Sunday, December 21, 2008

Hormatilah alam!

SUDAH terhantuk baru terngadah... Itu tak apa lagi... Kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis...

Itulah perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan peri kemaruknya para pemimpin BN mengulas tentang tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ampang.

Di masa yang sama, ada kenyataan-kenyataan nakal yang cuba menyalahkan kerajaan negeri Selangor yang baru sepuluh bulan diperintah Pakatan Rakyat terhadap tragedi itu.
Paling menonjol sikap 'keras kepala' mantan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mempertahankan tindakan kerajaan negeri pimpinannya meluluskan hampir seratus projek pembangunan tanah tinggi.


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Ahli Parlimen bandar Tun Razak ketika berucap di Dewan Rakyat mendedahkan, sepanjang lapan tahun lalu, 99 projek kawasan berbukit diluluskan bekas kerajaan BN negeri
dipimpin Khir Toyo, termasuk 27 yang sedang dimajukan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.


Projek-projek itu termasuklah 10 di kawasan Bukit Antarabangsa, yang mengalami tragedi tanah runtuh 6 Disember lalu, dan 11 lagi di Bukit Melawati - dua kawasan yang dianggap berisiko tinggi.

Apa yang lebih mendukacitakan, projek-projek di kawasan ini dikelaskan berada dalam kategori 3 dan 4 iaitu kecerunan lebih 25 darjah dan memerlukan penyeliaan teknikal yang lebih ketat.
Menjawab isu ini, Khir mendakwa kononnya projek pembangunan di kawasan berbukit sejak 20 tahun kebelakangan tidak menimbulkan masalah kerana kononnya dipantau dengan baik oleh agensi kerajaan.

"Isunya bukan pembangunan baru. Kenapa beliau hendak sibuk dengan pembangunan baru?


"Pembangunan baru tiada masalah. Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia) sudah buat keputusan. Tidak ada masalah. Sepatutnya tiada masalah," getus Khir.

Sambil menyifatkan Abdul Khalid sebagai "tidak faham isu" beliau menggesa supaya projek-projek pembangunan lama yang diluluskan dua dekad lalu diberi perhatian.

Begitulah mudahnya Khir berdalih cuba meloloskan diri. Jika Khir mengikuti secara teliti tragedi terbaru tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, terdapat pandangan mengatakan kewujudan projek-projek baru yang diluluskan tanpa kawalan di kawasan terbabit menjadi salah satu punca bencana itu.


Dalam erti kata lain, walaupun Taman Bukit Utama, Taman Bukit Mewah dan Highland Towers yang mengalami bencana dibina lebih daripada 20 tahun lalu, tetapi punca kepada bencana ini adalah projek-projek baru yang diluluskan tanpa mengambil kira peraturan dan kesan alam sekitar. Malah ada pendapat menyatakan projek perumahan baru terbengkalai di kawasan berkenaan sebagai punca berlakunya bencana ini.


Khir juga mendakwa sistem pemantauan yang diperkenalkan sejak tragedi di Kampung Pasir, Hulu Kelang pada 2006 "tidak berjalan" sejak negeri itu jatuh kepada Pakatan Rakyat, Mac lepas.

Menurutnya, sewaktu pentadbiran BN dahulu, pasukan khas untuk memantau lereng bukit berisiko tinggi telah ditubuhkan membabitkan pakar daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Geologi dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Laporan mesti dibentangkan setiap tiga bulan, sebab itu tiada kejadian tanah runtuh yang serius selepas peristiwa di kampung pasir tahun 2006," ulas Khir dalam laman blognya.
Ketiak dihubungi Malaysiakini, Khir mendakwa jika sistem pemantauan yang diperkenalkan beliau dua tahun lalu diteruskan, tragedi yang mengorbankan nyawa itu mungkin dapat dielakkan.

Bagaimanapun dakwaan Khir ini ternyata meleset. Ia sekadar gebang-gebang kosong.


Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, pihaknya tidak pernah mengambil mudah dan sentiasa memantau segala projek pembangunan yang dijalankan di kawasan Hulu Kelang.

"Kami mempunyai jawatankuasa kejuruteraan yang akan memantau dari aspek sistem pengaliran air dan longkang. Kalau boleh kami akan memantau setiap hari terutamanya setelah menerima aduan daripada penduduk setempat.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu mereka menyelesaikan masalah yang timbul meskipun keluasan tanah di bawah bidang kuasa kami adalah terlalu luas sehingga 143 hektar," ujarnya.

MPAJ juga, jelas Norhayati telah melantik pihak kontraktor bagi kerja-kerja mengalihkan aliran longkang dan menutup sepenuhnya runtuhan tanah dengan kanvas pada kadar segera jika penduduk mengadu berlakunya hakisan di kawasan mereka.


Dari penjelasan MPAJ itu, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa proses pemantauan yang dimaksudkan Khir itu masih berjalan tetapi tiada siapa yang boleh menghalang kudrat alam. Apatah lagi jika bencana itu berpunca daripada sikap
manusia yang tidak menghormati alam sekitar.


Bencana yang menimpa Bukit Antarabangsa sebenarnya berpunca daripada sikap sambil lewa dan tidak endah manusia (termasuk Khir) terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Apatah lagi jika ada yang berpandangan kebijakan manusia dan teknologi terkini mampu menyekat bencana alam!

Sama ada Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri, banyak peraturan berhubung alam sekitar diketepikan apabila berhadapan dengan 'pembangunan'. Sebagai contoh ramai yang menyedari tektik yang digunakan pemaju untuk mengelak daripada menjalankan kajian kesan penilaian alam sekitar (EIA).

EIA perlu dilakukan jika projek yang dibangunkan berkeluasan lebih daripada 50 hektar bertujuan menjamin ia tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

Bagaimanapun bagi mengelakkan laporan EIA, pemaju dikesan menggunakan beberapa nama syarikat berbeza untuk memajukan kawasan berkeluasan lebih 50 hektar. Dan tektik ini digunakan pemaju dalam banyak projek pembangunan kawasan berbukit dan tanah tinggi di Selangor.

Lebih memualkan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa pertimbangan komersial pembangunan untuk mengaut keuntungan telah mengetepikan soal keselamatan dan langkah penjagaan alam sekitar.


Beliau mendedahkan betapa mudahnya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (tentunya yang diperintah BN) untuk mengalah dengan lobi pihak pemaju yang mahu membangunkan kawasan tanah tinggi meskipun Garis Panduan Pembangunan Tanah Tinggi 2002/2005 secara jelas melarang pembangunan projek di kawasan tanah tinggi 300 meter ke atas dengan berkecerunan lebih 35 darjah.


Menurut laporan, terdapat projek-projek di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor dikenal pasti melanggari peraturan berkenaan.

"Kita lihat apabila satu-satu kawasan itu mempunyai nilai yang tinggi akan timbul tekanan daripada pihak pemaju untuk mengemukakan cadangan pembangunan yang pada akhirnya membawa kemudaratan kepada penghuni rumah berkenaan," kata Najib.

Soalnya, mengapa kerajaan negeri dan PBT boleh tunduk dengan lobi dan desakan pemaju walaupun ianya menyalahi peraturan?

Dan lebih penting daripada itu, adakah wujudnya unsur rasuah dan penyelewengan dalam proses meluluskan projek-projek berkenaan?

Peraturan dan undang-undang tidak bermakna jika ia tidak dikuatkuasakan. Dan jika berlaku 'loopes hole' dalam peraturan dan undang-undang itu (apatah lagi jika sudah disedari) ianya perlu ditampung dan diperbaiki segera. Apatah lagi ada yang mendakwa wujudnya 'orang dalam' yang membantu kelulusan projek-projek tanah tinggi.

Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat perlu membentuk pasukan petugas khas bagi mengkaji semula kelulusan 99 projek membabitkan kawasan tanah tinggi yang diluluskan kerajaan terdahulu. Kajian perlu dibuat sama ada wujud unsur-unsur rasuah dan penyelewengan dalam kelulusan tersebut.


Jika langkah konkrit tidak diambil, kita yakin perkara yang sama akan berulang kembali. Seperti kata mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam: "Nampaknya tiada siapa pun yang belajar daripada tragedi Highland Towers."


Anak lelaki Musa, Rashid Carlos dan isterinya Rozita ialah antara 48 orang yang terkorban apabila sebuah daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview yang terletak 1.5 kilometer dari Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama runtuh pada 11 Disember 1993.

Perlu juga disebut, pada 20 November 2002 tanah runtuh telah meranapkan banglo dua tingkat milik Pengerusi Affin Bank Bhd, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar. Isteri, anak lelaki dan dua cucu beliau beserta dua pembantu rumah warga Indonesia terkorban apabila banglo berkenaan ditimpa tanah runtuh; juga di Bukit Antarabangsa.

Kita tidak perlu belajar daripada Khir dan Najib. Tetapi kita perlu belajar daripada tragedi dan nyawa mereka yang terkorban.


Hormatilah alam!

Lebai tua, lebai muda dan tarbiah Ramadan

PEKAN AG tidaklah besar manapun. Tetapi tarafnya sudah diangkat kepada bandar ekoran beberapa faktor. Antaranya wujud sebuah kilang pemasangan kereta Honda yang menjadi tempat ratusan anak muda daerah AG mencari nafkah.

Ketika tiba Aidilfitri, keadaan pekan AG yang sedia sibuk, disibukkan lagi dengan pulangnya anak-anak perantauan bercuti di kampung-kampung berdekatan. Banyak karenah yang dapat dilihat. Ada melucukan, menyenangkan, dan tidak kurang juga yang menjengkelkan.
Di hari raya kedua, insiden yang menjengkelkan ini berlaku di hadapan deretan kedai 'hardware' di pekan itu.

Tatkala keluar daripada sebuah kedai 'hardware' setelah membeli satu dua perkakasan dapur, penulis dan isteri melihat sebuah kereta model Kancil yang pemandunya sedang terkial-kial memulas stering. Kereta Kancil milik lebai muda itu tidak dapat memboloskan diri daripada petak letak kereta kerana kedudukannya dihalang oleh sebuah kereta lagi - kereta besar model BMW yang diletakkan secara sesuka hati ditepi jalan besar itu.

Penulis tidak mempedulikan kesukaran yang dihadapi lebai muda itu kerana yakin beliau boleh menggunakan kepakaran memandunya untuk melepasi halangan yang tidak disangka itu. Lantas terus ke bank berhampiran untuk ke mesen teler automatik.

Ramai yang beratur untuk mengeluarkan wang. Maklumlah, musim perayaan. Pastinya banyak wang yang keluar untuk membeli barang keperluan harian.

Hampir sepuluh minit menunggu, akhirnya giliran penulis pun sampai. Setelah mengeluarkan wang baki gaji bulan itu, penulis pun melintasi semula kedai 'hardware' itu untuk menyeberang jalan. Isteri penulis sudah pun menunggu di kereta. Tiba-tiba penulis lihat, lebai muda itu masih gagal mengeluarkan keretanya daripada halangan kereta model BMW itu.

Lebai muda itu keluar daripada kereta. Bercekak pinggang dan memandang ke kiri kanan untuk mencari pemilik kereta tersebut. Dia membunyikan hon berkali-kali untuk menarik perhatian tetapi kelibat tuan punya kereta tidak juga kelihatan.

Dilanda rasa kasihan, penulis pun menyapa lebai muda itu, "Syeikh! Anta masuk, ana tolong 'guide'," kata saya.

Lebai muda itu masuk semula ke dalam keretanya dan saya menahan kereta dari arah pekan untuk membolehkan kereta kancil itu berundur. Lebai muda itu memulas stering keretanya. Dia menggerakkan keretanya ke hadapan dan berundur ke belakang beberapa kali untuk melolosi kereta BMW yang betul-betul menghalang laluan keretanya itu.

Ketika keretanya hampir melolosi kereta BMW itu, tiba-tiba muncul seorang lebai tua dari dalam kedai 'hardware' itu.

"Boleh, boleh!" jeritnya memberi arahan.

"Boleh apa pula?" getus hati penulis.

Akhirnya kereta lebai muda itu berjaya keluar daripada halangan - selepas 15 minit berhempas pulas. Tentunya dengan bantuan saya. Maka lebai muda itupun terus memandu memecut keretanya tanpa sempat mengucapkan terima kasih. Maklumlah, sedang bengang yang amat sangat.

Penulis yang gatal mulut pun bertanya kepada lebai tua, "kereta siapa ni?" sambil menunjuk kereta BMW itu. "Tak tahu!" kata lebai tua itu sambil menggoyang-goyangkan kedua-dua tangannya.

"Perangai tuan kereta ni teruk," kata penulis pada lebai tua itu. "Apa awak cakap," ujar beliau yang tiba-tiba menyinga.

Saya ulangi lagi dengan suara yang sengaja ditinggikan, "perangai tuan kereta ni teruk!"
Lebai tua itu meluru ke arah penulis. "Nak tahu siapa tuan punya kereta ni... saya!" katanya sambil mendabik dada.

"Oh patutlah!" kata penulis menunggu jawapan balas.

Lebai tua itu tidak menjawab. Mungkin terperanjat dengan jawapan itu. Atau mungkin menyedari saiz badan penulis lebih besar daripadanya. Dia cuma menjeling, merungut dan balik semula ke dalam kedai.

Isteri penulis menyapa sekembalinya penulis ke kereta. "Marah pak haji tu, kenapa?"

"Biarkan ajalah," kata penulis mematikan bicara.

Sebelum memandu balik, penulis lihat lebai tua itu mengalihkan keretanya ke petak parking setelah memunggah sekampit baja ke dalam bonet.

Rupa-rupanya, tarbiah Ramadan tidak meresap ke dalam jiwa lebai tua itu hingga tidak menyedari sikap mementingkan dirinya itu menyusahkan orang lain.


Dan penulis rasa puas hari itu kerana dapat memberi pengajaran kepada lebai tua yang tidak punya perasaan, sombong, berdusta dan tidak sedarkan diri itu.

Bukankah sombong lawan sombong itu sedekah! Betulkah?

About Me

My photo
Rawang, Selangor, Malaysia
Anak kelahiran Melaka. Mendapat pendidikan awal dan menengah di Melaka. Meneruskan pengajian tertiari di dalam negara. Masih gagal membebaskan diri daripada dunianya - politik...