menjadi momokan media antarabangsa sehingga kabinet terpaksa menghantar Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ke China bagi menjelaskan kontroversi itu.

Malah akhbar-akhbar arus perdana sendiri secara konsisten mendakwa gambar dalam video klip itu ialah seorang warga China yang diarah membuat ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita. Berita Harian dalam laporan 25 November di muka hadapan menyiarkan tajuk “Gempar VCD tahanan bogel”. Akhbar itu melaporkan bahawa wanita yang diarahkan ketuk ketampi dalam keadaan bogel itu ‘dipercayai rakyat China’. Utusan Malaysia pula lebih sensasi dengan tajuk berita “Rakaman video wanita rakyat China bogel hangatkan Parlimen”.

Boleh disimpulkan bahawa hiruk-pikuk rakyat China diarah berbogel itu bukan semata-mata datang daripada seorang wakil rakyat DAP, tetapi dijadikan isu pelaris oleh akhbar-akhbar utama negara termasuk yang dimiliki Umno.

Ketika rakyat terpinga-pinga kebingungan, pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Timbalannya mula membuat kenyataan-kenyataan yang diragui kebenarannya. Kedua-dua pemimpin kerajaan itu mendakwa tidak mendapat maklumat berhubung identiti sebenar gadis terbabit walaupun mendapat laporan daripada polis. Aneh sungguh sistem penyaluran maklumat negara ini apabila polis boleh merahsiakan sebahagian maklumat penting hatta kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri dan Timbalannya mengetahui identiti sebenar gadis malang tersebut, pastinya kabinet tidak akan memutuskan penubuhan Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat kejadian itu.

Perdana Menteri mendakwa polis tidak mendedahkan identiti sebenar wanita itu kerana rakyat umumnya tidak mempercayai penjelasan polis. Tetapi adakah rasa tidak percaya rakyat kepada polis itu membolehkan maklumat sebenar berhubung insiden tersebut dirahsiakan hatta ke pengetahuan Perdana Menteri sehingga memaksa kabinet membuat keputusan yang silap.

Keseluruhan insiden ini menunjukkan bagaimana rendahnya tahap transparensi pihak berkuasa. Ia sekali lagi membuktikan rendahnya tahap pertanggungjawaban kerajaan. Suruhanjaya Bebas yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara itu sebenarnya suatu pembaziran dan suatu orkestra. Membazir masa dan membazir wang rakyat. Hakikatnya, isu ini telah diselesaikan secara kompleks melalui prosedur yang tidak perlu. Ia sepatutnya diselesaikan dengan kenyataan rasmi mana-mana pemimpin kerajaan bahawa gadis yang teraniaya itu ialah “seorang Melayu beragama Islam”. Dan amat menyedihkan apabila maruah seorang perempuan Melayu tidak lagi bernilai di sebuah negara pejuang “Islam Hadhari”.

Diskriminasi tudung dari perspektif dua dunia

APABILA seorang ahli Parlimen (MP) Melayu-Islam membangkitkan soal tudung di Dewan Rakyat, ia tidak berapa dipedulikan umum. Soalan Ahli Parlimen Indera Mahkota Pahang itu dan reaksi kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran berhubung dengannya disiarkan oleh berita televisyen, mendapat liputan akhbar keesokan harinya dan turut dimuatkan dalam laman web berita tempatan. Namun reaksi umum berhubung dengannya agak hambar.

MP berkenaan, Dato’ Wan Adnan Wan Mamat mengadu di Dewan Rakyat bahawa anaknya yang menuntut di Sekolah Kebangsaan Methodist di Kuantan, telah menjadi mangsa diskriminasi kerana enggan memakai tudung. Menurut Adnan, anaknya bukan sahaja diabaikan oleh guru yang mengajar malah ‘diturunkan kelas’ hanya kerana enggan memakai tudung.

Memanglah suatu yang agak janggal bagi seorang MP beragama Islam mempersoalkan tindakan guru sekolah (itupun kalau dakwaan itu benar) yang mahukan pelajar perempuan beragama Islamnya memakai tudung. Ada dua perkara utama membabitkan isu ini yang wajar diberikan perhatian. Pertama, wanita Islam mengikut jumhur ulamak wajib menutup aurat (lihat surah An-Nur). Oleh itu menjadi kewajipan kepada seorang ayah untuk memastikan isteri dan anak di bawah jagaannya untuk menutup aurat. Kedua, menasihati pelajar untuk menutup aurat adalah satu kewajipan dakwah bagi seorang guru meskipun peraturan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran tidak mewajibkan pelajar wanita menutup aurat. Seperti kata Timbalan Menteri Pendidikan, Dato’ Noh Omar ketika menjawab soalan Wan Adnan; "Tudung bukan merupakan uniform yang wajib. Kita galakkan pelajar Islam memakai tudung tetapi tidak ada sesiapa boleh paksa pelajar pakai tudung.”

Sehingga kini, tidak diketahui sejauh mana kebenaran dakwaan MP berkenaan. Noh Omar berjanji yang Kementeriannya akan menyiasat. Sewajarnya hasil siasatan itu diumumkan kerana ia membabitkan maruah guru dan sekolah terbabit.

Isu ini mengingatkan kita tentang perjuangan ibu bapa muslim dari negara jiran Singapura yang mempertahankan hak anak perempuan mereka ke sekolah dengan bertudung. Tidak seperti negara ini, Singapura melarang sama sekali para pelajar perempuan memakai tudung atas alasan ‘penyeragaman’. Semua murid tanpa mengira kaum dan agama di negara itu diwajibkan berpakaian seragam untuk ke sekolah. Oleh kerana tudung dan pakaian menutup aurat tidak termasuk dalam garis panduan pakaian seragam (uniform) yang diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Singapura, maka pelajar perempuan yang memakai tudung dihalang untuk memasuki premis sekolah kerana didakwa melanggar disiplin.

Satu demi satu ibu bapa yang berkeras mahukan anak mereka menutup aurat ketika bersekolah terpaksa akur dengan arahan tersebut. Ada di antara mereka akhirnya mengambil keputusan berhijrah ke Australia kerana enggan tunduk dengan peraturan itu. Ahli politik Melayu-Islam Singapura yang bernaung di bawah PAP tidak membantu langsung dalam merungkaikan kekusutan. Malah mereka melontarkan kecaman terhadap seorang aktivis muslim Singapura, Zulfakar Hussein yang menggerakkan Fatihah.com, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) muslim Singapura kerana didakwa menghasut kumpulan ibu bapa pelajar itu. Zulfakar dan keluarga akhirnya terpaksa ‘melarikan diri’ ke Australia kerana khuatir keselamatan hidup mereka terancam.

Lebih mendukacitakan apabila kerajaan PAP memanipulasikan kenyataan Mufti Singapura bahawa menutup aurat tidak diwajibkan kepada perempuan yang belum baligh. Usaha ini dibuat untuk menjustifikasikan tindakan menghalang pelajar perempuan sekolah rendah republik itu daripada berpakaian menutup aurat. Tetapi umum mengetahui bahawa larangan berpakaian menutup aurat bukan sahaja dikenakan kepada pelajar sekolah rendah yang dikatakan belum mencapai umur baligh, malah juga bagi pelajar junior dan senior Cambridge (sekolah menengah) di republik itu.

Isu tudung juga turut menggemparkan dunia Eropah. Di Jerman, Perancis dan Britain, wanita-wanita Islam berdiri teguh mempertahankan hak mereka untuk berpakaian menutup aurat di sekolah, universiti, premis pekerjaan dan di tempat-tempat awam. Adakalanya mereka menang, adakalanya mereka tewas. Walau bagaimanapun keadaannya, kegigihan mereka mempertahankan hak dan keimanan di tengah-tengah komuniti masyarakat yang memandang serong terhadap Islam wajar diberikan pujian.

Nasib yang menimpa umat Islam di negara jiran Singapura dan benua Eropah ini wajar dijadikan pengajaran oleh Wan Adnan dan semua rakyat beragama Islam di negara ini. Kadang-kalanya kita memandang remeh sesuatu perkara kerana selesa dengan suasana yang mengulit kehidupan kita. Malah kadang-kadang ia mengkaburi kita untuk memilih antara yang hak dan bathil, iman dan kufur juga baik dan buruk.

Tudung bukanlah pilihan individu seperti yang difahami sebahagian daripada kita yang mengaku muslim. Ia membawa satu perlambangan bahawa pemakainya bangga dianggap muslim. Lebih utama daripada itu, ia adalah salah satu lambang keimanan, yang bukan untuk diremehkan tetapi dipertahankan. Itupun jika kita masih berbangga digelar muslim.

Jangan iktiraf mat rempit

KETIKA bersiap-siap untuk ke suatu majlis jamuan Aidilfitri hujung minggu lalu, saya sempat meluangkan masa melihat anak bongsu lelaki saya bermain-main dengan dua rakan sebaya di ruang tamu.

"Ini motor mat rempit nii. Tengok nii... dia bawa laju," kata anak saya sambil menolak mainan model motorsikalnya.

Saya hairan mengapakah anak sekecil itu boleh menyebut tentang "mat rempit" dan sifat mat rempit yang memandu laju sedangkan ia pasti tiada dalam perbendaharaan kata anak-anak jika istilah itu tidak popular.

Maka saya mengambil kesimpulan awal bahawa mat rempit bukanlah suatu fenomena baru malah telah mula menginstitusi dalam masyarakat kita. Masakan tidak, anak-anak kecilpun telah mengenali mat rempit dan sifat semulajadi mat rempit yang memandu laju.

Banyak sebab yang mendorong mat rempit menjadi popular. Antaranya liputan meluas media massa. Malah seorang pengarah muda telah menghasilkan filem berhubung mat rempit yang khabarnya meletup di pasaran. Drama-drama pendek dan bersiri yang disiar di kaca tv juga ghairah menayangkan adegan-adegan mat rempit.

Bagaimanapun, pada pandangan saya, sebab paling menonjol dan mendukacitakan adalah usaha untuk menginstitusikan mat rempit dan mengambil kesempatan daripada kewujudan mereka!
Soalnya, adakah wajar bagi kita mengiktiraf mat rempit sedangkan umum mengetahui gejala-gejala negatif yang timbul dari mereka? Cuba kita ambil contoh gejala penagihan dadah. Adakah wajar bagi kita mengiktiraf penagih dadah sedangkan umum mengetahui gejala-gejala negatif yang terhasil dari penagihan dadah?

Usaha yang dilakukan oleh Putera Umno untuk mendekati mat rempit boleh dipuji. Tetapi menyediakan paltform untuk mat rempit melebarkan aktiviti apatah lagi mengumpulkan mereka pada jumlah yang ramai bagi meneruskan aktiviti berpeleseran, dikhuatiri bakal mengundang musibah. Ia umpama sokong membawa rebah.

Lihat sahajalah natijah negatif yang timbul daripada program konvoi ribuan mat rempit ke Teluk Batik, Perak anjuran Putera Umno. Ramai di kalangan mat rempit yang ikut serta teruja sehingga melakukan perkara-perkara tidak bermoral dan menyalahi undang-undang. Kita perlu menarik nafas lega kerana cadangan menghimpunkan 50 ribu mat rempit di perkarangan Stadium Bukit Jalil tidak dipersetujui polis. Tidak terbayang bagaimana kucar-kacirnya keadaan jika program cadangan Putera Umno itu menjadi realiti.

Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak adalah sifat semulajadi mat rempit yang menjadikan jalan raya tempat melepaskan perasaan. Sikap buruk dengan memandu laju, membuat bising, membahayakan nyawa pengguna jalan raya, melanggar peraturan dan mengganggu ketenteraman awam adalah ciri-ciri sinonim dengan mat rempit. Remaja yang bersopan dan mematuhi peraturan jalan raya ketika menunggang motorsikal tidak akan dikategorikan sebagai mat rempit. Kelompok mat rempit sendiri tidak akan menerima remaja yang berdisiplin dan bersopan sebagai anggota kumpulan mereka. Itu hakikat yang perlu disedari.

Untaian peristiwa membabitkan mat rempit sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam perlu diberi perhatian serius. Nampaknya mat rempit telah menjadi kawanan samseng jalan raya yang meletakkan undang-undang dan peraturan di tangan mereka. Jika balai polispun menjadi sasaran amarah mereka, apatah lagi orang awam khususnya pengguna jalan raya yang tidak berdaya.

Segala usaha untuk mendekati golongan ini perlu dibuat dengan berhati-hati. Jangan ada ruang ditinggalkan untuk mereka menganggap kumpulan dan aktiviti mereka direstui. Mereka perlu dididik dan diberi kesedaran bahawa menjadikan jalan raya sebagai medan melepaskan perasaan adalah suatu kesalahan serius yang setanding dengan jenayah lain.

Program mendekati mat rempit perlu dibuat dengan tujuan mendorong mereka meninggalkan tabiat buruk itu. Pelbagai aktiviti alternatif boleh dicadangkan seperti menubuhkan kelab motorsikal ataupun kelab penunggang berhemah. Tindakan mengeksploitasi mat rempit untuk pelbagai tujuan termasuk membantu kempen pilihan raya perlu dielakkan. Tidak sewajarnya kita memberi isyarat yang salah bagi golongan ini untuk terus bermaharajalela.

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...